Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

BAGAIMANA ALLAH DAN MALAIKAT BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W?

BAGAIMANA ALLAH DAN MALAIKAT BERSELAWAT
KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W?

PENDAHULUAN

Setiap kali kita menunaikan solat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar seruan bilal mengingatkan para makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Antaranya yang kerap dituturkan ialah bacaan firman Allah Taala yang berbunyi :

"Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."
(Surah Al Ahzab:56)

Ayat yang di atas adalah ayat Al-Quran, ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna salawat yang sebenarnya dalam tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lainnya. Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti salawat Para Malaikat.

Dan salawat Para Malaikat ke atas Nabi S.A.W, tidak seperti selawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka. Semuanya berlainan walaupun istilah asal masing-masing adalah "salawat".

Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam ungkapan selawat yang terkenal. Salawat Allah ke atasnya bermaksud Allah Taala sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya hingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari Baginda hidup dalam alam barzakh hinggalah ke hari kiamat.

Inilah yang disebutkan dalam kitab Tafsir Al Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud, "Salawat daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredaanNya kepada Nabi Muhammad sepanjang masa".

Salawat daripada Para Malaikat bermaksud, "Para Malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad S.A.Wsepanjang zaman serta meredhainya. Ada pun salawat umat (kita) Muhammad kepada Baginda Nabi S.A.W adalah dengan menyebut salawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraannya kepada Baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa".

Dari tiga perbezaan jelas bahawa istilah salawat itu begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua, malaikat dan ketiga, umat manusia.

Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah S.A.W itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat kepada Baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari akhirat.

Malah Para Malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah Taala agar dilimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada Rasulullah S.A.W. 

Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf.


KELEBIHAN SELAWAT

Baginda Rasulullah S.A.W bersabda (mafhumnya), "Sesiapa yang bersalawat ke atasku satu salawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 rahmat."

Oleh kerana itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa salawat ke atas Nabi Muhammad adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam hidup seharian, bersalawat adalah sunat mu'akkad.

Sa'id Ibnu Musayyid meriwayatkan daripada Umar Al Khattab, beliau berkata, "Doa hamba kepada Allah tidak diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu. Apabila disebut salawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang menulis salawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka malaikat-malaikat terus bersalawat ke atas Nabi dan selama penulisannya itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke atasnya."

Jelas bahawa sesuatu doa itu tidak angkat terangkat kecuali diiringi dengannya selawat ke atas baginda Muhammad s.a.w.

Kemuliaan Rasulullah itu Allah letakkan dalam setiap perkara termasuk doa. Kita sebagai hamba Allah sentiasa mengharapkan agar doa kita sentiasa dimakbulkan oleh Allah.

Orang yang tidak berdoa kepada Allah s.w.t adalah orang yang sombong. Kenapa? Kerana dia menganggap dirinya memiliki segala-galanya dan meyakini bahawa apa yang dia dapat adalah usaha dirinya sendiri bukan dari Allah s.w.t sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.


HADIAH UNTUK HARI KELAHIRAN BAGINDA

Apakah hadiah yang kita ingin berikan kepada baginda jika baginda masih hidup? Sebagai umat yang sangat mencintai Baginda, tidakkah kita ingin memberi sesuatu yang baginda akan ingat pada kita sentiasa?

Sebaik-baik hadiah adalah selawat dan salam ke atas baginda dan juga keluarga baginda. Apakah hadiah seperti itu berat buat kita umat yang sentiasa mengagungkan Baginda dalam kehidupan kita?

Perbanyyakanlah selawat ke atas baginda kerana di dalam selawat itu ada rahmat dan syafaat. Bukankah di akhirat kelak syafaat baginda yang kita inginkan agar kita dapat amsuk syurga Allah?

Maka segeralah kita memperbanyakkan selawat ke atas baginda demi meraih syafaat darinya kerana tiadalah yang lebih manfaat buat kita sebagai umat di akhirat kelak kecuali mendapat syafaat dari Baginda Muhammad s.a.w.


HARGAI PERJUANGAN BAGINDA
Ketika hayat baginda, baginda dan para sahabat berusaha keras dalam menyebarkan dakwah Islam.
Pelbagai cabaran dan rintanagan yang dihadapi oleh Baginda bersama para sahabat hanya semata-mata untuk menegakkan syiar Islam.

Perhatikanlah kisah kehidupan Rasulullah s.a.w yang penuh liku-liku demi untuk umatnya. Dan Rasulullah itu tidaklah diutuskan kecuali sebagai rahamat untuk sekalian alam.

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Surah al-Anbiyaa’:107)

Ketika manusia sedang tersesat, dan kehidupan yang penuh jahiliyah, maka datanglah Rasulullah s.a.w sebagai pembawa berita gembira buat orang-orang yang beriman.

(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
(Surah Hud: 2)

Jelas pada ayat ini bahawa kedatangan baginda itu membawa berita gembira buat kita orang yang beriman.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas baginda. Maka marilah kita memperbanyyakkan selawat juga.

2.      Orang yang sentiasa berselawat ke atas baginda, Allah akan merahmatinya.

3.      Sebaik-baik umat ialah umat yang sentiasa berselawat ke atas baginda dan mengikut sunnahnya.

4.      Hargailah perjuangan baginda yang sentiasa memastikan tertegaknya syiar Islam. Janganlah kita menjadi umat yang meruntuhkan syiar Islam.

5.      Cintailah insan yang benama Muhammad s.a.w dengan sebenar-benar cinta, agar cinta kita itu akan membuat baginda sudi untuk memberi syafaat kepada kita kelak.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam






No comments:

Post a Comment