Jubah

Jubah

Tuesday, April 22, 2014

RUPANYA SABAR ITU INDAH

RUPANYA SABAR ITU INDAH

PENDAHULUAN

Sabar merupakan satu sifat yang positif perlu ada pada diri setiap insan. Dalam kehidupan ini, kesabaran amat penting kerana ia melibatkan hubungan kita sesama makhluk serta hubungan kita bersama Allah swt. Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.

Firman Allah swt:

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

(Surah al-Baqarah:153)

Sabar ini berkait rapat dengan ujian dan rintangan serta masalah yang dihadapi. Setiap manusia pasti akan ada ujian masing-masing. Dan orang yang sabar akan mendapat pertolongan dari Allah swt.

Tetapi realitinya masih ramai lagi yang tidak sabar dalam menghadapi ujian. Dan puncanya adalah kerana lemahnya iman. Apabila seseorang itu tidak sabar dalam menghadapi ujian dari Allah, bermakna dia hilang kepercayaan terhadap pertolongan Allah swt.

Firman Allah swt:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Surah al-BaqaraH: 155)

Jelas pada ayat ini yang mengatakan bahawa orang yang sabar dalam ujian yang diberi oleh Allah swt, akan mendapat berita gembira dariNya.

Orang yang sabar akan ditunjukkan jalan keluar. Pernahkah kita teringat dahulu bagaimana ketika dahulu kita pernah menghadapi kesusahan dan kita hampir putus asa dengan ujian tersebut? Cuba lihat dimanakah kita sekarang ini? Segala-galanya sudah terbukti bahawa Allah tidaklah menzalimi hamba-hambaNya. 

Persoalannya bagaimana kita nak sabar dengan ujian?


SABAR DALAM KEMARAHAN

Marah adalah salah satu sifat yang negatif dimana dengan kemarahan ini, manusia akan hilang pertimbangan. Marah itu dari api, dan api itu dari syaitan.

Kadang-kadang punca kita marah kerana kita disakiti oleh orang lain, kena tipu, kena buli dan sebagainya.
Akan tetapi firman Allah swt ada menyebut:

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

(surah ali-Imraan: 120)

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa segala tipu daya yang kita hadapi, tidak sedikit pun akan membahayakan kita selagi mana kita bersabar.

Oleh yang demikian jika kita dicerca dan dihina atas tujuan untuk mendatangkan kemarahan kita,dan memaksa kita mengeluarkan kata-kata kesat, maka bersabarlah. Dengan bersabar kita mampu berfikir secara tenang dam mneyelesaikan masalah dengan baik.


ALLAH BERSAMA ORANG YANG SABAR

Kita pernah dengar istilah ‘Kalau engkau kena kacau, aku akan backup kau’. Ini menunjukkan kita akan rasa tenang apabila ada orang yang menyokong kita apabila kita hadapi sebarang dugaan.

Tetapi sedarkah kita bahawa jika kita letakkan harapan kita pada Allah swt 100%, kita akan mendapat ‘backup’ yang lagi Maha Hebat?

Firman Allah swt:

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

(Surah ali-Imraan: 125)

Jelas pada ayat ini bahawa jika kita bersabar dengan sebenar-benarnya, Allah akan membantu kita.


SABAR DALAM BERDAKWAH

Kita sebagai muslim perlu sabar dalam berdakwah. Kalau kita tidak mampu berdakwah pada semua orang, kita dakwah orang sekeliling kita seperti jiran tetangga, anak-anak, sedara-mara dan sahabat-handai.

Dakwah kita adalah untuk menyuruh kepada kebaikan bukan kejahatan dan kemungkaran. Tiada makhluk di dunia ini disuruh untuk melakukan kejahatan.

Oleh itu al-quran diturunkan untuk memberi peringatan dan menyuruh kita untuk mengajak yang maaruf dan meninggalkan yang mungkar.

Firman Allah swt:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

(Surah ali-Imraan: 142)


SABAR DAN KEMENANGAN

Orang yang sabar Allah janjikan kemenangan. Kemenangan dalam semua aspek termasuk dalam urusan syarikat, sosioekonomi, masyarakat, rumahtangga dan sebagainya.

Firman Allah swt:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

(Surah ali-Imraan:200)

Jelas pada ayat di atas bahawa orang yang sentiasa sabar akan beroleh kemenangan.


SABAR DAN BERDOA

Berdoalah apabila kita menghadapi dugaan dan ujian, kerana doa orang yang sabar dimakbulkan Allah swt.

Firman Allah swt:

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir"

(Surah al-Baqarah:250)

Ini adalah doa supaya kita sentiasa teguh dalam menghadapi kesabaran dan mohonlah pada Allah kemenangan dalam setiap ujian yang dihadapi.


PENUTUP

1. Bersabarlah dengan segala dugaan yang mendatang

2. Orang yangs sabar dijanjikan kemenangan.

3. Sentiasalah bersabar dan berdoa kerana Allah bersama-sama orang yang sabar

"Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak"


Wallahualam

No comments:

Post a Comment