Jubah

Jubah

Tuesday, April 22, 2014

KENAPA ‘KERTAS UJIAN’ KITA BERLAINAN?

KENAPA ‘KERTAS UJIAN’ KITA BERLAINAN?

PENDAHULUAN

Firman Allah s.w.t:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Surah al-Baqarah:214)

Dalam ayat ini jelas bahawa setiap kita akan menghadapi ujian dari Allah s.w.t. Sama ada ujian itu berat atau ringan, tidaklah kita mengetahuinya.

Tetapi yang pasti janganlah kita menyangka bahawa kita akan dapat masuk syurga tanpa ada ujian yang kita akan hadapi terlebih dahulu.

Kerana ujian itu adalah penentu kekuatan iman kita terhadap Allah s.w.t.

Persoalannya, kenapa ujian yang setiap manusia hadapi adalah tidak sama? Apakah hikmahnya? Adakah ujian yang datang itu menandakan Allah benci kepada kita?

Jelas bahawa kita semua akan berhadapan sesi ujian tetapi kertas ujian yang berlainan. Apakah contoh –contoh kertas ujian itu?


CONTOH: UJIAN KEKAYAAN DAN KEMISKINAN

Ada orang akan diberi ujian dalam bentuk kekayaan. Ujian ini Allah s.w.t ingin melihat sejauh manakah dia bersyukur dan sejauh manakah dia memanfaatkan hartaNya di jalan Allah.

Kadang-kadang ramai yang gagal dalam ujian ini kerana apabila mereka telah diberi kekayaan mereka menjadi bongkak dan takabbur.

Malah mereka tidak suka untuk berkongsi kekayaan yang mereka miliki dengan orang yang tidak berkemampuan atas alasan itu adalah usaha mereka sendiri.

Allah berfirman:

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

(Surah al-Anfaal:28)

Jelas bahawa kekayaan harta yang dimiliki serta anak-anak adalah ujian dari Allah semata-mata sedangkan disisi Allah jualah pahala yang besar.

Bahayanya ujian kekayaan ini adalah kerana ia boleh cenderung ke arah sifat riak, takabur, sombong, bongkak dan sebagainya. Maka berawasilah dengan ujian tersebut.

Firman Allah s.w.t:

(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

(Surah ar-Ruum:37)

Ada juga golongan yang diuji dengan kemiskinan. Allah ingin melihat sejauh manakah dia mensyukuri nikmat yang dia miliki dan sabar terhadap ujian tersebut.

Dan Allah juga ingin melihat sejauh manakah imannya kepada Allah tatkala dilanda musibah kemiskinan ini.

Bahaya ujian ini ialah ia boleh cenderung kepada kekufuran. Seseorang yang tidak percaya akan rezeki Allah boleh menjerumus dirinya ke arah kekufuran apabila dia mula tidak percaya akan Allah yang Maha Pemberi Rezeki.

Maka ujian kekayaan dan kemiskinan ini perlulah dihadapi dengan iman yang teguh dan kesabaran yang tinggi kerana janji Allah balasan syurga buat mereka yang lulus ujian tersebut.


UJIAN MEMPERLIHATKAN KARAKTER SEBENAR

Firman Allah s.w.t:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

(Surah al-Ankabuut:3)

Jelas bahawa ujian yang Allah datangkan kepada kita agar kita dapat lihat di kedudukan manakah kita di sisi Allah s.w.t.

Jika kita berjaya dengan ujian tersebut maka, kita adalah hamba yang benar-benar beriman. Jika sebaliknya, maka nyata kita adalah dikalangan orang-orang yang berdusta.

Oleh itu bersabarlah dalam menghadapi ujian Allah. Kadang-kadang kita rasa apabila hadapi ujian ini seoalah-olah Allah benci kita. Sedangkan Allah tidak pernah benci hambaNya. Ujian itu sebagai kekuatan dan Allah ingin melihat sejauh manakah kita mampu sabar dengan ujianNya.

 Maka bersangka baiklah pada Allah s.w.t sentiasa. Apakah ganjaran yang kita inginkan dari Allah s.w.t? Sudah tentu ganjaran syurga di akhirat kelak.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

Setiap kita akan hadapi kertas ujian yang berlainan. Ada ujian kesihatan, kesakitan, kejayaan, kegagalan, kehidupan dan kematian, dan sebagainya Maka hadapilah ia dengan akal yang jernih serta iman yang teguh.

Sentiasalah mengutip hikmah-hikmah di sebalik ujian tersebut, kerana di situlah pelbagai pengajaran yang berguna yang boleh kita kongsikan bersama.

Kuatkan iman kita kepada Allah s.w.t agar kita tidak gagal dalam segala ujian yang menimpa.

Dan sentiasalah berdoa kepada Allah agar diberi kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment