Jubah

Jubah

Sunday, April 20, 2014

APABILA AKHIRAT MENJADI TUJUAN UTAMANYA

APABILA AKHIRAT MENJADI TUJUAN UTAMANYA

PENDAHULUAN

Setiap perkara pasti ada tujuannya. Dan apakah tujuan kehidupan kita? Apakah tujuan kita belajar? Apakah tujuan kita membuka perniagaan?

Pelbagai jawapan yang kita akan perolehi. Tetapi jika jawapan kita bersandarkan keuntungan dunia, maka ia akan merugikan kita. Akan tetapi jika ia disandarkan pada keuntungan akhirat, baginya keuntungan untuk kedua-duanya.

Berdasarkan hadis dari baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan hina (iaitu dalam keadaan diri dia mulia), Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letak kefakirannya antara kedua matanya, Allah cerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya ( iaitu dalam keadaan hina)”
(Hadis riwayat at-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

Jelas pada hadis ini bahawa orang yang menjadikan tujuan hidupnya hanya semata-mata untuk akhirat pasti beroleh nikmat dan kejayaan yang diredhai di dunia ini.

Bukankah itu tujuan hidup kita sebenar? Mengejar akhirat yang kekal abadi berbanding mengejar dunia yang hanya sementara.

Jika kita mengejar dunia yang hanya semata-mata tanpa memikirkan hal akhirat sudah tentu kita akan frust dan kecewa. Kerna di akhirat kita gagal membawa apa-apa bekalan sebagai penyelamat kita kelak.

Hakikatnya masa kini kita dapat lihat betapa ramainya umat Islam yang sangat mementingkan urusan dunia di mana apda akhir hayatnya ia menjadi tunggang langgang dan tidak bahagia sedangkan kebahagiaan dunia dan akhirat itu adalah impian setiap insan.


UTAMAKAN DUNIA: BALASAN BURUK DI AKHIRAT

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

(Surah al-Baqarah:86)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang mengutamakan dunia sudah pasti akan mendapat azab dari Allah s.w.t, padahal akhirat itu boleh memberi kebahagiaan kepadanya jika dia mentaati perintah Allah s.w.t.

Apakah kita masih ingin mengutamakan dunia semata-mata? Kejar akhirat, dunia pasti akan mengejar kita.

MENJADIKAN AKHIRAT MATLAMAT UTAMA: BAGAIMANA?

Dan cara untuk kita menjadikan hidup kita adalah untuk akhirat ialah dengan cara meletakkan ketaatan kepada Allah s.w.t sebagai perkara pertama.

Apa jua yang kita buat, pastikan ia adalah kerana Allah s.w.t. Baik dalam hidup berumahtangga, kerjaya, dalam kehidupan masyarakat, dan sebagainya, maka letakkan akhirat sebagai objektif utama.

Sebagai contoh dalam kehidupan rumahtangga. Bagaimana kita dapat jadikan kehidupan rumahtangga bermatlamatkan akhirat?

Sudah tentu kita dapat melakukannya dengan menerapkan cara hidup sunnah dalam keluarga. Selalau bersama-sama solat berjemaah dengan keluarga. Ambil masa sedikit untuk buat usrah yakni muzakarah antara keluarga.

Titipkan nilai-nilai Islam dalam keluarga, insyaallah kebahagiaan itu akan menjelma. Allah berfirman:

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
(Surah al-Baqarah:138)

Jelas bahawa celupan Allah terhadap kehidupan kita dengan celupan Islam itu adalah yang terbaik.

Apakah kita masih sangsi dengan celupan Allah itu? Maka taatilah perintah Allah dan segeralah meninggalkan laranganNya.

HOTEL SYARIAH: MATLAMAT UNTUK AKHIRAT

Dalam usaha kita bersama menajdikan hotel kita benar-benar patuh syariah, beberapa aspek perlu diterapkan dan dipraktikkan.

Seperti yang kita bincangkan di atas, apabila kita ingin meletakkan akhirat sebagai objektif utama kita dalam kehiudpan kita, pelbagai perkara yang kita cuba praktikkan sebagai contoh tadi mempraktikkan kehidupan sunnah dalam kekeluargaan.

Tetapi bagaimana pula dengan kerjaya kita. Sudah tentu apabila kita meletakkan sasaran dan tujuan penubuhan hotel kita demi akhirat, sudah tentu nikmat dan rahmat Allah snetiasa bersama kita.

Tetapi bagaimana kita dapat menjadikan hotel kita benar-benar bermatlamatkan akhirat?

Sudah tentu dengan cara kita membetulkan kembali niat kita yang selama ini bertujuan hanya semata-mata kerana keuntungan dunia.

Yang kedua, terapkan nilai-nilai Islam dalam organisasi kita. Kita berusaha menjadi pimpinan yang benar-benar beriman dan bertaqwa dan segala keputusan berlandaskan al-quran dan as-sunnah.

Yang ketiga sentiasa menjadikan pekerja-pekerja kita golongan yang sentiasa taat pada perintah Allah. 
Sebagai contoh menerapkan kepentingan solat, fadhilat bekerja dalam keadaan berwudhuk, mempraktikkan sunnah memberi salam dan melemparkan senyuman, bermuzakarah apabila berlaku salah faham dan tidak puas hati, dan sebagainya.

Yang keempat, memastikan perjalanan perniagaan kita luaran dan dalaman 100% patuh shariah. Sebagai contoh untuk pelanggan, kita sajikan makanan yang halal, aktiviti yang bermoral dan berakhlak, menjaga tatasusila dan adab melayan tetamu, dan yang paling penting ialah dakwah yakni memperkenalkan Islam dengan kaedah yang penuh hikmah agar Islam itu difahami dengan jelas, bukan dianggap pengganas oleh sesetengah pihak.

Untuk pekerja-pekerja pula, kita terapkan nilai-nilai murni, sunnah ketika bekerja seperti mengambil wudhuk, menjaga waktu solat, menjaga aurat  sesama muslim, mengadakan program-program sukan atau gathering yang patuh syariah, dan sebagainya.

Inysaallah apabila kita menjadikan hotel kita benar-benar patuh syariah dan akhirat adalah matlamat utama, maka sudah tentu kejayaan dan kebahagiaan akan kita perolehi baik didunia mahupun diakhirat.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Jadikanlah kehidupan kita bermatlamatkan akhirat semata-mata.
  2. Kejar akhirat dunia pasti akan kejar kita, tetapi jika kita kejar dunia sudah tentu dunia tinggalkan kita dan akhirat juga akan menajuhi kita.
  3. Praktikkan shariah dalam segala aspek kehidupan kita kerana padanya nikmat dan rahmat dari Allah s.w.t.
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment