Jubah

Jubah

Tuesday, April 22, 2014

MENGHORMATI SEBELUM DIHORMATI

MENGHORMATI SEBELUM DIHORMATI
PENDAHULUAN

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

(Surah Luqman: 18)

Ayat ini menjelaskan kepada kita larangan dari berlaku sombong kepada sesama manusia. Siapakah kita selayaknya untuk berlaku sombong?

Dalam hal ini, kita mengharapkan agar orang lain menghormati kita. Tetapi kadang-kadang masalahnya berpunca dari diri kita sendiri yang tidak menghormati orang lain.

Ini yang sering terjadi. Hormat-menghormati dan toleransi, kedua-duanya hilang dari diri seseorang manusia. 

Kenapa?

Kadang-kadang ia berpunca daripada ego dengan atas kenyataan bahawa ‘Aku adalah lebih baik dari kau’.

Ayat sebegini yang sering ditimbulkan oleh orang-orang yang sombong dan tidak suka menghormati orang lain.

Ayat di atas jelas melarang kita memalingkan muka sebagai tanda sombong. Inikan pula kita sebagai satu Jemaah yang sentiasa bersama-sama suka dan duka.

Jangan kerana sombong, Jemaah rebah. Sombong itu sangat bahaya  kerana ia boleh menambahkan jurang perbezaan kita dengan orang lain.


PENGAJARAN DARI KISAH NABI

Kita selalu dengar kisah Nabi kita yang mulia Nabi Muhammad s.a.w di mana baginda adalah orang yang paling hebat dalam membina hidup bermasyarakat.

Siapa tidak kenal Nabi yang ketika itu hebat dengan akhlak yang baik. Nabi sentiasa menghormati orang lain. Dengan para sahabat dan ummat ketika suatu masa dahulu.

Malah dengan memiliki sikap yang mulia itu ,Nabi Muhammad s.a.w menjadi ikon bagi akhlak yang baik.

Apakah kita tidak ingin mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini? Bukankah Nabi Muhammad itu Nabi kita yang kita sanjung-sanjungkan selama ini?

Nabi ketika hayatnya pernah dikhabarkan Nabi selalu dilemparkan dengan najis oleh seorang wanita tua lantaran bencinya dia pada Nabi. Tetapi Nabi tidak membalasnya. Malah dibalas dengan senyuman.

Sehinggalah suatu hari Nabi tidak melihat wanita itu dan wanita itu tidak mencampakkan najis padanya seperti biasa.

Nabi bertanyakan pada jiran tetangga tentang wanita tersebut. Maka didapati wanita itu telah jatuh sakit.

Maka Nabi datang menziarahi wanita tersebut dengan membawa buah tangan. Terkesan dengan sikap Nabi Muhammad s.a.w itu, maka wanita tua itu mengucap dua kalimah syahadah.

Itulah yang diajarkan pada Nabi. Saling menghormati di antara satu sama lain.


TIADA HORMAT TIADA MAHABBAH

Apabila seseorang tidak menghormati seseorang yang lain, maka hilang mahabbah di antara mereka.

Sedangkan mahabbah itu terbit apabila kita mula menghormati. Seperti kisah kisah Nabi tadi, Nabi menghormati wanita tersebut, dan pada akhirnya wanita itu timbul perasaan cinta dan mahabbah pada baginda sehingga wanita itu megucap dua kalimah syahadah.

Dalam sesebuah Jemaah, hormat adalah salah satu aspek yang sangat penting. Apabila hilang hormat, maka Jemaah akan jadi goyah.

Janganlah kerana hal kecil kita hilang hormat di antara satu sama lain. Apatah lagi kita adalah golongan professional yang sedang mendaki untuk mencapai kejayaan dan kemenangan.

Jangan jadikan sombong itu punca hilang hormat. Khususnya kita sebagai muslim yang berpegang teguh kepada al-quran dan as-sunnah.

Target kita dalam hidup berjemaah adalah untuk mewujudkan perasaan mahabbah. Persoalannya bagaimana?

Maka hormat adalah yang terbaik. Muda atau tua, pangkat tinggi atau rendah, kaya atau miskin, pandai atau kurang pandai, dan sebagainya.

Maka apabila hormat itu menjadi nilai yang terbaik, sudah tentu kita dapat meraih tahap mahabbah seperti yang telah dipraktikkan oleh baginda Muhammad s.a.w.

Ketika kita ingin berlaku sombong, segeralah ingat akan Nabi Muhammad s.a.w. Ingatlah kembali budi pekerti baginda.

Baginda sangat cintakan umatnya yang berakhlak mulia. Dan kita tahu bahawa nabi itu diutuskan untuk menunjukkan akhlak yang baik.


JAUHI SOMBONG DAN BONGKAK

Oleh demikian, jauhilah sifat sombong dan bongkak. Hormatilah kita sesama ahli Jemaah. Jangan bertelagah. Bawalah bincang seperti yang diajarkan oleh baginda melalui dnegan cara bermesyuarat.

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(Surah ali-Imraan:159)

Oleh itu, berbahagialah ummat Muhammad kerana cinta Allah dan RasulNya kepada golongan yang sentiasa mengasihi saudaranya.


PENUTUP

Taatilah Allah dan Rasul dengan mentaati segala suruhan dan larangan yang terdapat di dalam al-quran dan hadis.

Dan salah satu larangan Allah ialah larangan dari berlaku sombong kepada sesame manusia.

Hormatlah seperti mana yang telah diajarkan oleh baginda melalui contoh tauladan akklak baginda.

Kerana itu adalah tauladan yang terbaik untuk kita contohi.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam

No comments:

Post a Comment