Jubah

Jubah

Tuesday, April 22, 2014

LIDAH YANG MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH ADALAH LIDAH YANG SAMA BERKATA-KATA KEJI?

LIDAH YANG MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH
ADALAH LIDAH YANG SAMA BERKATA-KATA KEJI?

PENDAHULUAN

Dua perkara penting yang selalu ditekankan oleh Islam kepada manusia supaya menjaga lidah dan tingkah laku.

Rasulullah s.a.w berpesan jika kita benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, kita perlu mengeluarkan kata-kata yang baik, dan sekiranya tiada sesuatu kata-kata yang baik ingin dikeluarkan maka diam adalah yang terbaik.

Tajuk pada hari ini berkaitan dengan lidah di mana terdapat segelintir manusia yang suka menyalahgunakan lidah.

Sedangkan lidah yang selalu mengucap kalimah-kalimah toyibah seperti syahadah, zikrullah adalah lidah yang sama juga berkata-kata sesuatu yang keji.

Lidah itu jugalah yang suka mengadu domba, membawa berita fitnah, mengumpat dan sebagainya.

Amat malang bagi segelintir umat Islam yang berperilaku sedemikian. Hari-hari solat, menunaikan ibadah, tetapi diluar ibadah berkata-kata yang keji.

Di dalam sesebuah organisasi kita boleh lihat berapa ramai yang berperangai sedemikian rupa. Gerak kerjanya sedikit akan tetapi kerja mengadu domba, mengumpat adalah lebih banyak.

Bukankah kita sebagai muslim perlu menjaga lidah dan tingkah laku seperti mana yang telah diajarkan oleh baginda Muhammad s.a.w?

Kenapa boleh terjadi sedemikian rupa? Bukankah solat itu sendiri mencegah dari perbuatan keji dan mungkar?

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkardan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-ankabutt: 45)

Jelas pada ayat ini bahawa solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar? Jadi kenapa ada lagi umat Islam yang tidak menjaga tingkah laku dan lidah dari perbuatan yang keji?

Sudah semestinya solat yang ditunaikan itu adalah sekadar melengkapi adat sahaja bukan kerana niat sebenar-benar kerana Allah s.w.t


LIDAH YANG MENGADU DOMBA

Kita sering lihat sebahagian umat Islam khususnya dalam sesebuah organisasi yang suka mengadu domba di antara staf yang lain.

Karakter orang yang suka mengadu domba ini kita boleh lihat apabila gerak kerjanya kurang dan tidak berdisplin.

Sebahagian umat Islam ini suka mengambil kesempatan untuk mencetuskan api permusuhan di antara staf-staf yang lain hanya tujuan untuk kepuasan diri sendiri.

Bukankah mereka ini juga orang-orang yang menunaikan solat? Yang sentiasa bertasbih, bertahmid, bertakbir, dan bertahlil?

Kenapa lidah mereka terlalu ringan untuk berkata-kata sesuatu yang nista? Sudah pasti bahwa ibadah mereka selama ini hanya tujuan untuk mengaburi saudara seislamnya yang lain.

Malah mereka ini sentiasa menganggap diri mereka adalah yang soleh dan terbaik sedangkan di belakang mereka selalu membawa cerita-cerita yang dusta dan cuba menimbulkan ketegangan di antara sesama umat Islam itu sendiri.

Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

(Surah an-Nahl: 62)

Jelas pada ayat ini bahawa balasan orang-orang yang berkata-kata dusta dan suka mengadu-domba ini adalah ditempatkan di neraka Allah s.w.t, malah kemasukannya ke neraka akan disegerakan oleh Allah.

Oleh itu, adakah kita ingin menjadi golongan yang suka mengadu-domba? Adakah kita ingin membiarkan lidah yang selalu kita basahkan dengan zikrullah, bacaan al-quran, dan sebagainya, kita biarkan ia mengheret kita ke neraka hanyasanya kita tidak menjaga lidah kita dari berkata-kata yang dusta dan nista?

Maka awasilah lidah kita dari terjebak ke dalam kancah pergeseran dan persengketaan hanya kerana ingin memuaskan nafsu jahat dan ketidakpuashatian kita terhadap mana-mana individu, atau organisasi.


LIDAH YANG SUKA FITNAH

Apakah hukum bagi orang yang suka memfitnah? Adakah Allah dan RasulNya suka akan orang-orang yang menabur fitnah?

Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

(Surah al-Baqarah:191)

Jelas pada ayat ini bahawa fitnah itu dosanya adalah lebih besar dari pembunuhan. Maka patutkan kita membiarkan lidah kita menjadi alat untuk memfitnah khususnya terhadap sesama saudara seislam sendiri?

Lidah yang selalu menyebut ayat-ayat Allah kemudian pada masa yang sama membawa fitnah kepada umat Islam, bukankah ia sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Maka tidak hairanlah jika kita boleh lihat dalam sesebuah organisasi masih terdapat umat Islam yang menjadi pemain utama dalam membawa khabar-kahabar fitnah.

Bagi mereka satu kepuasan apabila dapat memporak-perandakan sesebuah organisasi hanya kerana tidak puas hati terhadap beberapa isu sahaja.

Inikah cara Islam? Adakah wujud dalam hadis atau ayat-ayat al-quran yang menggalakkan umatnya untuk memfitnah dan mengadu-domba? Jika ya, sila kemukakan.


JAUHI PEMFITNAH, PENDUSTA, PENGADU DOMBA

Apabila wujud golongan-golongan sebegini, maka jauhilah dia supaya kita tidak terjebak dan mendapat saham di atas dosa yang sama yang telah dibuat oleh golongan tersebut.

Mula-mula nasihatkan mereka tentang dosa dan balasan buruk bagi orang yang tidak menjaga lidah, kemudian jika nasihat tidak didengari maka jauhilah ia.

Sesungguhnya kawan yang baik ialah kawan yang boleh membawa kita ke arah keredhaan Allah bukan kemurkaan Allah.

Kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Jangan kerana hanya terdapat beberapa individu yang suka memecah belahkan sesebuah Jemaah, maka rosak dan musnahlah keseluruhan Jemaah tersebut.

Pelihara persaudaraan kita sesama manusia khususnya sesama saudara seislam. Apakah kita cukup bersedia untuk mengahadapi seksaan api neraka hanya kerana kita gagal mengawal lidah dan tingkah laku kita dari melakukan kejahatan dan kemungkaran?

Sesungguhnya seksaan api neraka itu sangatlah pedih, dan azabnya memakan masa bertahun-tahun.

Janganlah kita mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Kelak kita akan rugi di akhirat kelak. Jangalah kita menjadi manusia yang suka mengadu-domba, kerana Allah dan RasulNya tidak pernah meredhai perbuatan tersebut.

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

(Surah an-Nuur:15)

Ayat ini menjelaskan tentang dosa besar bagi lidah yang suka berdusta. Sedangkan bagi mereka berkata-kata hal dusta itu adalah perkara kecil.

Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.

(Surah an-Nuur: 24)

Ayat ini pula menjelaskan tentang lidah dan tangan yang akan menjadi saksi kita diakhirat kelak. Jika baik maka selamatlah kita, akan tetapi jika sebaliknya, maka bersedialah dengan azab Allah s.w.t.


PELIHARA LIDAH DENGAN ZIKRULLAH

Kadang-kadang kita suka membiarkan lidah untuk berbicara yang dusta. Alangkah baiknya jika kita manfaatkannya pada jalan Allah seperti memperbanyakkan berzikir, mengajak manusia kepada yang maaruf dan mencegah manusia dari pebuatan yang mungkar.

Kadang-kadang lidah ini susah untuk dijaga lebih-lebih lagi ketika kita berkumpul beramai-ramai ketika rehat, atau ketika berhibur, bersukan atau sebagainya.

Maka berdiam dirilah jika ia lebih baik dari berkata-kata yang tidak manfaat untuk diri sendiri. Sesungguhnya Allah sangat menyukai orang yang sentiasa mengingatiNya dan tidak menyalahgunakan lidah untuk menyakiti hati orang lain.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Lidah yang mengucap belum tentu akan selamat di akhirat kelak jika pada hayatnya ia disalahgunakan untuk mengadu domba.

2.      Rasulullah s.a.w berpesan agar menjaga lidah dan tingkah laku kita.

3.      Lidah yang suka mengadu-domba pasti akan mendapat balasan buruk dari Allah s.w.t.

4.      Lidah yang suka memfitnah baginya dosa yang sangat besar seperti dosa membunuh.

5.    Jauhilah dari golongan yang suka membawa berita-berita fitnah dan cerita-cerita dusta hanya kerana ingin mencetuskan api permusuhan dan ketika itu syaitan sedang mempengaruhinya.

6.   Peliharalah lidah dengan memperbanyakkan zikrullah dan menyuruh kepada kebaikan dan mecegah dari kemungkaran.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallhualam


No comments:

Post a Comment