Jubah

Jubah

Sunday, April 20, 2014

7 PERKARA YANG WAJIB KITA INGATI

7 PERKARA YANG WAJIB KITA INGATI
PENDAHULUAN
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar r.a. berkata:
“Saya dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad s.a.w. tujuh macam yang tidak sampai saya tinggalkan dan tidak akan saya tinggal semua itu iaitu:

SUKA KEPADA ORANG MISKIN
Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka”. Rasulullah s.a.w adalah Nabi yang sangat rapat dengan orang-orang miskin.

Dengan mendekati orang-orang miskin dapat mendidik kita untuk berasa syukur terhadap segala nikmat Allah.

Malah selain itu kita juga akan sentiasa untuk berkongsi nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk dikongsikan bersama-sama orang lain yang lebih memerlukan.

Senario sekarang ini apa yang kita dapat lihat ialah betapa ramai yang tidak mengendahkan orang-orang miskin ini.

Ada segolongan manusia yang terlalu sombong dengan kemewahan yang ada. Malah mereka sangat berbangga dengan pangkat yang ada.

Apakah kita lebih hebat dari Nabi Muhammad s.a.w? Nabi yang dijamin syurga pun suka mendampingi orang-orang miskin.

Apakah kita menjamin bahawa kita juga akan dimasukkan ke dalam syurga?

Oleh itu sentiasalah mendampingi orang-orang miskin. Mungkin padanya ada redha Allah s.w.t.

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
(Surah al-Baqarah:83)
Jelas pada ayat ini bahawa kita dituntut untuk berbuat baik kepada ibubapa, anak-anak yatim dan juga orang-orang miskin.

MEMANDANG ORANG BAWAHAN
Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang dibawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang diatasku

Rasulullah s.a.w berpesan kepada Abu Dzar agar sentiasa melihat orang-orang yang dibawahnya. Kenapa?

Kerana dengan melihat orang bawahan, ia akan membuatkan kita rasa lebih rendah diri dan rasa sentiasa bersyukur.

Malah kita juga akan sentiasa belajar untuk menghormati orang lain. Janganlah memandang orang bawahan seperti hamba. Bukankah kita sendiri adalah hamba? Hamba kepada sang penciptaNya.

Istilah hamba hanyalah untuk kita dan Allah s.w.t. Apakah kita ini hamba yang taat pada tuannya atau tidak?

Jika tidak,maka bermuhasabahlah diri agar kita menjadi hamba yang benar-benar taat pada Allah s.w.t.

MENJAGA HUBUNGAN KAUM KERABAT
Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meskipun mereka jauh dan memutuskan hubungan

Kita juga dituntut untuk menjaga hubungan dengan kaum kerabat. Ini sebagai tanda persaudaraan dalam Islam.

Tetapi malangnya umat Islam zaman sekarang ini sudah tidak menjaga hubungan sesama kerabat. Punca?

Kadang-kadang disebabkan perebutan harta. Kerana harta, sesebuah kekeluargaan menjadi permusuhan.

Apakah harta itu bernilai di sisi Allah? Oleh itu, peliharalah hubungan sesama kerabat dan janganlah ciptakan permusuhan sesama keluarga.

PERBENDAHARAAN KEBAIKAN
Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau tabungannya”

Rasulullah s.a.w berpesan kepada Abu Dzar agar sentiasa berzikir Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana padanya pahala yang sangat besar.

Dari Abu Musa as-Syaari berkata: Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda kepadaku: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu salah satu bacaan yang menjadi simpanan kekayaan di dalam syurga?", Maka aku menjawab: "Tentu, wahai Rasulullah". Maka beliau menjawab: "Ucapkanlah Laa haula walaa quwwata illa billahi

Maka perbanyakkanlah zikir tersebut agar kita mempunyai tabung kekayaan di akhirat.

JANGAN MEMINTA-MINTA
“Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia”
Abu Dzar dinasihatkan agar tidak meminta-minta kepada manusia. Bukankah Rasulullah s.a.w sendiri juga orang yang tidak pernah meminta-minta?

Kadang-kadang meminta ini boleh membuatkan seseorang itu menjadi malas dan tidak mahu berusaha ke arah yang lebih baik.

Sedangkan berusaha dalam apa-apa jua bidang adalah dituntut di dalam Islam. Belajarlah untuk berusaha dalam menggapai sesuatu perkara agar ia dapat melahirkan diri yang lebih kualiti dan produktif.

Dan adanya Abu Dzar jika jatuh pecut dari tangannya sedang ia diatas kenderaannya, maka tidak suka minta tolong kepada orang untuk mengambilkannya.

JANGAN TAKUT LAKSANAKAN HUKUM ALLAH
“Saya dipesan supaya jangan takut didalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek”

Allah s.w.t menyuruh kita mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah mereka dari melakukan sebarang kemungkaran.

Apakah kita rasa takut untuk melaksanakan hukum Allah s.w.t? Tidak perlu takut kerana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah s.w.t.

Zaman sekarang kita boleh lihat ramai umat Islam yang suka mencela terhadap golongan yang cuba untuk menegakkan agama Allah.

Mereka suka mengejek-ejek dengan kata-kata yang kotor demi kepuasan hati. Apakah mereka tidak berasa takut dengan hukuman Allah?

Dari Abi Hurairah RA katanya, telah bersabda Rasulullah saw : Sesungguhnya Allah swt telah berfirman:
"Barangsiapa yang menyakiti wali-Ku , maka Aku isytiharkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan suatu pekerjaan yang lebih Aku sukai daripada dia mengerjakan apa yang Aku telah fardhukan keatasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan tangannya yang ia tamparkan dengannya, dan kakinya yang ia berjalan dengannya; Dan sesungguhnya, jika ia meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya; Dan sesunggunya, jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya
Aku berikan perlindungan kepadanya." (Riwayat Imam Bukhari)



BERKATA BENAR WALAU PAHIT
Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat”
Kita juga dituntut untuk berkata benar walau ia pahit. Kita mengajak manusia ke arah kebaikan itu adalah benar.

Kita mengajak manusia supaya taati Allah dan mentaati segala suruhanNya juga adalah benar.

Berkata-kata benar dalam percakapan juga adalah perbuatan yang baik.Elakkanlah dari berkata-kata dusta kerana balasannya sangatlah azab di akhirat kelak.


PENUTUP
Praktikkanlah nasihat ini dalam kehidupan kita kerana bagi Rasulullah s.a.w itu contoh ikutan yang baik.

Segala kebaikan pasti wujud redha Allah. Maka carilah redha Allah dalam segala kebaikan yang telah diajari oleh baginda Muhammad s.a.w.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam



No comments:

Post a Comment