Jubah

Jubah

Tuesday, April 22, 2014

MUHASABAH DIRI: SENSITIF TERHADAP DOSA PAHALA

MUHASABAH DIRI: SENSITIF TERHADAP DOSA PAHALA

PENDAHULUAN

Apakah kita benar-benar sensitif terhadap isu dosa pahala dan halal haram? Sejauh manakah kita rasa sensitif terhadap isu tersebut?

Hakikat yang boleh kita lihat zaman sekarang ini ialah, umat Islam tidak lagi sensitif terhadap dosa dan pahala.

Ini boleh dapat dilihat dengan wujudnya pelbagai aktiviti yang tidak patuh syariah dan sebagainya.
Bahayanya kita apabila isu dosa dan pahala ini tidak diendahkan, maka ia boleh mengundang kepada murka Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

(Surah al-Baqarah:90)

Jelas bahawa Allah murka terhadap orang-orang yang mengingkari al-quran. Maka apakah kita ingin menjadi sebahagian dari orang-orang yang ingkar dengan al-quran?

Maka bermuhasabahlah.


KEMANA DOSA MEMBAWA KITA PERGI?

Sudah tentu dosa yang kita kumpul banyak-banyak bakal membawa kita ke neraka seterusnya menerima pembalasan yang sangat azab di sana kelak.

Mampukah kita menahan hukuman itu? Sedangkan apabila kita tonton filem-filem seksaan terhadap tahanan pun kita sudah rasa sakit dan ngilu, inikan pula seksaan yang maha dahsyat di akhirat kelak.

Apakah dosa kita terampun sebelum kita meninggal kelak? Apakah kita benar-benar jamin bahawa dosa kita pasti terampun sebelum kita menghembuskan nafas terakhir?

Maka berawasilah dengan tingkah laku kita. Orang yang berakhir hayatnya dalam keadaan penuh dengan dosa, maka Allah check in kan untuk dia di sebuah tempat di mana tempat itu bukanlah tempat yang suka untuk kita berbicara mengenainya. Firman Allah s.w.t:

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Baqarah:81)

Apakah kita masih ingin tenggelam dengan dosa kita?Apakah kita ingin terus-terusan lemas dan terkapai-kapai terhadap kesalahan kita kepada Allah s.w.t?

Maka bermuhasabahlah.


JANGAN TERUS INGKAR

Kenapa Allah turunkan al-quran? Kenapa Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w kepada manusia? Kenapa kebanyakan ayat Allah s.w.t menceritakan tentang dosa dan pahala, suruhan dan larangan dan sebagainya?

Apakah mesej yang Allah nak sampaikan kepada manusia sebenarnya? Maka jelas tidak lain dan tidak bukan adalah kerana untuk menyedarkan manusia akan tujuan erti hidup.

Manusia terlalu lemah. Jika tiada panduan hidup maka dia akan tersesat jalan.

Begitulah kita di dunia ini. Selain kita menjadi hamba Allah dengan melaksanakan ibadah kepadaNya, kita juga adalah khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan bumi ini dimakmurkan dengan berlandaskan syariah.

Dan marilah kita menjadi khalifah pilihan Allah s.w.t. Seperti firman Allah s.w.t:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

(Surah an-Nuur:55)

Maka sebagai pemimpin, perlulah kita menajdi khalifah pilihan orang-orang beriman dengan memastikan syiar Islam itu terlaksana.

Agar dengan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita yang kita laksanakan dengan baik, menajdi bekalan yang terbaik untuk kita persembahkan kepada Allah s.w.t.


PENUTUP

Oleh demikian, ingin sama-sama diingatkan agar kita sensitive terhadap isu dosa dan pahala, padahal kita adalah sebuah organisasi yang muslim dan patuh syariah.

Salinglah nasihat menasihati dalam urusan agama kerana Allah suka kepada orang yang suka menasihati di antara satu sama lain dalam usaha menegakkan syiar agamaNya.

Jangan menjadi manusia yang cintakan dosa, kerana akibatnya jelas sangat dahsyat. Sentiasalah berdoa supaya Allah tidak menjadikan kita sebahagian dari golongan orang yang cintakan dosa.

‘Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam

No comments:

Post a Comment