Jubah

Jubah

Monday, April 21, 2014

GEMBIRA DENGAN DOSA

GEMBIRA DENGAN DOSA
PENDAHULUAN

Dalam dunia ini,kita diberi balasan dua benda sahaja. Iaitu dosa dan pahala. Apa-apa pun pekerjaan kita, tindakan kita, perbuatan kita, kita tidak akan lari dari balasan dua perkara itu.

Tajuk kali ini agak penting untuk kita renung-renungkan.Khususnya kita sebagai manusia yang bergelar hamba Allah.

Pernahkah kita terfikir sejenak dah berapa beratkah timbangan pahala kita? Adakah pahala kita sedang mendahului dosa kita?

Benarkah terdapat golongan yang gembira dengan dosa?Tidak malukah seseorang itu yang bergelar muslim akan tetapi rasa seronok dengan dosa?

Siapakah golongan yang dikatakan ‘gembira dengan dosa’ ini? Apakah mereka ini masih diberi peluang untuk bertaubat?

"Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa".
(surah yunus:82)


GEMBIRA BUAT DOSA

Bagaimanakah kita mengistilahkan gembira dengan dosa? Yang dikatakan gembira dengan dosa ialah apabila sesuatu perkara itu diharamkan oleh Allah akan tetapi kita memandang lekeh terhadap hukum tersebut malah kita gembira mempertontonkan dosa berkenaan.

Sebagai contoh, hukum arak adalah haram. Akan tetapi cuba kita perhatikan sekeliling kita bagaimana sikap umat islam kita yang secara terang-benderang minum arak dikhalayak ramai. Itulah yang dikatakan gembira dengan dosa.

Contoh lain dosa tidak menutup aurat. Kita sedia maklum bahawa tidak menutup aurat itu satu dosa. Dan cuba perhatikan mereka yang tidak menutup aurat. Betapa gembiranya mereka mempertontonkan aurat mereka dikhalayak ramai. Itulah yang dikatakan gembira dengan dosa.

Dan banyak lagi dosa-dosa yang kita boleh lihat di muka bumi ini. Persoalannya, kenapa mereka terlalu gembira dengan dosa yang mereka lakukan sedangkan bakal dihadapan mereka adalah api neraka yang menggelegak.

Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.
(Surah al-Kahfi:53)

TIDAK PERCAYA HARI PEMBALASAN

Salah satu sebabnya ialah kurangnya keyakinan terhadap wujudnya hari pembalasan. Manusia memang mudah lupa.Mereka lupa tentang ayat-ayat Allah yang mengingatkan manusia tentang wujudnya hari pembalasan.

Apakah akan terjadi jika tiada hari pembalasan? Sudah pasti setiap manusia yang mati akan terus ke syurga tidak kira penjenayah, perampok, ustaz, perasuah dan sebagainya.

Jadi ia sudah pasti menjadi keadaan yang tidak adil. Oleh itu, Allah sudah ingatkan bahawa sesiapa yang timbangan pahalanya lebih, maka dia akan ke syurga begitu juga sebaliknya.

Firman Allah swt tentang hari pembalasan:

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).
(Surah al-an’am:2)

(Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan).
(Surah adz-zariyaat: 11)


HIDUP HANYA SEKALI

Sering kita dengar statement dari orang yang gembira buat dosa, ‘Commonla, hidup hanya sekali, kita enjoila dulu. Nanti dah tua kita taubatla. Kitorang pun banyak buat baik ape.Kitorang bersedekah kat masjid dan sebagainya.

Percayakah kita bahawa golongan sebegini pasti akan dijauhkan Allah dari rahmatNya? Tidak kesiankah kita jika golongan seperti ini adalah dikalangan ahli keluarga kita?

Istilah hidup hanya sekali ini sangat bahaya bagi kita sebagai umat Islam jika disalahtafsirkan. Kerana statement itulah yang selalu digunakan oleh syaitan untuk mempengaruhi manusia.

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
(surah luqman:33)

SAHAM DOSA MENINGKAT

Secara tidak sedar apabila kita membiarkan diri kita gembira dengan dosa yang kita buat, saham dosa kita juga akan meningkat. Ini akan menyebabkan kita akan dalam dilemma apabila di akhirat kelak.

Bagaimanakah perasaan kita apabila kita melihat timbangan saham dosa kita lebih berat berbanding pahala kita? Adakah kita gembira ketika itu seperti mana kita gembira ketika melakukan dosa tika di dunia?

Di dunia kita senyum gembira ketika melakukan dosa, apakah senyuman itu mampu kekal ketika kita sedang dihisab dikahirat kelak?

Tepuk dada Tanya iman kita. Jadi apakah penyelesaian yang kita ada?


KEMBALI PADA ISLAM

Buat hati-hati yang masih gembira dengan dosa,marilah kita kembali kepada ajaran islam sebenar. Sekiranya hati kita kecil kita masih gembira terhadap dosa yang kita lakukan samada sedar atau tidak sedar, maka segeralah kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Sebab Allah sentiasa perhatika kita tiap jam, tiap minit, tiap saat dan tiap detik. Segala perbuatan kita tidak pernah terlepas dari pandangan Allah. Apakah kita masih ada perasaan malu dan takut pada tuhan yang menciptakan kita?

Renung-renungkanlah, apakah kita ingin menzalimi diri kita dengan membiarkan diri kita gagal meraih syurga yang menjadi idaman setiap jiwa? Berilah peluang pada diri untuk berubah.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
(Surah al-Mulk:2)


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Orang yang gembira dengan dosa baginya pengakhiran hidup yang sia-sia.

2.      Hari pembalasan itu sudah pasti bagi setiap manusia dan setiap manusia akan dihitung amalannya ketika di dunia.

3.      Hidup hanya sekali.Oleh itu percukupkanlah bekalan kita untuk kehidupan seterusnya.

4.      Kembalilah kita kepada kehidupan Islam yang sebenar agar hidup kita sejahtera dunia dan akhirat.

5.      Maka pilihlah, kekal gembira dengan dosa atau kekal gembira dengan pahala. Pilihan ditangan kita.

6.   Perhatikan dosa apakah yang kita sedang gembira dengannya sekarang.Perbaharuilah iman kita dengan segera mendekati sang Pencipta.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment