Jubah

Jubah

Tuesday, April 29, 2014

MENJADI MUSLIM YANG SOLEH DAN SOLEHAH BUKAN SATU JENAYAH

MENJADI MUSLIM YANG SOLEH DAN SOLEHAH BUKAN SATU JENAYAH

PENDAHULUAN

Sukacita untuk dikongsikan pada permulaan artikel ini dengan membawa berita gembira dari firman Allah s.w.t di mana Allah s.w.t telah berfirman:

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Baqarah:82)

Jelas pada ayat ini bahawa bagi orang yang beriman dan beramal soleh, mereka adalah ahli syurga, di mana mereka kekal di dalamnya.

Itu adalah hadiah terbesar buat hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Masih ragu-ragukah kita dengan firman Allah s.w.t ini? Allah sendiri yang mengeluarkan kenyataan ini sebagai kekuatan motivasi buat kita untuk menjadi hamba yang beriman.

Artikel kali ini ingin berkongsi dengan satu tajuk iaitu ‘ Menjadi Muslim Soleh dan Solehah Bukan Satu Jenayah’.

Kenapa didatangkan tajuk sedemikian rupa? Kerana masih terdapat segolongan muslim yang masih takut untuk berubah menjadi soleh dan solehah kerana menganggap ia satu ‘jenayah’.

Mereka merasakan bahawa seolah-olah ia adalah satu kesalahan yang besar di mana boleh mendatangkan kemudharatan kepada diri mereka sendiri.

Maka cuba kita bermuhasabah diri kita semula. Tiada kenyataan dari Allah pun bahawa menjadi soleh dan solehah itu satu jenayah.

Malah Allah memberi ganjaran syurga kepada orang yang soleh. Jadi apakah ciri-ciri muslim yang soleh dan solehah ini?


CIRI-CIRI MUSLIM YANG SOLEH DAN SOLEHAH

Dalam usaha kita menjadi muslim yang soleh dan solehah, kita perlu ketahui sedikit sebanyak apakah ciri-cirinya yang boleh kita praktikkan dalam kehidupan seharian kita.

Salah satu ciri-ciri muslim yang soleh dan solehah ialah dengan memiliki akhlak yang baik. Sebagai individu muslim yang bercita-cita menjadi soleh dan solehah, perlulah menerapkan nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan.

Akhlak Islam seperti menghormati orang lain, berbicara dengan kata-kata yang baik, menjauhi sebarang permusuhan, amanah terhadap pimpinan dan harta benda, berkasih-sayang kerana Allah, berdisplin terhadap tugasan dan sebagainya.

Selain akhlak Islam, ibadah juga perlu dipraktikkan dengan baik. Sebagai contoh memelihara solat, memperbanyakkan bacaan al-quran dan zikrullah, berpuasa dan sebagainya.


KEKASIH ALLAH TIDAK AKAN BERDUKACITA

Orang yang soleh dan solehah merupakan kekasih Allah s.w.t. Apabila dia menjadi kekasih Allah, maka tidaklah Allah mendatangkan sebarang dukacita dan kebimbangan buatnya.

Allah berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah:277)

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah Yunus: 62)

Jelas pada dua ayat di atas bahawa orang yang beramal soleh tidak akan berdukacita dan tidak juga didatangkan kebimbangan pada dirinya.


KENAPA MASIH MENGANGGAP IA SATU JENAYAH?

Kadang-kadang kita lihat ramai yang takut untuk menjadi soleh dan solehah kerana ia mengambarkan satu jenayah yang besar.

Sedangkan tiada satu pun hujah mengatakan ia adalah satu jenayah. Maka wajarkah kita mengandaikan untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah ini adalah satu tugasan yang bahaya? Maka bermuhasabahlah kita.

Allah sudah membuka peluang kepada kita untuk mendapat syurgaNya dengan hanyasanya kita menjadi hambaNya yang benar-benar beriman dan sentiasa beramal soleh.


KE ARAH MENJADI PEKERJA MUSLIM YANG SOLEH DAN SOLEHAH

Maka setelah kita ketahui ganjaran yang diberikan oleh Allah kepada orang yang soleh dan solehah, maka wajarlah kita mempersiapkan diri kita menjadi pekerja muslim yang soleh dan solehah.

Pekerja muslim yang soleh dam solehah akan taat pada pemimpin, mengerjakan tugas yang diberikan dnengan baik, menjaga tutur bicara sesama rakan sekerja, menjaga hak pelanggan, sentiasa berpakaian yang bersih dan suci, memelihara solat dan sebagainya.

Pekerja muslim yang soleh dan solehah juga perlu sentiasa memastikan objektif syarikat tercapai dengan bekerja bersungguh-sungguh. Seperti yang kita ketahui bahawa Islam amat menekankan aspek kejayaan dan kemenangan dalam apa jua bidang kerjaya.

Pekerja muslim yang soleh dan solehah sentiasa memastikan dirinya sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik.

Jika ciri-ciri ini kita jaga dan pelihara, maka ganjaran apakah lagi yang lebih besar yang kita akan dapat selain dari syurga Allah s.w.t?

Maka bergembiralah wahai hati-hati yang sedang berduka, kerana Allah sudah mengatakan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka syurga yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:
1.      Jadilah muslim yang soleh dan solehah kerana baginya ganjaran syurga yang kekal di dalamnya.
2.      Terapkan nilai-nilai akhlak yang baik dalam usaha menjadi muslim yang soleh dan solehah.
3.    Menjadi muslim yang soleh dan solehah bukanlah satu jenayah. Maka berusahalah untuk menjadi yang terbaik di sisi Allah.
4.      Jadilah pekerja muslim yang berakhlak baik, kerana itulah identiti umat Islam yang sebenar iaitu mempunyai akhlak Islam yang baik.
5.      Bermuhasabahlah, “Adakah aku masih berpeluang menjadi muslim yang soleh?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


1 comment: