Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

BEKERJA SEBAGAI ‘PENCETAK DOSA’, PENCENNYA SEKSAAN API NERAKA

BEKERJA SEBAGAI ‘PENCETAK DOSA’, PENCENNYA SEKSAAN API NERAKA

PENDAHULUAN

Dalam dunia ini, kita tahu banyak pekerjaan. Dan sebaik-baik pekerjaan ialah pekerjaan yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kita dituntut untuk sentiasa bekerja dengan pekerjaan yang baik agar ia diberkati dari segi rezeki dan pendapatan yang diperolehi.

Tetapi persoalannya ialah apakah kita sedar bahawa ada satu ‘pekerjaan’ yang kita buat secara part-time dalam hidup kita?

Di mana pencennya sangat bahaya buat kita tanpa ia diminta oleh kita sendiri.

Pekerjaan itu adalah ‘pencetak dosa’. Apakah yang dikatakan pencetak dosa ini? Apakah pencennya? Bahayakah pekerjaan ini? Bagaimana nak mengatasinya?

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.
(Surah al-Baqarah:95)

Jelas bagi orang-orang yang sentiasa melakukan dosa-dosa, bagi mereka tiada cita-cita untuk mati sebab mereka tahu apakah pencen yang akan mereka dapat di akhirat kelak.


BEKERJA SEBAGAI PENCETAK DOSA

Apabila kita bicara tentang pekerjaan ini, ia bukanlah satu pekerjaan yang formal. Cuma ia adalah salah satu perkara yang sama ada kita sedar atau tidak sedang melakukannya secara harian.

Ini adalah sangat bahaya buat diri kita. Apa yang dikatakan sebagai pencetak dosa ini adalah orang-orang yang istiqomah dalam melakukan dosa-dosa yang bagi mereka jelas bahwa ia adalah dialrang oleh Allah s.w.t.

Samada dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar. Orang yang suka mencetak dosa setiap hari maka bagaimanakah kehidupannya di akhirat kelak?

Bukankah ada balasan yang besar buat mereka yang suka akan pekerjaan ini?

"Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa".
(Surah yunus:82)

Jelas bahawa orang-orang yang gemar melakukan dosa amat benci dengan kalimah Allah. Percayalah, bagi mereka satu penentangan yang hebat pada pencipta mereka sendiri.

Maka persoalannya sejauh manakah kita ingin menjadi golongan yang bekerja sebagai ‘pencetak dosa’ ini?
Apakah kita tidak mahu sedar akan perihal ini? Sudah datang kepada kita ayat-ayat Allah yang menceritakan tentang azab dan seksaan. Apakah kita masih tidak mahu mengambil iktibar?

 Contoh job description bagi jawatan ‘pencetak dosa’ ini ialah suka mengumpat, memfitnah, menzalimi, langgar perintah Allah, buat yang Allah larang, cinta akan perbuatan dosa dan sbeagainya.

Maka apakah kita masih ingin terus memegang jawatan tersebut?


PENCENNYA SEKSAAN API NERAKA

Sudah tentu pencen bagi pekerjaan tersebut adalah seksaan yang amat keras di neraka kelak.

Kita cuba untuk sentiasa bermuhasabah pada diri kita, apakah kita ini benar-benar tergolong dalam orang beriman?

Di akhir zaman kita akan lihat ada golongan yang siangnya kafir malamnya muslim. Apakah maksudnya? Maksudnya disiang hari dia melakukan dosa, di malam hari dia melakukan ibadah.

Maka sudah tentu bagi mereka ini pencen seksaan api neraka di akhirat kelak.

Apakah kita ingin tenggelam dengan keseronokan hidup mencetak dosa ini?

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
(Surah al-Baqarah:81)

Maka cubalah untuk menjauhi akan dosa kerana baginya pencen yang sangat azab.

Dan janganlah menjadi penentang Allah dan Rasul kerana Allah akan sediakan balasan yang cukup terbaik buat mereka.


Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar
(Surah at-Taubah:63)

Maka adakah kita ingin menjadi penentang Allah dengan bekerja sebagai ;pencetak dosa’ di dunia ini?
Maka awasilah tingkah laku kita kerana Allah itu Maha Adil terhadap hamab-hambaNya


PENUTUP

Sebagai pengajaran kita kenalah berusaha untuk menjadi hamba yang beriman. Orang yang menjadikan pekerjaan sebagai ‘pencetak dosa’ ini baginya tidak selamat di akhirat kelak di mana Allah sediakan pencen yang kekal di neraka Jahanam.

Bertaubatlah segera ketika nyawa dikandung badan. Seperti yang kita tahu, Malaikat Maut pada akhir zaman ini sangat sibuk mencabut nyawa makhluk. Maka berwaspadalah kita.

Mohn ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang telah lalu dan mohon kepadaNya kekuatan untuk istiqamah di dalam agamaNYa dan juag ketaatan kepadaNya.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment