Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

BERITA GEMBIRA BUAT ORANG BERIMAN

BERITA GEMBIRA BUAT ORANG BERIMAN

PENDAHULUAN

Ketika mana al-Quran diturunkan, ia merupakan berita gembira buat umat manusia, kerana padanya petunjuk dan panduan hidup.

Seperti seseorang yang berada dalam kegelapan. Apabila didatangi seseorang yang membawa lampu suluh, maka dia akan berasa gembira kerana baginya mudah untuk berjalan dengan selamat.

Dan Nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah swt untuk membimbing manusia kearah jalan yang diredhai. Firman Allah swt:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.”
(Surah al-Baqarah: 119)

Allah sangat menyayangi hambaNya. Salah satu buktinya Allah datangkan ujian bagi tujuan kita menajdi orang yang sabar seterusnya memberi balasan pahala bagi orang yang menghadapinya dengan baik.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabargembira kepada orang-orang yang sabar:”
(Surah al-Baqarah:155)

Jadi persoalannya apakah berita gembira orang yang beriman yang telah Allah khabarkan?
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(Surah al-Baqarah:25)

Maka jelas dari ayat di atas bahawa berita gembira bagi orang mukmin yang beramal soleh ialah syurga yang menjadi idaman setiap manusia.


PATUH DAN TAAT PADA SURUHAN

Orang yang beriman sentiasa taat dan patuh pada suruhan Allah swt dan meninggalkan laranganNya.

Pernahkah kita menanyakan diri kita sendiri sama ada kita ini orang yang beriman atau tidak?Sekiranya tidak apakah langkah-langkah yang telah kita lakukan dalam usaha untuk menajdi orang beriman.

Allah bagi kenyataan yang jelas bahawa syurga itu milik orang beriman dan beramal soleh. Kita sebagai individu yang diberi akal fikiran mampu berfikir secara rasional tentang hal ini.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
(Surah ali-Imraan:171)

Ayat ini jelas mengatakan tentang balasan nikmat serta pahala buat orang beriman.

GEMBIRA SI PENDERHAKA

Orang-orang yang menderhaka terhadap perintah Allah juga akan berasa gembira dengan sangkaan bahawa Allah itu memberi nikmat kepada mereka. Akan tetapi ketahuilah bahawa penderhaka yang digembirakan Allah dengan kemewahan dunia ini sedang menanti bala yang dipersiapkan Allah untuk mereka.

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
(Surah al-An’aam: 64)

“Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.”
(Surah ar-Ra’ad: 26)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kuasa Allah dalam berkehendak. Maka jika di mengkehendaki memeberi rezeki Dia juga mampu berkehendak untuk menyempitkan rezeki. Akan tetapi golongan yang tidak beriman akan bergembira dengan kehidupan dunia, padahal mereka tahu ia hanyalah bersifat sementara sahaja.

SIAPA ORANG BERIMAN?

Mereka ini menjadi salah satu golongan yang mendapat berita gembira dari Allah swt. Siapakah golongan ini?
(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
(Surah at-Taubah:112)

Ayat ini jelas menyebut tentang ciri-ciri orang beriman iaitu salah satunya ialah orang yang bertaubat. Maka marilah kita bertaubat kepada Allah swt, bagi meraih berita gembira dariNya berbentuk ganjaran syurga.


SIAPAKAH KITA DIAKHIRAT KELAK?

Siapakah kita di akhirat kelak? Apakah kita penghuni syurga atau penghuni neraka?Di golongan manakah kita nanti,golongan gembira atau sedih?

Ketika di akhirat kelak, akan ada dua golongan.Golongan pertama ialah golongan yang gembira dan golongan ini adalah dikalangan orang beriman kerana mereka akan ditempatkan ke syurga. 

Golongan kedua ialah golongan yang sedih dan takut. Golongan ini akan dicampakkan ke dalam api neraka dan kekal di dalamnya selama-lamanya.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadilah orang yang beriman kerana Allah sudah memberi khabar gembira buat sesiapa yang beriman.

2.      Taat dan patuh segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

3.      Janganlah biarkan diri kita gembira dengan kemewahan dunia sedangkan itu hanyalah perangkap bagi kita terus dibuai dengan keasyikan dunia.

4.      Tanyalah pada diri kita: “Siapakah kita?Apakah kita ini orang beriman atau tidak? Ke manakah destinasi kita yang terakhir?Syurga atau neraka?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan


Wallahualam

No comments:

Post a Comment