PENDAHULUAN
Akhlak yang mulia
merupakan asas pengikat hubungan di antara sesama makhluk. Orang yang memiliki
akhlak yang mulia sentiasa dipandang tinggi oleh orang lain.
Akhlak yang
terbina atas sebab taqwa, pasti akan menjadi contoh dan perhatian oleh orang
lain. Akan tetapi jika akhlak itu dibuat-buat demi untuk meraih perhatian dan
demi kepentingan peribadi, pasti tidak akan kekal lama,malah lama kelamaan
sikapnya itu akan terbongkar.
Oleh itu, binalah
akhlak dengan landasan taqwa demi mewujudkan suasana masyarakat dan umat yang
sejahtera.
Diriwayatkan, Abu
Darda’ melihat orang sedang berkerumun sambil memukul serta mencaci maki
seorang lelaki. Abu Darda’ kemudian menghampiri kumpulan ramai itu lalu
bertanya: “Apa hal sampai begini jadinya? Mereka yang berkerumun itu menjawab:
Ini lelaki yang sudah melakukan dosa besar.
Abu Darda berkata
lagi: Apakah tindakan kamu jika dia terjatuh ke dalam sebuah perigi? Adakah
kamu semua akan mengeluarkannya? Mereka menjawab: Ya, sudah tentu kami akan
mengeluarkannya.
Kemudian Abu Darda berkata: Jika begitu, janganlah kamu
mencaci dan memaki serta memukulnya. Sebaliknya tutuplah aibnya, bimbinglah dia
dan bersyukur kepada Allah yang sudah memelihara kamu dari perbuatan dosa itu.
Mendengar nasihat
Abu Darda’, mereka kembali mengemukakan pertanyaan: Adakah kamu tidak
membencinya? Lantas Abu Darda’ menjawab: Aku membenci perbuatannya. Namun jika
kemudian dia tidak lagi melakukannya maka dia adalah saudaraku. Mendengar
kata-kata Abu Darda’ yang penuh berhemah itu, lelaki yang dipukul itupun
menangis dan bertaubat kepada Allah.
Ini satu contoh
baik yang seharusnya setiap pendakwah amalkan kerana ia selari perintah Allah
dalam firman yang bermaksud:
Serulah
ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu)
dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih
mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
(Surah
al-Nahl:125)
KITA ADALAH
DA’IE
Seseorang
pendakwah semesti sentiasa berusaha mendidik diri sendiri dengan akhlak murni.
Dia juga perlu bermuhasabah diri supaya menjadi pendakwah yang dihormati kerana
keperibadian serta ilmu dimiliki.
Pada suatu ketika,
Ibnul Muqaffa’ ditanya: “Siapakah yang mengajarkan adab dan sopan santun yang
luhur ini kepadamu? Lalu Ibnul Muqaffa’ berkata: Diriku sendiri. Kemudian dia
ditanya lagi: Mana mungkin seseorang itu boleh mengajarkan sopan santun kepada
dirinya sendiri tanpa berguru!
Ibnul Muqaffa
memberi penjelasan: Mengapa tidak? Jika aku melihat sesuatu kebaikan pada diri
seseorang, aku akan pergi menemuinya. Sedangkan jika aku melihat suatu
keburukan, aku akan menghindarinya. Dengan demikian, aku telah mendidik diriku
sendiri.”
Dan
hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang
salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang
yang berjaya.
(Surah
ali-Imraan: 104)
MULIA AKHLAK
SEPERTI RASULULLAH S.A.W
Begitu proses
memelihara diri dengan nilai akhlak yang baik dan operasi mendidik diri seharusnya
berterusan sepanjang hayat apatah lagi seandainya dia seorang pendakwah. Modus
operandi seseorang pendakwah hendaklah bertapak dalam asas akhlak mulia.
Tanpa pembinaan
akhlak yang unggul dan tanpa menonjolkan nilai mulia diri kepada khalayak awam,
maka visi dan misi untuk melaksanakan dakwah secara efektif kurang berkesan.
Kita lihat
bagaimana kaedah Rasulullah SAW dalam dakwah Baginda yang tidak pernah luntur
memperagakan harga diri yang mulia sehingga mampu mencairkan hati orang ingkar
dan keras penentangannya terhadap Islam.
Pada suatu hari
ada perarakan jenazah orang Yahudi lalu di depan Rasulullah SAW dan sahabat.
Melihat itu, Nabi SAW segera berdiri sebagai tanda hormat. Sahabat berasa
hairan lalu bertanya: “Bukankah mayat itu seorang Yahudi yang bukan Muslim?
Lalu Nabi SAW menjawab: Walaupun bukan Muslim, dia adalah makhluk Allah juga.”
Juga kisah berikut
yang jelas menonjolkan peribadi Nabi SAW yang mulia. Diriwayatkan di suatu
sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap hari selalu
berkata kepada setiap orang yang mendekatinya: “Wahai saudaraku, jangan kamu
mendekati Muhammad, dia itu orang gila, pembohong dan tukang sihir. Apabila
kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya.”
Namun, setiap pagi
Nabi SAW datang kepadanya dengan membawa makanan tanpa berucap sepatah kata pun
kepadanya. Setiap kali Baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada
pengemis itu tanpa diketahui oleh pengemis itu siapa yang menyuap.
Selepas Nabi SAW
wafat, tiada lagi orang yang sudi membawakan makanan dan menyuapkan kepadanya.
Suatu ketika Abu Bakar mengunjungi rumah anaknya, Aisyah, isteri Nabi SAW
seraya bertanya: “Wahai puteriku, apakah kebiasaan kekasihku Muhammad yang
belum aku kerjakan?
Lihatlah bagaimana
anggunnya akhlak Rasulullah SAW dan pesonanya kaedah dakwah sehingga perbuatan
mengunjungi pengemis Yahudi tidak diketahui orang walau sahabat paling hampir.
Hebatnya peribadi
Rasulullah SAW. Di akhir kisah tadi dikatakan bahawa pengemis buta Yahudi itu
memeluk Islam selepas mengetahui orang yang biasa membawa dan menyuapkan
makanan kepadanya adalah Rasulullah SAW.
Begitu cara Nabi
SAW yang tidak pernah kering dengan lontaran warna kemanusiaan dan tidak pernah
gersang nilai akhlak mulia. Pendakwah yang ingin mengajak insan lain berada
dalam landasan benar dan jalan lurus sewajarnya meniti jalan suci yang pernah
ditempuhi Nabi SAW.
ADAKAH KITA UMAT YANG BERAKHLAK?
Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar berita
atau khabar yang menunjukkan sikap umat Islam yang tidak baik.
Akhlak yang pernah ditonjolkan oleh baginda Muhammad
s.a.w tidak lagi menjadi ikutan oleh sebahagian umat Islam zaman sekarang.
Persoalannya adalah kenapa boleh terjadi sedemikian
rupa? Bukankah banyak hadis-hadis yang telah dikongsikan oleh para ustaz
perihal tentang akhlak baginda s.a.w?
Cuba kita perhatikan di sekeliling kita, apakah kita
masih dapat lihat akhlak Rasulullah s.a.w di depan mata kita?
Kita boleh lihat di zaman sekarang ini, umat Islam
bermusuhan antara satu sama lain, bermaki hamun, memfitnah, mengadu-domba,
berbomoh-bomohan dan sebagainya hanya kerana iri hati, hasad dengki, busuk
hati, cemburu, dan sebagainya.
Oleh itu,
marilah kita menjadi umat Islam yang berakhlak seperti akhlak Rasulullah s.a.w
di mana akhlak itu kemudiannya akan menajdi contoh oleh generasi akan datang.
“Perbaiki diri, dan ajaklah orang lain”. Ini
adalah salah satu kaedah yang kita boleh buat dalam melahirkan masyarakat Islam
yang berakhlak.
Begitu jugalah kita di dalam sesebuah organisasi.
Jika kita ingin orang lain berubah, kita seharusnya perlu berubah terlebih
dahulu.
Tonjolkanlah akhlak yang baik, sudah pasti ia akan
menjadi ikutan oleh orang lain.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1. Janganlah
menghina pelaku maksiat, tetapi doakanlah kebaikan untuk dia.
2. Jadilah
Rasulullah s.a.w sebagai ikutan yang baik.
3. Memiliki
akhlak yang mulia pasti akan dihormati oleh orang lain.
4. Perbaiki
diri, dan ajaklah orang lain dalam membina akhlak yang mulia.
5. Tanyalah
pada diri kita sekarang ini, “Adakah kita mempunyai akhlak seperti baginda
Rasulullah s.a.w? Jika tidak, maka segeralah semaikan akhlak Rasulullah s.a.w
dalam diri.
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah
Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
No comments:
Post a Comment