Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

KEMBALI KE JALAN YANG BENAR

KEMBALI KE JALAN YANG BENAR
PENDAHULUAN

Apakah yang kita akan lakukan apabila kita sudah tersesat jauh? Sudah pasti kita akan berusaha untuk mencari jalan pulang.

Sebagai contoh apabila kita tersesat di dalam hutan, kita akan berusaha sedaya-upaya untuk mencari sumber jalan keluar. Kita akan ikut jalan sungai, ikut arah matahari, ikut kompas dan sebagainya.

Itu jika kita sesat di dalam hutan. Akan tetapi bagaimana pula jika kita sesat dalam kehidupan kita?

Apakah yang dimaksudkan sesat? Iaitu tersalah jalan dari jalan yang asal atau benar. Sebagai umat manusia yang dijadikan oleh Allah, dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan kelak, maka kita amat memerlukan jalan yang benar dan teapt dalam kehidupan kita.

Persoalanya adakah kita sedang sesat dari jalan Allah? Bagaimana kita nak tahu yang kita sedang sesat?

Perhatikanlah kehidupan kita. Adakah kehidupan kita ini di atas jalan yang benar? Jika kita masih tidak yakin akan jalan yang kita lalui, maka apakah tindakan kita?

Untungnya manusia ketika mana manusia diciptakan oleh Allah s.w.t, Allah tidak membiarkan manusia dalam keadaan terkapai-kapai. Dan Allah Maha Mengetahui bahawa manusia ini tiada kemampuan untuk mengurus dan mengatur diri sendiri.

Oleh sebab itu Allah hadirkan dalam kehidupan mereka para Rasul bagi memimpin manusia yang sememangnya amat memerlukan seseorang untuk dipimpin.

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).
(Surah al-AN’am:42)


RASUL SEBAGAI PEMIMPIN

Kedatangan para Rasul memimpin kita ke arah jalan yang benar supaya kita tidak menjadi manusia yang jahil.

Jelas pada kita jika manusia itu dibiarkan terkontang-kanting tanpa ada pegangan atau pimpinan dari mana-mana pihak, sudah pasti dia akan hanyut sejauh-jauhnya seperti hanyut ditengah lautan.

Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan terakhir bagi melengkapi agama Islam itu sendiri.

Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w disertai dengan penurunan al-Quran adalah rahmat sekalian alam. Ketika manusia di dalam keadaan jahiliyah, Islam datang menyelamatkan keadaan.

Ketika zaman jahiliyah, para wanita dijadikan hamba abdi dan hamba seks, Islam datang menyelamatkan mereka. Islam mengangkat martabat wanita setingi-tingginya.

Ketika zaman jahiliyah, manusia hanyut dengan perbuatan-perbuatan yang buruk seperti minum arak, berjudi dan sebagainya. Dan Islam datang mengharamkannya kerana Islam tahu kedua-duanya mendatangkan kemudharatan bagi manusia.

Oleh itu, samalah kita sebagai pemimpin di dalam sesebuah organisasi. Apabila kita diberi amanah untuk memimpin, pastikan orang yang berada dibawah pimpinan kita, dipimpin ke jalan yang benar.

Sebab itu tanggungjawab seorang pemimpin itu sangat besar. Kita bukan sahaja memantau atau mengajar berkaitan dengan skop kerja sahaja, akan tetapi kita perlu memimpin mereka untuk menajdikan mereka mukmin dan mukminah yang soleh dan solehah.

Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
(Surah at-taubah:33)

AL-QURAN DAN AS-SUNNAH PENYELAMAT DUNIA

Sedarkah kita yang kita ini kadang-kadang tergelincir dari landasan kehidupan kita tanpa kita sedari? Jadi apakah tali yang dapat menarik kita kembali ke jalan yang benar?

Sekiaranya kita tergelincir dan terjatuh ke dalam laut, dan ketika itu kita hampir lemas, apakah alat bantuan yang kita amat harapkan? Sudah pasti kita mengharapkan pelampung yang besar atau perahu supaya kita dapat pulang ke daratan.

Begitulah juga apabila kita sedang sesat dan hanyut dalam lautan kehidupan dunia ini. Sudah pasti kita mengharapkan alat bantuan yang dapat menyelamatkan kehidupan kita dari terjerumus ke dalam kemaksiatan dan kejahatan serta kemungkaran.

Dan alat bantuan yang terbaik bagi manusia ialah al-quran dan as-sunnah. Allah turunkan al-quran sebagai panduan hidup untuk manusia supaya manusia sentiasa berhati-hati dengan penipuan dunia yang hanya sementara.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
(Surah al-Baqarah:2)


PINTU TAUBAT PALING LUAS

Pintu yang paling luas adalah pintu taubat. Taubat terhadap apa? Taubat terhadap dosa yang kita pernah lakukan sebelum ini. Dosa dan maksiat yang kita pernah lakukan akan mendatangkan masalah pada kita di akhirat kelak.

Ketika manusia ingin bertaubat, tiada perantaran antara dia dengan Allah. Maka jika dia ingin bertaubat, Allah membuka pintu seluas-luasnya untuk dia bertaubat, kerana Allah Mengasihani orang yang meminta taubat.

Apabila kita bertaubat, sudah tentu kita berusaha untuk kembali ke jalan yang benar. Siapa yang tak nak kehidupan yang diredhai ,diberkati dan dirahmati? Semua manusia inginkannya, akan tetapi bagaimanakah ingin mendapatkannya?

Maka al-quran adalah panduan  yang terbaik untuk kita mengikutinya.


DUNIA SEMAKIN TENAT

Kita dapat lihat sekarang ini bagaimana kehidupan manusia khususnya umat Islam sekarang yang makin jauh dan hanyut dengan kehidupan dunia.

Islam hanya pada nama tidak lagi pada perbuatan dan kehidupan. Pernahkah kita terfikir adakah Allah meredhai kehidupanku sekarang?

Adakah apa yang aku buat sekarang ini bertepatan dengan agama? Adakah aku telah mematuhi apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya?

Jika kita masih menentang suruhan Allah, maka segeralah kita kembali. Supaya kehidupan kita ini diredhai bukan dimurkai.

Keadaan dunia yang semakin tenat dengan sikap manusia yang hampir boleh kita katakan lebih teruk dari haiwan, maka bersedialah kita mengahadapi bencana yang sangat hebat.

Bencana yang dibuat oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Sedangkan Allah sudah mengingatkan di dalam al-quran tentang akibat dan perbuatan yang buruk serta mungkar.

Oleh itu, marilah kita pulang ke jalan yang benar agar kehidupan kita benar-benar lurus sehingga kita sampai ke destinasi yang terakhir iaitu Syurga.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Apabila kita dalam kesesatan dalam dunia kemungkaran, maka segerlah pulang ke jalan yang benar.

2.      Sentiasalah memperingati perjuangan Rasulullah s.a.w yang berusaha untuk membawa manusia ke jalan yang benar.

3.      Jadikanlah al-quran dan as-sunnah sebagai peta kehidupan kita.

4.     Sebagai seorang pemimpin, kita juga dituntut untuk memimpin orang-orang dibawah pimpinan kita ke jalan yang benar.

5.    Jika kita memimpin mereka ke jalan yang salah, maka nantikanlah balasan yang Maha Dahsyat dari Allah s.w.t. baik di dunia mahupun akhirat.

6.      Dalam keadaan dunia yang kian tenat, maka awasilah keluarga kita, sahabat-sahabat kita, agar mereka tidak tersesat dan terjerumus ke dalam dosa dan kemungkaran.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment