Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

KEPAKARAN UNTUK KEBAIKAN

KEPAKARAN UNTUK KEBAIKAN
PENDAHULUAN

Apakah kepakaran yang kita ada untuk kita manfaatkan pada orang lain? Apa yang kita boleh berikan pada masyarakat khususnya umat Islam?

Sebagai orang Islam kita dituntut untuk menuntut Ilmu. Persoalannya bagaimanakah kita dapat memanfaatkan ilmu itu dijalan Allah s.w.t?

Banyak hadis yang menyebut tentnag kelebihan menuntut ilmu ini.
Maksud sabda Rasulullah s.w.w pula yang bermaksud :
“Sesungguhnya sesuatu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya”
Rasulullah s.a.w juga telah menggariskan beberapa peringkat kelebihan ilmu dengan sabda Baginda s.a.w, 
“Sesungguhnya ilmu itu adalah umpama gedung dan anak kuncinya adalah pertanyaan.”
Empat jenis golongan yang diberikan pahala di dalam menuntut ilmu ini, iaitu :
1.      Golongan yang suka bertanya akan sesuatu ilmu
2.      Golongan pengajar atau orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan mengajar kepada orang lain
3.      Golongan yang yang mendengar orang yang mengajar ilmu
4.      Golongan orang yang suka dan kasih akan majlis ilmu.

Maka jelas dari hadis-hadis ini bahawa orang yang menuntut ilmu itu lebih baik dari dunia dan segala isinya.
Maka pahala yang berganda bagi mereka yang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t.

Apabila kita menuntut ilmu, maka manfaatkanlah kepakaran kita itu untuk Islam. Bukankah kita telah diberi peluang untuk menuntut ilmu dikala orang lain menghadapi pelbagai rintangan untuk mendapat peluang tersebut.

Di mana pun kita berada, dengan siapa pun kita bersama, apa pun bidang yang kita ceburi, maka berilah kebaikan dengan kepakaran yang kita ada.


PAHALA BAGI ORANG YANG MEMBERI KEBAIKAN

Kita tahu setiap perbuatan yang baik, maka baginya pahala dari Allah s.w.t. Apa lagi yang kita harapkan selain dari pahala?

Bukankah pahala dan dosa itu yang menentukan kita ke syurga atau ke neraka? Oleh itu, apakah pahala yang kita inginkan yang boleh dikatakan pendapatan pahala yang pasif?

Seperti perniagaan MLM yang mensasarkan income pasif, maka tidak mahukah kita mendapat pahala yang juga dikatakan pendapatan pasif?

Kita boleh meraih pahala secara pasif melalui memperbanyakkan bersedekah, mengajarkan ilmu dan sebagainya.

Oleh itu, dalam bab memberi kebaikan dengan kepakaran, maka manfaatkanlah ia di jalan Islam.

Sebagai contoh apabila kepakaran kita dalam bidang nyanyian, kita mampu untuk manfaatkannya di jalan Islam dengan cara menyampaikan lagu-lagu bersifat ketuhanan dan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w

Bagi mereka yang pakar dalam membuat filem, mereka boleh menyumbangkan kepakaran dengan menghasilkan filem-filem yang berbentuk nasihat, pengajaran dari al-quran dan as-sunnah dan sebagainya.

Cuba tanya diri kita sendiri, apakah kepakaran yang kita ada yang boleh kita manfaatkan untuk Islam?

Sayanglah jika kita diberi peluang hidup di dunia ini, kita langsung tidak dapat menyumbangkan apa-apa untuk Islam sedangkan Allah menjaminkan syurga buat orang-orang yang beriman.

Jika kita cintakan Allah maka buatlah sesuatu yang Allah suka seperti menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari melakukan perbuatan yang mungkar.

Selain kita mengejar keuntungan dunia, tidakkah kita juga ingin mengejar keuntungan akhirat?

Apakah dia keuntungan akhirat? Iaitu apabila kita memanfaatkan kehidupan dunia ini dengan beribadah kepada Allah, meninggalkan segala yang haram dan berdosa, dan taat segala perintah Allah s.w.t.


GOLONGAN YANG TERPILIH

Sesungguhnya Islam itu akan dijaga oleh Allah s.w.t. Allah akan memilih dikalangan hambaNya untuk memelihara agamaNya.

Persoalannya siapakah golongan yang akan terpilih untuk menjaga agamaNya?Dalam bidang ekonomi, social, politik, pendidikan dan sebagainya perlu ada ahlinya untuk menjaga kesinambungan syiar Islam.

Adakah kita yang terpilih? Kerana jelas jika kita terpilih, maka kita dikalangan hamba-hambaNya yang beruntung.

Jika tidak, maka rugilah kita. Oleh itu bersegeralah untuk merembut tempat sebagai golongan yang menegakkan syiar Islam.

Dengan cara kita menyumbangkan apa-apa kepakaran yang kita ada untuk agama Islam itu sendiri.

Jika kita tidak mengambil peluang ini, maka Allah akan menggantikannya dengan orang lain. Sesungguhnya Allah tidak rugi,tetapi kita yang rugi.

Bukan sahaja kita rugi di dunia, malah kita juga akan rugi di akhirat.


ORANG YANG BERIMAN IKHLAS DENGAN AMALNYA

Orang yang benar-benar beriman kepada Allah, akan ikhlas setiap amal ibadahnya. Dan kerja kita, kehidupan kita, jika tidak dipasakkan ke dalam hati kita perasaan ikhlas hanya semata-mata untuk beribadah kepada Allah, maka amal itu menjadi sia-sia.

Apakah tanda-tanda orang yang tidak ikhlas? Salah satunya ialah apabila habuan dunia menjadi matlamat utama berbanding keikhlasan kerana Allah s.w.t.

Apakah erti hidup jika tiada ikhlas? Dengan Allah sahaja pun kita sudah didik untuk tidak ikhlas, inikan pula dengan manusia.

Ikhlaslah dalam memberi kebaikan kepada masyarakat khususnya umat Islam, kerana dengan ikhlaslah seseorang itu akan mendapat pahala.

Jadikan kepakaran yang kita miliki, kita ikhlaskan untuk manfaatkannya untuk Islam.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Tuntutlah ilmu dan manfaatkanlah ilmu itu dalam menegakkan syiar Islam.

2.      Kejarlah pahala dari Allah dengan memberi sebanyak mungkin kebaikan kepada masyarakat kususnya buat umat Islam sejagat.

3.      Ikhlaskanlah diri kita dalam setiap perbuatan kerana itu adalah lebih besar nilainya di sisi Allah s.w.t.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment