Jubah

Jubah

Sunday, April 20, 2014

APABILA CINTA DIBALAS CINTA

APABILA CINTA DIBALAS CINTA

PENDAHULUAN

Bahang tahun baru masih terasa. Sekolah pun sudah buka kembali. Ramai anak-anak yang baru mendaftar masuk ke sekolah. Dan ibu bapa sentiasa meletakkan harapan yang tinggi buat anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berjaya.

Tetapi sekiranya semua permulaan tidak bermula dengan cinta dan minat, maka ia tidak akan ke mana. Malah ia akan membuat sesuatu perkara itu menajdi bosan dan mual.

Maka tajuk hari ini ialah berkaitan dengan “apabila cinta dibalas dengan cinta”. Tazkirah hari ini ingin mengajak semua untuk sama-sama merenung kembali hubungan kita dengan sang pencipta.

Pernahkah kita bertanya pada diri kita sendiri sejauh manakah kita mencintai Allah s.w.t? Adakah kita benar-benar cinta dengan insan yang bernama Muhammad s.a.w?

Apakah buktinya? Sedangkan tanda-tanda seorang bapa menyayangi anaknya ialah dengan memberi nafkah, mendidik, menuruti permintaan si anak, dan sebagainya.

Seorang murid jika mencintai dan menyayangi gurunya sudah pasti dia akan menuruti segala arahan gurunya itu seperti menyiapkan kerja sekolah pada masanya, mengemas bilik darjah dan sebagainya.

Bagaimana pula kita dengan Allah yang kita tahu sangat mencintai hambaNya? Tidakkah kita patut juga kita mengizinkan hati kita untuk mengenali Allah dan memberi peluang untuk mencintaiNya?

Dan diantara tanda Allah mencintai kita ketika ini ialah Dia tidak mengambil nyawa kita dalam keadaan kita sedang berbuat maksiat pada Allah s.w.t.

INGAT ITU TANDA CINTA

Salah satu cara untuk kita meraih cinta Allah s.w.t ialah dengan cara mengingatiNya sentiasa. Baik ketika senang mahupun ketika kita dalam kesusahan.

Apakah kita hanya mengingatiNya ketika susah sahaja? Bagaimanakh perasaan kita apabila ada kawan-kawan yang mencari kita bila mereka sedang hadapi kesusahan sedangkan ketika senang langsung tak ingat pada kita? Bukan setakat call, sms pun tak nak.

Sudah pasti kita akan rasa kecil hati. Begitulah juga dengan Allah s.w.t. Kita sebagai insan juga perlu meletakkan Allah lebih dari segala-galanya.

Ingat Allah hati akan tenang. Hati yang tenang akan mudah rasa bibit cinta sang pencipta. Setiap tindakan yang akan kita lakukan pasti akan merasai adanya Allah disamping kita dan ini akan memberi kekuatan pada kita untuk terus hidup.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu,tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah ar-Ra’d:28)

Jelas pada ayat ini bahawa ingat Allah hati akan tenang. Bukankah ketenangan itu yang kita cari? Bila tenang mudah untuk kita memikirkan jalan penyelesaian bagi setiap masalah dan ujian yang kita hadapi.

CINTA ALLAH MELEBIHI SEGALA-GALANYA

Apakah perasaan seorang wanita apabila suaminya melebihkan dirinya dari orang lain? Apakah perasaan seseorang apabila dirinya sentiasa dilebihkan dan diberi lebih perhatian dari orang lain? Sudah pasti orang tersebut akan berasa gembira.

Begitu juga dengan Allah s.w.t. Kenapa kita perlu utamakan Allah dan Rasul berbanding dunia dan isinya? Kerana bagi Allah dan Rasul itu ada rahmat dan syafaat untuk kita.

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
(Surah al-Baqarah:115)

Jelas pada ayat ini bahawa rahmat itu milik Allah s.w.t, dan kita sangat memerlukan rahmat Allah dalam hidup kita.

CINTA AYAT-AYAT ALLAH

Dan di antara tanda Allah mencintai hamba-hambaNYa ialah dengan menurunkan untuk hambaNya ayat-ayat cinta. Apakah ayat-ayat cinta itu? Itulah dia al-quran yang diturunkan melaluli Malaikat Jibril dan disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Kita tahu fadhilat dan kelebihan membaca al-quran ini. Cuba kita perhatikan berapa banyak jiwa yang sudah berhijrah selepas mendalami ayat-ayat cinta Allah ini?

Makin ramai sudah kembali kepada landasan yang sebenar setelah membaca dan memahami ayat-ayat Allah. Al-quran adalah kalam Allah yang bermukjizat. Terpeliharanya ia sehingga kiamat.

Apakah kita ingin menghabiskan sisa-sisa kehidupan kita tanpa membaca dan memahami kalam Allah?

Rugilah kita ketika hayat kita, kita tidak mengambi peluang membaca dan memahami ayat-ayat cinta Allah ini.

Di dalam al-quran banyak disebutkan tentang ganjaran dan balasan. Jika kita tidak memanfaatkannya sekarang, pasti kita akan menghadapi kesusahan di akhirat kelak.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

 Sejauh manakah kita benar-benar kenal Pencipta kita? Mampukah kita menceritakan pada orang lain tentang Pencipta kita?

Sebagai manusia kita wajib untuk kenal pencipta kita. Kerana apabila kita sudah benar-benar kenal dengan Allah s.w.t, kita akan menuruti segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya.

Apakah kita ingin kembali pada Allah kelak dalam keadaan kita langsung tidak mengenaliNya sedangkan kita sudah hidup berpuluh-puluh tahun.

Oleh itu ambillah peluang ketika ini untuk kenal Allah sebaik-baiknya. Kerana di akhirat kelak kepada Allah jualah kita kembali.

SYURGA BUAT KEKASIH

Janji Allah buat orang yang sentiasa mencintaiNya sudah tentu Syurga. Syurga yang menjadi idaman setipa jiwa manusia yang hidup di dunia ini.

Apakah kita tidak ingin bercita-cita untuk masuk ke syurga? Apakah kita ingin ke neraka dan dibenci Allah di akhirat kelak?

Oleh itu ambillah peluang ketika hayat ini untuk mencintai Allah dengan mentaati perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.
(Surah an-Nisaa’:13)

Jelas pada ayat ini bahawa kejayaan terbesar bagi seorang Muslim yang beriman ialah syurga Allah sw.t.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Cintailah Allah dan Rasul melebihi segala-galanya.

2.      Kenal Allah sebaik-baiknya, pasti kita akan dapat merasai kemanisan cinta Allah.

3.      Ingat Allah hati akan tenang.

4.      Syurga Allah hanya buat kekasihNya yang sentiasa mengingati dan mencintaiNya.

5.      Oleh itu, marilah kita sama-sama meletakkan Allah dihati kita sentiasa agar kita merasai cinta Allah yang sebenar.

6.      Apabila cinta dibalas dengan cinta, sudah pasti satu pertemuan yang indah dengan Allah di syurga kelak.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment