Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

BERSYUKUR SEBELUM TERSUNGKUR

BERSYUKUR SEBELUM TERSUNGKUR

PENDAHULUAN

Firman Allah swt:

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
(Surah al-Baqarah:152)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang suruhan bersyukur.Mensyukuri nikmat Allah bukanlah satu pilhan akan tetapi satu suruhan buat setiap hambaNya. Persoalannya kenapa kita disuruh?

Kerana jelas pada kita bahawa Allah sahaja yang memberi nikmat kepada kita di dunia ini. Pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita, dan Allah mengkehendaki pada kita untuk bersyukur dan berterima kasih di ats pemberianNya.

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).
(Surah an-Nisaa’:147)

Allah akan membalas setiap sesuatu yang kita kerjakan. Dan orang yang sentiasa bersyukur akan mendapat balasan yang terbaik.

Akan tetapi kita dapat lihat masih ramai umat Islam yang tidak bersyukur. Apakah puncanya?


SOMBONG DENGAN NIKMAT

Salah satu puncanya adalah kerana sombong akan nikmat yang Allah berikan. Penyakit sombong ini akan wujud pada hati yang menolak ayat-ayat Allah.

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?"
(Surah al-Anaam: 53)

Jelas pada ayat ini tentang sikap orang yang sombong dan tidak bersyukur dengan nikmat Allah malah memperlekeh-lekehkan orang lain.

Tidak tahukah kita bahawa Allah swt Maha Berkuasa dalam menentukan nasib hambaNya? DIa boleh meletekkan kita semulia-mulia umat, dan dia juga boleh meletakkan kita sehina-hina umat.


SYUKUR BUKAN SEKADAR LAFAZ

Ramai di antara kita yang bersyukur hanya pada lidah tetapi tidak pada perbuatan. Maksudnya cukup sekadar mengucap ‘Alhamdulillah’.

Kadang-kadang kita terfikir bagaimana orang yang mendapat kejayaan atau nikmat yang tidak syariah seperti menang nyanyian, menang pertandingan ratu cantik, dan sebagainya, kemudian diucap Alhamdulillah?

Apakah boleh kita bersyukur pada perkara-perkara yang tidak syariah?
Itulah yang dinamakan istidraj.

Selain kita dianjurkan untuk sentiasa mengucap Alhamdulillah, kita juga perlu bersyukur dengan cara mematuhi segala arahan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Perbanyakkan solat, melazimi majlis-majlis agama, bertadarus al-quran, berhalaqah dan sebagainya.

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
(surah al-A’raf: 10)

SYUKUR SEBELUM TERSUNGKUR

Sikap sebahagian manusia yang akan bersyukur setelah tersungkur. Ini yang banyak terjadi pada zaman sekarang. Setelah mendapat nikmat kekayaan, kemudian tidak mensyukurinya,kemudian mengalami kemalangan atau kedukaan, barulah nak bersyukur.

Apakah keadaan seperti ini yang kita hendak dalam kehidupan kita? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

Kita sentiasa diapit oleh Malaikat Raqib dan Atid iaitu malaikat pencatat amalan. Mereka adalah juru audit kita di dunia ini. Mereka akan mencatat segala amalan kita walau sekecil zarah.

Apakah kita hendak bersyukur selepas tersungkur? Banyak pengajaran yang kita telah lalui dari kisah-kisah orang yang terdahulu.

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
(Surah al-A’raf: 17)

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
(Surah al-A’raf: 26)


PENUTUP

Pengajaran yang boleh kita ambil ialah:

1.     Jadilah hamba yang bersyukur di atas segala nikmat Allah.

2.     Jangan terlalu sombong kerana harta yang kita perolehi adalah ujian buat kita.

3.     Selain melazimi lafaz Alhamdulillah, kita juga dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah sebagai tanda kita bersyukur.

4.     Jangan menolak hukum Allah hanya kerana kita sudah mendapat nikmat dariNya, kerana Allah boleh mengambil apa yang Dia beri.

5.     Bersyukurlah sebelum tersungkur. Jangan biarkan diri kita dimurkai oleh Allah hanya kerana dek kita tidak mensyukuri apa yang telah Allah berikan.


Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

No comments:

Post a Comment