MUHASABAH
DIRI: MENITI HARI TANPA DOSA
PENDAHULUAN
Bagaimanakah kita
meniti hari-hari kita ini pada awalnya? Adakah dengan dimulai perasaan cinta
dan dekat dengan Allah s.w.t?
Atau kita mulai dengan
memikirkan apakah untung dunia yang kita ingin gapai pada hari ini? Pelbagai
tujuan dan niat kita setiap pagi jika kita selidiki.
Oleh itu, pada hari ini
ingin kita bermuhasabah bersama-sama tentang bagaimana kita meniti hari-hari
kita tanpa dosa.
Apabila kita bicara
tentang dosa, kita tahu bahawa jenis-jenis dosa itu banyak sangat. Tetapi yang
pastinya, dosa itu adalah suatu perkara yang tidak disukai oleh Allah.
Dalam erti kata lain
ialah kejahatan. Sejujurnya kita sendiri tidak suka akan kejahatan. Merompak,
bunuh, buli, umpat dan sebagainya adalah perkara yang kita sendiri tidak suka.
Begitu juga dengan
Allah s.wt. Dosa itu adalah suatu perkara yang Allah tidak suka. Kerana Dia
tahu bahawa dosa itu sudah tentu akan membawa hambaNya terus ke neraka.
Sedangkan Allah telah
berfirman:
Dan peliharalah diri kamu dari (azab
sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang
lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab),
dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya
sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang
pertolongan.
(Surah al-Baqarah:48)
Jelas pada ayat ini
bahawa kita disuruh untuk memelihara diri dari menghadapi azab seksa di akhirat
kelak.
Dan jelas bahawa tiada
siapa yang dapat selamatkan kita ketika itu. Kita semua akan dihitung amalan
kita dihadapan Allah s.w.t.
Maka apakah kita masih
ingin meniti hari-hari kita dengan dosa dan nista? Persoalannya bagaimanakah
kita ingin dapat mengawal diri kita dari melakukan dosa-dosa ini, sedangkan
manusia tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan?
Ya benar, tetapi ada
caranya.
TAATI PERINTAH
ALLAH DAN MENINGGALKAN LARANGANNYA
Perkara utama adalah
kita berusaha untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala
laranganNya.
Apa yang Allah haramkan
kita tinggalkan. Berusahalah untuk merebut pahala Allah. Dan berusahalah untuk
meninggalkan segala perbuatan yang boleh mengundang kepada balasan dosa.
Jika kita masih
membiarkan diri kita terus-menerus melakukan dosa, ditakuti kita tidak sempat
untuk taubat di atas dosa tersebut.
Hakikatnya dosa itu
mudah diperolehi berbanding pahala. Oleh sebab itu, orang yang benar-benar
beriman dan bersabar, ganjarannya sangatlah besar. Pahala berganda-ganda.
Apakah kita ingin
memberi alasan tak nak buat ibadah hanya kerana kita sibuk dengan urusan dunia?
Dosa memang mudah untuk diperolehi. Pahala
sangat sukar. Perlu diiringi dengan niat yang ikhlas.
Maka ikhlaskanlah diri
dalam melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.
TAKUT MATI SEBAB
DOSA BANYAK
Percaya atau tidak jika
kita membicarakan tentang kematian, ramai yang takut. Sebab apa?
Kerana kebanyakan kita
masih tidak bersedia ke arah itu. Dan jawapan yang paling biasa didengari
ialah, ‘aku masih mempunyai dosa yang tidak terampun, maka aku belum
bersedia’.
Tetapi sedarkah kita
bahawa kematian itu tidak kenal siapa pun kita? Di mana pun kita berada, jika
telah sampai suruhan dari Allah kepada malaikat maut untuk mencabut nyawa kita,
maka malaikat maut tanpa sesaat tertangguh pun dia akan terus melaksanakan
tugasnya.
Apakh kita sudah
bersiap ke arah itu? Maka fikir-fikirkanlah. Berdasarkan firman Allah s.w.t:
Dan sudah tentu mereka tidak akan
mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang
telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim
itu.
(Surah al-Baqarah:95)
Maka janganlah kita
menzalimi diri kita sendiri dengan mencampakkan diri kita ke arah kebinasaan.
Berilah peluang pada
diri untuk berubah ke arah yang lebih baik.
ISTIGHFAR
PENGHAPUS DOSA
Dalam usaha kita meniti
hari-hari tanpa dosa, maka basahkanlah lidah kita dengan perbanyakkan
istighfar.
Istighfar untuk tujuan
apa? Untuk menghapus dosa-dosa kecil kita atau dosa-dosa besar kita, seterusnya
mendekatkan diri kita dengan sang pencipta.
Punca seseorang itu
bermasam muka atau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan seseorang yang
lain adalah kerana tiada komunikasi yang baik. Benarkan?
Jika kita berkomunikasi
dengan seseorang dengan baik, maka wujud hubungan yang baik.
Begitu juga kita dengan
Allah s.w.t. Adakah kita berkomunikasi dengan Allah s.w.t setiap hari?
Bagaimana ingin berkomunikasi? Iaitu dengan cara memperbanyakkan berzikir dan
berdoa.
Doa itu adalah
komunikasi yang terbaik antara kita dengan Allah s.w.t. Pintalah pada Allah
agar Allah mencampakkan hati kita hidayah dan kita mohon ampun kepadaNya
terhadap dosa-dosa yang kita lakukan.
Oleh itu, berusahalah
untuk menajdi orang yang bertaqwa iaitu orang yang sentiasa mengawasi
langkah-langkahnya dari melakukan dosa-dosa kecil apatah lagi dosa-dosa besar.
PENUTUP
Sebagai pengajaran pada
kali ini, jauhilah segala perbuatan yang boleh menjerumus kita ke arah balasan
dosa yang jelas pengakhiran tempat bagi orang yang berdosa adalah di neraka.
Kita telah
diberitahukan tentang keadaan di neraka dan di syurga. Maka di dunia ini kita
pilihlah dengan akal yang waras sementara hayat masih ada.
Kerana apabila nyawa
telah sampai ke penghujungnya maka segala-galanya tiada berguna lagi melainkan
amalan sedekah kita, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak-anak kita kelak.
Maka bermuhasabahlah.
Berusaha untuk meniti hari-hari tanpa dosa.
“Dari Allah Kita Datang
Kepada Allah Jualah Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
No comments:
Post a Comment