Jubah

Jubah

Tuesday, April 22, 2014

MENENANG GELORA DENGAN KALAM ALLAH

MENENANG GELORA DENGAN KALAM ALLAH

PENDAHULUAN

Setiap hari kita akan menghadapi pelbagai gelora masalah. Setiap manusia pasti akan menghadapinya.

Gelora masalah kadang-kadang memberi kesan kepada iman kita. Jika iman kuat, maka kita akan hadapi dengan tabah dan professional.Dan jika sebaliknya, maka hati-hatilah, kerana ia boleh membawa kita kepada simpang kekufuran.

Dan kita perlu sedar akan bahaya kufur ini. Tertekan dengan masalah boleh mendekatkan diri kita kepada kufur, sedangkan firman Allah s.w.t:

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

(Surah al-Baqarah:28)

Apakah kita masih ingin kufur terhadap tuhan yang menciptakan kita? Maka bermuhasabahlah kita.

Apabila kita menghadapi gelora masalah, sudah tentu kita ingin mencari jawapan dan ketenangan.

Ketenangan yang bagaimanakah yang mampu mendatangkan jawapan yang lebih baik?

Sebab dengan ketenanganlah, seseorang yang menghadapi masalah akan mudah mendapat jawapan yang diinginkan. Berbeza pula dengan orang yang menghadapi masalah dengan tertekan.

Menghadapi masalah dengan dalam keadaan tertekan boleh membuatkan seseorang itu membuat satu keputusan dan jawapan yang berisiko ke arah negatif. Dan hasilnya boleh mendatangkan masalah pada orang lain juga.

Sebagai contoh jika dirumah, apabila tertekan dengan masalah, maka anak-anak akan jadi mangsa.

Oleh itu, bagaimanakah kita ingin mencapai ketenangan dalam usaha kita menghadapi masalah yang besar atau kecil?


KALAM ALLAH PENENANG GELORA

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

(Surah az-Zumar:23)

Jelas pada ayat ini bahawa al-quran itu diturunkan sebagai penenang jiwa bagi mereka yang benar-benar beriman. Al-Quran datang membawa pengajaran dan panduan bagi kita.

Allah Maha Mengetahui akan ciptaanNya. Allah tahu bahawa manusia amat perlukan sesuatu sebagai panduan dalam menghadapi dunia ini. Justeru itu, Allah turunkan al-Quran sebagai penenang gelora jiwa manusia.

Maka bacalah ia selalu. Dekatkanlah hati kita dengan al-quran kerana ia adalah sebaik-baik penenang jiwa.


BERIMAN DENGAN AL-QURAN HATI BISA TENANG

Bukan sekadar kita membaca sahaja, malah kita beriman dengan ayat-ayat Allah. Kerana itu adalah ketenangan yang besar buat kita sang hamba.

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah at-Taghabuun: 11)

Oleh itu, telah kita mendapat jawapan akan cara bagaimana kita dapat menahan gelora masalah yang kita sering hadapi khususnya dalam organisasi kita.

Pendekatan melalui al-quran adalah yang terbaik. Jiwa yang selalu kotor dek dosa akan sukar untuk kita menemui penyelesaiaan dalam keadaan kita tertekan.

Justeru itu tidak hairanlah jika boleh wujud permusuhan, kebencian, persengketaan di kalangan kita sebagai sebuah organisasi hanyasanya kita tidak tenang apabila menghadapi masalah.

Maka ikatlah hati kita dari bergelora dengan sentiasa membaca ayat-ayat Allah s.w.t.


PENUTUP

Tidaklah al-quran itu diturunkan melainkan untuk memimpin hati-hati yang mencari kebenaran dan ketenangan.

Maka binalah hubungan dengan Allah melalui jalan-jalan ayat-ayatNya di mana padanya jelas keterangan dan pengajaran yang boleh membawa kita kepadaNya.

Pujuklah hati kita untuk sentiasa membaca ayat-ayat Allah. Jika kita tidak tahu membaca, ambillah peluang untuk membaca.

Kerana saat kita akan mati, al-quran adalah bahan pertama yang kita akan cari untuk kita baca dengannya. 
Akan tetapi malanglah bagi kita jika kita tidak mampu membacanya dengan baik.

Maka bermuhasabahlah kembali.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam

No comments:

Post a Comment