PENDAHULUAN
“Dan sungguh Kami benar-benar akan
menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta,
hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan…(Surah al-Baqarah : 155)
Berat sungguh beban yang ditanggung
oleh jiwa ibarat sebuah lori yang sedang membawa muatan yang melebihi had yang
dibenarkan, merangkak-rangkak mendaki bukit.
Di jalan yang rata pula bisa
dikalahkan oleh kenderaan yang lebih kecil “cc” kelajuannya. Bagaimana berat
rasa yang ditanggung oleh jiwa bergantung kepada tahap kemampuan seseorang
menyerapnya.
Apabila seseorang itu gagal menyerap
beban dijiwanya akibat ujian yang sedang ditimpakan ke atasnya, makan tekanan
dijiwanya akan bertambah berat.
Semakin lama beban yang ditanggung
itu semakin bertambah sehingga jiwanya tidak mampu menanggung lagi bebanan yang
ada. Derita sungguh menanggungnya, ibarat kata pepatah, berat mata memandang,
berat lagi bahu yang memikulnya.
Mata-mata banyak sekali yang
melihatnya. Ada yang simpati, ada yang kehairanan, malah ada juga yang tidak
ambil peduli. Namun, orang yang menanggungnya lebih hebat dari yang melihatnya.
Melayan perasan kerana ujian yang
sedang melanda hanya menambah beban yang ada dijiwa. Semakin dilayan, semakin
hebat kesannya. Semakin derita rasa dijiwa.
Rasa sedih akan menjalar disetiap
pelusuk jiwanya sehingga dia merasakan dialah yang paling derita dan
orang-orang disekelilingnya pasti tidak memahaminya. akhirnya menjadilah dia
orang yang berputus asa kerana ketidakmampuan menanggung derita dijiwanya.
Ya Allah, Apa yang diuji oleh-Mu
adalah apa yang termampu ditanggung oleh hamba-hamba-Mu.
UJIAN YANG TERMAMPU
Allah
tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat
pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai
Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat
sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang
kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah
dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Surah
al-Baqarah:268)
Malah Rasulullah SAW sendiri turut
menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud :
Satu
ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka
Baginda menjawab:
“Para
Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka
berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila
orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka
dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu
sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka
bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”
(Riwayat Imam Tirmizi)
Sesungguhnya Allah tidak akan
berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan
tahap kemampuan hamba-Nya.
Cuma sebagai hamba, hendaklah
berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk mengahadapinya,
sudah pasti mereka tidak mampu berhadapan dengan ujian yang sedang menimpanya.
Sudah pasti jiwanya akan semakin lemah dan akhirnya putus asa semakin
mendekatinya. Inilah yang paling ditakuti bakal menimpa seseorang manusia itu.
Ya, putus asa!
BERUSAHA
DAN YAKIN BAHAWA ALLAH SEBAIK PENOLONG
Wahai manusia, yakinlah dengan
sepenuhnya bahawa Allah akan membantumu. Berusahalah dan bertawakallah
kepadaNya dengan sepenuh jiwa.
Pasti pertolongan Allah itu akan
datang kepadamu. Tiada pergantungan yang sehebat-hebatnya melainkan meletakkan
sepenuh kebergantungan itu kepada Allah semata-mata.
Percayalah, makhluk tiada upaya
walau sebesar zarah sekalipun untuk membantumu, melainkan Allah jualah yang
berkuasa menyelesaikan masalah yang sedang dibebani olehmu itu.
Setiap yang diuji itu semuanya
baik-baik belaka.
“Sungguh mengkagumkan urusan seorang
mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan
diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka
dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa
kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya. (Imam
Muslim)
Apabila seseorang itu telah mencapai
tahap kebergantungan dan keyakinan yang sebenar-benarnya kepada Allah, maka
segala ujian yang menimpanya itu akan diterima dengan redha dan kesabaran.
Sekiranya datang kesedihan dalam
hatinya maka bersegeralah dia beristigfar memohon keampunan kepadaNya dan
akhirnya hatinya kembali tenang menerima ujian yang sedang menimpanya. Pada
mereka, setiap ujian itu semuanya baik-baik belaka.
Khabar gembira apabila diuji
RAsulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
“Tidaklah ada suatu musibah yang
menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya
walaupun duri yang menusuk badannya.” (Imam
al-Bukhari dan Muslim)
Allah berfirman yang bermaksud :
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap
kesukaran disertai kemudahan.
(Surah al-Insyirah:6)
PENUTUP
Pengajaran yang boleh
diambil:
1.
Setiap manusia
pasti akan menghadapi ujian, maka berfikiran positiflah terhadapnya.
2.
Ambillah hikmah
setiap ujian yang mendatang.
3.
Allah tidak
bebankan kita dengan ujian melainkan dengan sekadar kemampuan kita, sesugguhnya
Allah itu Maha Mengetahui.
4.
Cukuplah kita
jadikan Allah sebaik-baik penolong dalam segala urusan.
5.
Usaha + tawakal
adalah salah satu konsep dalam Islam yang boleh kita praktikkan dalam kehidupan
kita.
“Dari Allah Kita Datang
Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
No comments:
Post a Comment