Jubah

Jubah

Sunday, April 20, 2014

APABILA IMAN HILANG DARI RADAR HATI

APABILA IMAN HILANG DARI RADAR HATI



PENDAHULUAN

Kita dikejutkan dengan satu peristiwa yang sangat menyedihkan apabila kapal terbang MH370 gagal sampai ke tempat yang sepatutnya ditujui.

Pelbagai persoalan dan spekulasi yang bermain-main di minda rakyat Malaysia apabila kejadian sebegini berlaku.

Spekulasi bahawa ia sudah terhempas, mahupun dihijacked, dilencongkan dengan sengaja dan sebagainya.
Dan apabila kejadian seperti ini berlaku, kita bersungguh-sungguh menadah tangan dan berdoa agar pesawat tersebut selamat dan kembali ke tanahair.

Tetapi apa pun keadaanya, wajar bagi kita untuk terus berdoa kepada Allah s.w.t kerana bagi Allah sebaik-baik penolong.

Tazkirah pada hari ini ialah berkaitan dengan iman. Seperti kejadian kapal terbang yang kita bincang tadi, timbul persoalan, bagaimana pula dengan iman kita?

Apabila iman hilang dari radar hati. Adakah kita benar-benar alert dengan hal sebegini? Pelbagai spekulasi yang timbul. Adakah iman kita telah dihijacked oleh somebody? Atau ia telah dilencongkan dengan sengaja? Atau ada konspirasi lain yang kita tidak tahu sehingga ia hilang dari radar hati?

Dimanakah peranan kita dalam hal ini bagi mengekalkan iman kita semula? Apakah punca dan spekulasi yang boleh kita rumuskan akibat kehilangan iman ini?

IMAN DIHIJACKED OLEH SYAITAN

Salah satu punca dan spekulasi yang boleh kita katakan di sini ialah apabila syaitan menghijacked iman kita.
Kita tidak kenal syaitan dengan baik. Kita tidak mampu mengawal mereka dari keluar masuk dari lapangan hati kita.

Kadang-kadang kita tidak perasan bilakah waktu dia masuk ke dalam pesawat iman kita tanpa kita sedari.
Bagaimana mereka boleh terlepas dari laluan imegresen dalam hati kita? Dan persoalannya siapakah imegresen itu?

Apabila iman sudah dihijacked oleh syaitan, maka kedudukan kita amat parah. Kita akan mula hilang perasaan untuk taat kepada Allah s.w.t. Kita akan mula menentang segala suruhan Allah.

Apa yang Allah haramkan kita langgar kerana pada ketika itu hati kita tidak lagi dapat mengesan iman yang telah dihijacked oleh syaitan.

IMAN DIHIJACKED OLEH NAFSU

Ada spekulasi lain yang mengatakan bahawa iman ini dihijacked oleh nafsu. Tetapi ia juga benar. Kerana nafsu ini sangat sukar untuk dikawal.

Nafsu amarah, nafsu dunia, nafsu harta dan sebagainya. Apabila nafsu-nafsu sebegini tidak dikawal, maka iman mudah dihijacked dan ini boleh menyebabkan hati mula suka untuk melakukan dosa dan maksiat.

Tidakkah kita sedar bagaimana nafsu ini keluar masuk dalam hati kita? Sebagai contoh apabila nafsu amarah menguasai hati.

Apabila nafsu amarah menguasai diri dan hati, maka kita akan lost our mind. Kita akan hilang pertimbangan. Kerana amarah, kezaliman, penyeksaan dan penderaan kita boleh lihat berlaku di depan mata kita. Di manakah iman kita ketika kita?

Dalam contoh lain ialah apabila nafsu cintakan dunia menguasai hati. Zaman lani kita dapat lihat manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan pangkat. Sungguh bernafsu mereka ini.

Apabila terlalu bernafsu, mereka juga akan hilang pertimbangan. Kesannya kita dapat lihat apabila  berlaku unsur tindas menindas dalam organisasi, kezaliman dan sebagainya.

Apakah ini yang telah diajarkan oleh baginda? Jangan jual akhirat kerana dunia kerana kita akan hilang kedua-duanya.

AL-QURAN ADALAH RADAR HATI

Apabila iman sudah dihijacked oleh syaitan dan hawa nafsu, maka hati kita tidak lagi kebal. Disebabkan itu hilanglah ketaatan kita pada sang pencipta. Maka persoalannya bagaimanakah kita dapat mengawal iman ini dari hilang dari radar hati kita?

Bagaimana kita ingin memastikan iman kita ini tidak mudah dihijacked oleh syaitan dan hawa nafsu?

Sudah tentu kita kawalnya dengan al-quran. Kita jadikanlah al-quran sebagai benteng pertahanan yang kuat bagi menghalang dari hati kita dikuasai oleh syaitan.

Perbanyakkanlah membaca al-quran, Istiqamahlah dalam pembacaan. Fahamilah makna yang tersurat di dalam al-quran.

Iman akan hilang apabila al-quran mula diketepikan. Syaitan amat suka apabila benteng pertahanan di dalam hati manusia longgar dan tiada pengawasan.

Kerana itu mudah bagi mereka untuk menghijacked iman kita seterusnya membuatkan kita lupa akan tujuan kita hidup di dunia ini.

JAUHI PERBUATAN DOSA

Dosa yang kita lakukan adalah punca kenapa iman kita mudah dihijacked.Kecenderungan kita dalam istiqamah terhadap dosa, itu adalah puncanya.

Kita tahu ia salah, kita tahu ia haram dan kita tahu ia berdosa, tetapi kita tetap bernafsu untuk melakukannya tanpa ada sedikit penyesalan pun.

Jadi apakah kita masih keliru di mana iman kita berada sekarang? Maka segeralah tinggalkan perbauatan yang boleh menjerumus ke arah dosa dan maksiat.

Kejarlah pahala. Manfaatkan setiap detik kehidupan kita dengan berusaha meraih pahala dalam segenap aspek baik ibadah, kerjaya dan sebagainya.


DOA ADALAH SENJATA

Kita kena ingat, apabila iman dihijacked maka hati kita terdedah kepada bahaya. Apabila terdedah pada bahaya, maka kita akan menjadi manusia yang hina.

Apakah senjata yang boleh kita gunakan lagi untuk kita menghalang syaitan dan nafsu dari menguasai hati kita?

Sudah tentu dengan doa, kerana doa itu adalah senjata orang mukmin. Kita tak nampak syaitan dan kita tak nampak nafsu. Tetapi kita boleh merasakan kewujudannya apbila kita cenderung terahdap dosa dan maksiat serta cenderung ke arah cintakan dunia.

Maka berdoalah kepada Allah agar Allah melindungi kita dari sebarang kelemahan, dan memohon kepada Allah agar dicampakkan hidayah, rahmah dan maghfirah (keampunan) agar kiat terpelihara dari sebarang anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan hati kita.

PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Apabila iman hilang dari radar hati maka kita akan cenderung melakukan dosa dan maksiat. Maka awasilah ia sentiasa.

2.      Syaitan tidak suka orang yang beriman kepada Allah, maka mereka akan bersungguh-sungguh untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t.

3.      Kawallah nafsu kita kerana ia juga boleh membuatkan iman kita hilang dari radar hati.

4.      Istiqamahlah dalam membaca al-quran kerana ia boleh menjadi pendinding bagi akal dan hati kita.

5.      Jauhilah dari melakukan dosa dan maksiat kerana ia membuatkan syaitan lebih senang untuk menghijacked hati kita.

6.      Berdoalah sentiasa agar hati kita tetap di atas jalan yang benar.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment