Jubah

Jubah

Sunday, April 27, 2014

‘BLOCK’ DOSA DENGAN MENTARBIYAH JIWA

‘BLOCK’ DOSA DENGAN MENTARBIYAH JIWA


PENDAHULUAN

Manusia pada umumnya tidak terlepas dari dosa dan kesilapan. Sama ada dosa dan kesilapan itu dibuat secara sengaja ataupun tidak.

Dan wajar untuk kita mulakan hari-hari awal kita bekerja dengan memastikan permulaannya adalah baik.
Mulakan sesuatu dengan baik, pertengahannya baik dan di akhirnya adalah baik. Maka keputusannya pasti adalah yang terbaik juga.

Maka pada hari ini ingin dikongsikan beberapa perkara dengan berdasarkan beberapa persoalan.
Dalam usaha kita untuk memastikan kehidupan kita ini terlindung dari unsur-unsur dosa, maka apakah usaha yang kita sedang buat ketika ini?

Apakah road-block yang perlu kita buat untuk menghalang dosa dari menyerap ke dalam jiwa agar ia tidak menganggu sistem ibadah dalam kehidupan kita?

Benarkah jika dosa tersemat di hati, ibadah akan rasa berat untuk dituruti? Maka apakah penyelesaiaanya?
Apakah peranan tarbiyah dalam mendidik hati bagi menghalang perbuatan yang boleh menjerumus ke arah dosa?


TARBIYAH JIWA DENGAN BERTAQWA KEPADA ALLAH

Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.

(Surah al-Anfaal:29)

Jelas bahawa jika kita bertaqwa kepada Allah maka, Allah akan tunjukkan perbezaan jalan yang benar dan juga jalan yang salah.

Dan ini menerangkan kepada kita bahawa salah satu cara untuk kita block jiwa dan hati kita dari terjerumus ke arah dosa ialah dengan kembali bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Tetapi persoalannya bagaimana? Itulah dengan cara kita mentarbiyah jiwa kita. Tarbiyah itu sendiri bermaksud didikan.

Mentarbiyah jiwa dengan perkara asas iaitu bertaqwa kepada Allah. Bukankah kita sedang mencari-cari jalan yang benar? Bukankah kita sedang mencari-cari rahmat Allah dalam kehidupan kita di kala kita seharian dirundung dengan kesibukan hati terhadap dunia dan isinya?

Pendekatan apakah yang telah kita lakukan dalam memastikan kita ini benar-benar menjadi hamba yang bertaqwa? Jika kita tidak ada perasaan takut pada neraka, itu tandanya kita sedang berasa selesa dengan dosa dan maksiat yang kita sedang lakukan.

Maka tarbiyahlah jiwa dengan segera kembali bertaqwa kepada Allah s.w.t.


TARBIYAH JIWA DENGAN AKHLAK ISLAM

Firman Allah s.w.t:

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

(Surah an-Najm:32)

Dalam usaha kita mendidik jiwa ke arah yang lebih baik, maka cara kedua ialah dengan menyemai akhlak Islam dalam diri kita dan juga kehidupan kita.

Dengan menyemai akhlak Islam ini, maka kita sedang berusaha untuk menjadikan jiwa kita di tarbiyah dengan baik.

Ini adalah salah satu cara untuk kita block jiwa dan hati kita dari cenderung ke arah melakukan dosa.

Sebagai contoh, jika kita mempunyai sifat hasad dengki, sudah tentu kita terdedah dengan perbuatan dosa. Dan ia akan bersangkutan dengan dosa yang lain.

Apabila sudah hasad dengki, kita akan mula mengumpat. Apabila mengumpat kita akan cuba pula membawa cerita fitnah. Apabila sudah membawa cerita fitnah, kita ingin berperang dan bergaduh. Selepas bergaduh, kita pula akan saman-menyaman. Begitulah seterusnya jika ia tidak dikawal maka ia akan terus melibatkan keluarga dan keturunan kita.

Contohilah Nabi Muhammad s.a.w dengan mencontohi akhlak baginda. Apakah akhlak yang ada pada Nabi yang boleh kita tiru dan praktikkan? Sangat banyak. Maka ambillah pedoman darinya.

Maka tarbiyahlah jiwa kita dengan akhlak, nescaya kita akan dapat block hati kita dari cenderung melakukan dosa.

Ada beberapa cara lagi dalam usaha mentarbiyahkan jiwa. Insyaallah akan dibincangkan pada lain artikel.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil ialah:

1.      Berusahalah menghalang diri dari cenderung ke arah perbuatan dosa dengan cara mentarbiyah jiwa.

2.      Jadilah mukmin yang bertaqwa agar kita ditunjukkan pada jalan yang benar.

3.      Semaikanlah akhlak yang baik dalam diri kita agar ia menjadi ikutan dan tarbiyah buat orang lain.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wasalam

No comments:

Post a Comment