Jubah

Jubah

Sunday, April 20, 2014

ADAB KETIKA BERSUKAN

ADAB KETIKA BERSUKAN


PENDAHULUAN

Membuat sesuatu aktiviti yang menyihatkan tubuh badan adalah digalakkan di dalam Islam. Islam amat menitikberatkan soal kesejahteraan badan dan akal fikiran.

Apabila badan sihat, maka akal pun akan berfungsi dengan cergas. Oleh itu aktiviti bersukan sangatlah penting dalam menjana tenaga harian.

Malah dalam sebuah hadis ada menyebut bahawa Allah sangat menyukai mukmin yang kuat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah”. (Riwayat Muslim)

Oleh demikian jelas bahawa kita dituntut untuk menjadi mukmin yang kuat dan bertenaga, kerana mukmin yang bertenaga sudah pasti mampu bekerja dengan lebih baik dan meneruskan dakwah tanpa lemah.

Persoalannya di sini ialah bagaimana kita dapat bersukan untuk kesihatan badan disamping mengurangkan dosa-dosa ketika bersukan dan menambahkan pahala padanya?

Sebagai individu muslim, kita bersukan bukan sekadar bersukan untuk menyihatkan badan sahaja.
Apa yang kita harapkan ialah setiap perbuatan kita sentiasa diredhai oleh Allah s.w.t. Dan termasuklah dalam bab bersukan di mana kita harapkan aktiviti sukan kita bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Oleh itu ingin dikongsikan di sini adab-adab ketika bersukan. Dengan adab-adab ini, kita dapat menjaga aktiviti sukan kita bersesuaian dengan status kita sebagai seorang mukmin.

ADAB BERPAKAIAN

Dalam kita bersukan, aspek pemakaian juga sangatlah penting. Sebagai individu mukmin yang sentiasa beriman kepada Allah dan juga RasulNya, sudah tentu kita perlu menjaga adab pemakaian.

Allah berfirman:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang auratperempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nuur:31)

Jelas pada ayat ini bahawa kita disuruh untuk menutup aurat dalam apa jua keadaan sekalipun.

Apakah pakaian yang dibenarkan dalam bersukan? Ia perlulah menutup aurat, tidak ketat, dan tidak mengghairahkan.Adab pemakaian ini terpakai kepada semua orang termasuk lelaki dan perempuan.

Oleh itu, peliharalah cara kita berpakaian dalam bersukan. Kerana bukan sahaja kita akan perolehi dosa, malah kita juga akan membuat orang lain juga akan dapat dosa.

AWASI LIDAH DAN MULUT

Selain menutup aurat, adab lain yang perlu kita jaga ialah lidah. Sering kali kita melihat ada pasukan-pasukan yang suka membuat provokasi yang boleh mencetuskan api permusuhan.

Bukankah kita sebagai individu mukmin perlu menunjukkan akhlak yang baik? Peranan kita sebagai muslim adalah membawa imej Islam dalam seluruh aspek kehidupan.

Apabila kita menunjukkan sikap yang negative, maka sudah tentu imej Islam akan menjadi buruk.
Oleh itu,kita kena sentiasa ingat bahawa kita bersukan bukan sahaja membawa imej tempat kerja, malah kita juga membawa imej kita sebagai muslim.

Masalah bagi lidah ini ialah apabila terdapat segelintir pemain atau invidu yang suka mencarut, berkata-kata yang boleh mencetuskan ketegangan, dan pada akhirnya akan wujud permusuhan.

Oleh itu, marilah kita kembali kepada tujuan asal kita mengadakan sukan iaitu untuk mengeratkan hubungan silaturrahim, menenangkan fikiran, menyihatkan tubuh badan, mencungkil bakat yang ada serta berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Allah berfirman:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah al-Hujuurat: 13)

Jelas pada ayat ini bahawa kita diciptakan adalah untuk berkenal-kenal antara satu sama lain. Oleh yang demikian, jadikanlah aktiviti bersukan ini sebagai pentas untuk kita kenal antara satu sama lain.

PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN

Selain adab lidah, kita juga perlu menjaga diri kita agar tidak bersentuh-sentuhan dengan bukan mahram.
Sukan yang kita sertai perlulah kita elakkan dari berlakunya sentuh menyentuh kerana Islam amat menitikberatkan soal dosa bersentuhan dengan bukan mahram.

Kadang-kadang ada sukan yang bercampur lelaki dan perempuan. Oleh itu, cuba elakkan dari berlakunya pelanggaran atau bersentuhan kerana Islam mementingkan aspek akhlak.

MENJAGA KEBERSIHAN

Selain kita bersukan, aspek kebersihan tempat bersukan juga kita perlu jaga. Apakah wajar bagi kita untuk mengotorkan tempat bersukan dengan alasan akan ada orang lain yang akan membersihkannya?

Itu bukanlah ciri-ciri seorang muslim. Islam sangat pentingkan kebersihan. Bukan sekadar kebersihan diri, malah kebersihan di tempat di mana kita berada.

Oleh itu, pastikan bekas-bekas makan minum kita, dimasukkan di tong sampah. Malah bagi yang menghisap rokok, merokoklah ditempat yang sepatutnya dan pastikan putung rokok itu dibuang ditempat yang telah disediakan.

Ingatlah, kita ini muslim. Maka akhlak itu mencerminkan siapa kita. Jika akhlak tidak terjaga, maka kita adalah individu muslim yang buruk sikapnya.

JAGA WAKTU SOLAT

Dan yang terakhir ialah adab menjaga waktu solat. Sebagai individu muslim, waktu solat perlu dijaga.

Selain menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti bersukan, kita juga perlu menyihatkan iman kita. Apa gunanya sihat tubuh badan, tetapi iman tidak sihat.

Oleh itu, jaga waktu solat, jangan sampai terlepas waktu. Kita tidak mahu Allah murka kita kerana kita tidak menjaga solat hanya dek kerna kita terlalu seronok bersukan.

PENUTUP

Bersukanlah seperti seorang muslim di mana tujuan bersukan itu adalah untuk menyihatkan tubuh badan, menyihatkan iman, mempamerkan akhlak yang soleh dan solehah, dan membina ukhuwah di antara kita.

Berusahalah untuk meraih pahala ketika bersukan dan cuba kurangkan dosa dengan mengawal tingkah laku yang tidak sihat dan negatif.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam



1 comment: