Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

HUSNUL KHATIMAH: PILIHAN MUKMIN

HUSNUL KHATIMAH: PILIHAN MUKMIN
PENDAHULUAN

Husnul khatimah bermaksud pengakhiran yang baik. Seseorang mukmin sentiasa mengharapkan sebuah pengakhiran hidup yang baik kerana ia merupakan salah satu keadaan di mana peluang kita untuk dimasukkan ke dalam syurga itu cerah.

Dalam tajuk husnul khatimah ini, ingin dikongsikan beberapa perkara. Husnul khatimah dalam dua keadaan. Pertama ialah apabila kita meninggal dunia dalam keadaan kita dapat mengucap kalimah syahadah. Dan kedua ialah apabila kita meninggalkan dunia dalam keadaan kita meninggalkan kebaikan di dunia.

اِذَا مَاتَ اْلاِنْسَـان اِنـْقـَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : صَدَقَـةٍ جَارِيَةٍ ، اَوْعِلْمٍ يـُنـْتـَفَعُ بـِهِ ، أوْوَلـَدٍ صَالحٍ يـَدْعُـوْلَهُ
"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara:  Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya."

Hadis di atas menjelaskan kepada kita dimana apabila matinya anak adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara.


SEDEKAH JARIAH

Sedekah jariah. Berapa banyakkah sedekah yang telah kita buat?Jadikanlah amalan bersedekah kita sebagai salah satu hobi ibadah kita. Apabila tidak bersedekah hati kita akan rasa tidak tenteram.

Sedekah kepada golongan yang susah.Semua maklum bahawa membantu orang-orang yang susah merupakan amalan yang mulia. Allah memberi kita rezeki bukanlah untuk kita makan seorang diri sahaja, akan tetapi padanya ada hak orang lain.

Dengan memperbanyakkan sedekah, pahalanya berterusan selagi mana ia dapat memberi manfaat pada orang tersebut.

Apakah sedekah paling mudah untuk dibuat? Iaitu senyum. Memberi senyuman juga merupakan ibadah. Seperti mana yang kita ketahui bahawa Rasulullah saw adalah merupakan orang yang paling suka senyum.
Ditempat kerja, kita digalakkan untuk bersenyum. Itu sebagai tanda pengikat hati antara rakan sekerja. Janganlah bermasam muka diantara satu sama lain.

Dengan senyuman, hati akan menjadi positif. Segala kesalahan yang dibuat oleh orang lain akan mudah dimaafi.


ILMU YANG DIMANFAATKAN

Ilmu yang kita tuntut ketika hayat kita apabila disumbangkan kepada masyarakat, kelak akan menjadi saham pahala kita diakhirat.

Berdasarkan hadis di atas, ia jelas menunjukkan bahawa amalan yang tidak akan terputus salah satunya ilmu.
Tetapi persoalannya bagaimanakah kita dapat memastikan ilmu yang kiti miliki dapat dimanfaatkan? Salah satunya ialah apabila kita memanfaatkan ilmu yang kita miliki disumbangkan untuk menegakkan syariat Allah swt.

Sebagai contoh ialah apabila kita memanfaatkan ilmu yang kita miliki dalam bidang-bidang yang kita ceburi diadun bersama prinsip-prinsip syariah dengan niat dan matlamat agar sesebuah pengurusan dan pentadbiran itu bergerak selari dengan syariat Allah swt.

Di dalam pengurusan dan pentadbiran, kita boleh manfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada untuk menjadikan sesebuah pentadbiran dan pengurusan itu mematuhi syariah.

Maka beruntunglah orang-orang beriman yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan ilmu yang ada untuk menegakkan syariat Islam khususnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.


DOA ANAK SOLEH

Dan yang terakhir ialah doa anak yang soleh. Doa anak yang soleh yang berterusan dapat menyelamatkan ibu bapanya dari mendapat seksaan di kubur dan di akhirat.

Persoalnnya, bagaimanakah keadaan anak kita sekarang ini terhadap agamanya? Bagaimanakah kita telah mencorakkan anak-anak kita dalam kehidupan mereka?

Mampukah bagi mereka untuk mendoakan kita setelah kita meninggal dunia kelak? Maka ketika hayat inilah kita perlu memastikan anak-anak kita mendapat didikan agama yang baik.

Ajarilah mereka dengan nilai-nilai Islam terutamanya dalam aspek ibadah. Tanamkan pada hati mereka akan kecintaan terhadap Allah dan RasulNya.


TINGGAL DALAM KEADAAN DIBENCI?

Meninggalkan dunia dalam keadaan diri kita dibenci orang merupakan keadaan yang tidak baik bagi kita. Ini jelas menunjukkan ketika hayat kita, kita suka membuat kejahatan dan keburukan terhadap orang lain sehingga kita dibenci walaupun setelah meninggal dunia.

Apakah kita suka untuk memilih meninggalkan dunia dalam keadaan diri dibenci atau dipuji? Apabila diri kita sentiasa dpuji oleh makhluk, di akhirat kelak kita rasa tenang kerana pujian itu merupakan satu doa.

Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Manfaatkan kehidupan kita di dunia ini untuk kebaikan.Menjaga hubungan sesama makhluk amatlah dituntut oleh Islam.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh kita ambil ialah:

1.      Janganlah biarkan kehidupan kita dipenuhi dengan unsur-unsur maksiat, kejahatan dan kemaksiatan kerana kematian itu boleh datang secara tiba-tiba.

2.      Pastikan kehidupan kita berlandaskan al-quran dan as-sunnah.

3.      Rajinlah bersedekah kerana ia merupakan amalan yang tidak terputus.

4.    Manfaatkanlah ilmu yang kita miliki untuk kemaslahatan Islam kerana kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang telah kita sumbangkan.

5.  Ajarilah anak-anak dengan syariat Islam. Didiklah mereka tentang kepentingan ibadah, solat, mengaji, berpuasa dan sebagainya agar apabila kita mati kelak, sekurang-kurangnya anak kita mampu untuk mendoakan kesejahteraan kita.

6.   Janganlah biarkan diri kita ini dibenci orang atau meluat kerana ia boleh membuatkan diri kita sentiasa dicemuh walaupun sesudah mati. Sekiranya ada kesilapan yang telah lalu, segera memohon maaf agar kita selamat di dunia dan juga di akhirat.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Akan Dikembalikan Kelak”


Wallahualam

No comments:

Post a Comment