PERLU KE MENYAHUT SERUAN
ILAHI?
PENDAHULUAN
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa
apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu),
dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Surah al-Baqarah:186)
Ayat ini menjelaskan
kepada kita tentang suruhan menyahut seruan Allah s.w.t. Seruan Allah supaya
kita beriman kepadaNya dan mentaati segala perintahNya.
Apabila kita
membicarakan tentang seruan Allah s.w.t, ia menjadi persoalan. Seruan apakah
yang kita perlu patuh pada hakikatnya?
Apakah seruan-seruan
yang Allah sebutkan di dalam al-quran? Apakah wajib untuk kita menyahut seruan
tersebut?
Jika tidak menyahutnya,
apakah kita akan diberi balasan azab?
ALLAH MENYERU
KITA AGAR BERIMAN
Berdasarkan ayat di
atas tadi, jelas bahawa seruan Allah s.w.t untuk kita tunduk dan taat kepada
perintahNya adalah seruan yang jelas.
Tetapi kenapa kita
masih ingin menolak seruan Allah s.w.t?Allah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, sahut
dan sambutlah seruan Allah
dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru
kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah
bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang
itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan
dihimpunkan.
(Surah al-Anfaal:24)
Jelas pada ayat di atas
bahawa Allah dan RasulNya sudah pun menyeru kepada kita untuk mentaati
perintahNya.
Apakah kita masih nak
keluarkan statement bahawa kita belum ingin berubah kerana ‘belum sampai seru’?
Kadang-kadang kita
selalu mendengar istilah ‘tunggu sampai seru’ dan sebagainya. Apakah seruan yang
kita tunggukan atau bala yang kita nantikan?
Maka segeralah kita
kembali ke jalan Allah s.w.t. Cuba kita tanya pada diri kita sejenak, “Apakah
kita di laluan yang betul?”
Sebagai contoh apabila
kita memandu kereta. Jika kita dapati jalan yang kita lalui berlainan dari
jalan yang biasa orang lain tempuhi, sudah pasti kita akan merujuk kembali
kepada peta yang sedia ada bagi memastikan semula jalan yang dilalui itu jalan
yang benar.
Begitulah juga kita di
dalam kehidupan. Kita perlu check kembali laluan kita. Adakah ia benar atau
salah.
ALLAH MURKA
ORANG TOLAK SERUAN
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada
Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada
kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang
sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku
dengan terus melakukan dosa!
(Surah Hud: 52)
Jelas pada ayat ini
bahawa kita dilarang untuk membelakangkan seruan Allah s.w.t. Bukankah ia jelas
bagi kita?
Allah sudah menyeru
supaya kita taat dan beriman, dan Allah tekankan lagi dengan larangan agar
tidak membelakangkan seruanNya.
Maka apakah kita masih
tegar untuk menolak seruan Allah s.w.t?
Sedangkan Allah s.w.t
telah berfirman jika kita terus-menerus memohon ampun kepada Allah s.w.t dan
mentaati perintahNya, maka Allah akan menganugerahkan bermacam-macam nikmat.
Oleh yang demikian,
janganlah kita menjadi hamba yang derhaka hanya kerna kita menolak perintah
untuk tidak mentaatiNya.
MENYAHUT SERUAN
SEBELUM DIGANTIKAN
Dalam pada itu, jika kamu
membelakangkan juga seruanku, maka
tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang
telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan
kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula
tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal
dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu."
(Surah Hud: 57)
Jelas pada ayat ini
bahawa jika kita tidak menyahut seruan Allah s.w.t, maka ia tidak menjadi hal
kepada Allah. Malah Allah s.w.t akan menggantikan golongan yang tidak menyahut
seruanNya itu dengan golongan yang lain.
Dan jelas bahawa hal
sedemikian langsung tidak dapat membahayakan Allah s.w.t. Kenapa? Kerana bagi
Allah bumi dan langit ini adalah milikNya.
Sebagai contoh apabila
seseorang yang diambil bekerja, kemudian dia langsung tak nak melakukan kerja
yang telah ditetapkan.
Maka pihak majikan
sudah tentu akan memberhentikannya dan menggantikannya dengan orang lain.
Maka rugilah orang
tersebut kerana ketika dia diberi peluang bekerja dan meraih rezeki, dia
memilih untuk tidak melaksanakan kerjanya. Akhirnya dia dibuang dan terus rugi
dalam kehidupannya.
MENOLAK SERUAN, HITUNGAN
YANG BURUK
Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah
balasan yang sebaik-baiknya; dan orang-orang yang ingkar yang tidak
menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai
segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah
mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu disediakan baginya hitungan
hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah neraka jahanam;
dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
(Surah ar-Ra’d:18)
Jelas pada ayat ini
bahawa orang yang menyahut seruan Allah, baginya balasan yang baik. Akan tetapi
jika seseorang itu menolak seruan Allah, maka apa jua harta dunia yang dia
miliki, tidak mampu untuk menebus dosanya di akhirat kelak. Maka neraka jahanam
adalah seburuk-buruk tempat untuk mereka tinggal.
Oleh yang demikian,
adakah kita masih ingin menolak seruan Allah? Apakah kita masih ingin
mengatakan ‘belum sampai seru’?
Maka berubahlah sebelum
kita dipanggil oleh Allah s.w.t dan digantikan dengan kaum lain yang lebih
mentaati segala perintahNya.
SERUAN ALLAH DAN
RASUL ADA DALAM AL-QURAN
Oleh demikian,
perhatilah kalimah-kalimah Allah di dalam al-quran. Di dalamnya banyak
perintah-perintah dan laranganNya buat kita.
Maka taatilah ia dengan
sebenar-benar taat. Allah berfirman:
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu dengan wahyu (Al-Quran
yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu orang-orang yang pekak tidak
dapat mendengar seruanapabila
mereka diberi amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan
amatlah berat).
(Surah al-Anbiyaa’: 45)
Jelas orang yang
buat-buat pekak sudah tentu dia tidak akan mendengar seruan Allah s.w.t. Maka
dengan buat-buat pekak itulah yang menyebabkan dia akan ditimpa azab yang berat
di akhirat kelak.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh
diambil:
1.
Sesungguhnya
seruan Allah itu sudah disebutkan di dalam al-quran, maka taatilah ia.
2.
Janganlah jadi
hamba yang ingkar, kelak akan merana diazab di akhirat kelak.
3.
Mulai pada hari
ini, buanglah istilah ‘tunggu sampai seru’, kerana seru sudah pun ada, hanya
tinggal taat atau ingkar sahaja.
4.
Jangan akhiri
hidup kita dalam keadaan menjadi hamba yang ingkar terhadap Allah s.w.t.
5.
Jangan buat-buat
pekak terhadap seruan Allah, kerna azab Allah sangat berat.
“ Dari Allah Kita
Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
No comments:
Post a Comment