Jubah

Jubah

Sunday, April 20, 2014

ANDAI RASULULLAH MENJADI TETAMU KITA

ANDAI RASULULLAH MENJADI TETAMU KITA
PENDAHULUAN

Apakah yang kita akan lakukan jika kita mendapat khabar bahawa Rasulullah yang sangat kita cintai menjadi tetamu di servis apartment kita?

Sudah tentu kita akan rasa teruja, gembira, terharu dan sebagainya. Bukankah impian dan cita-cita setiap muslim untuk menemui Rasulullah s.a.w?

Dikala rindu kita pada baginda setipa hari makin membuak-buak, kemudian datang berita bahawa Rasulullah s.a.w akan datang menziarahi kita di sini, bukankah ia satu nikmat bagi hati yang sering merindui?

Bagaimanakah ia bakal bermula ketika mana baginda Rasulullah s.a.w mula jejakkan kaki di hadapan servis apartment kita?

Sudah semestinya kita semua akan sambut dengan senyuman yang paling manis ketika itu. Kita lupa seketika siapa kita lantaran dek rindukan baginda.

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
(Surah al-Baqarah:119)

Jelas pada ayat ini bahawa Allah mengutuskan Muhammad itu sebagai pembawa berita gembira buat orang yang beriman.

MELALUI FRONT OFFICE

Setelah baginda masuk ke dalam, dan melalui front office, sudah semestinya kita ingin baginda senyum kepada kita. Balasan senyuman dari baginda itu sangat kita nantikan sejak sekian lama.

Tetapi pada pandangan kita, bagaimanakah kita perlu persiapkan diri kita jika berhadapan Rasulullah s.a.w? Sebagai individu Muslim, sudah pasti kita ingin tonjolkan diri kita dengan penampilan yang menepati shariah, dan kita tahu dengan penampilan sedemikian sudah membuat baginda Rasulullah s.a.w akan tersenyum manis.

Tetapi bagaimana pula jika sebaliknya? Jika penampilan dan pertuturan kita tidak mengikut syariah, sudah pasti akan terpampang kekecewaan pada wajah baginda.

Maka kita harapkan akhlak penampilan kita baik sentiasa bukan sahaja pada mata baginda, tetapi pada pandangan tetamu yang lain.

MEREHATKAN DIRI DI BILIK

Setelah melalui front office, baginda meminta pula untuk berehat. Sudah pasti kita sebagai umat yang sangat mencintai Baginda, akan menyediakan bilik yang terbaik yang kita ada, walaupun kita tahu baginda bukanlah orang yang suka meminta-meminta.

Akan tetapi sebagai umat sudah semestinya kita ingin mendapat pendapat baginda tentang keseluruhannya.
Kita pasti akan bahagia dan gembira jika dapat melayan baginda sebaik yang mungkin. Kita juga akan sentiasa memastikan yang baginda selesa setiap masa.

SOLAT BERJEMAAH

Setelah merehatkan diri seketika, baginda ingin pula solat berjemaah di surau bersama kita. Akan tetapi apa yang terjadi ketika mana baginda sampai di surau?

Baginda melihat umatnya solat bersendirian, tidak berjemaah seperti mana yang baginda telah sebutkan tentang kelebihan solat berjemaah.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Solat berjemaah lebih utama berbanding solat bersendirian dengan 27 darjah”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Apakah kita ingin melihat baginda kecewa dengan sikap kita yang suka solat bersendirian, seolah-olah baginda melihat umatnya menyombong diri di antara satu sama lain?

Oleh itu, kita perelokkanlah kembali solat kita dengan saling solat berjemaah. Peranan kita sebagai umat Baginda untuk mengikut apa yang telah disarankan oleh baginda.

SINGGAH MENJAMU SELERA

Setelah solat berjemaah, sudah tentu kita ingin mengajak baginda menjamu selera di restoran terbaik kita.
Tetapi bagaimanakah reaksi baginda? Sudah pasti baginda akan rasa ragu-ragu jika makanan itu bukan dari sumber yang halal.

Kita pasti akan meyakinkan baginda jika apa yang dihidang itu adalah halal dan mendapat pengiktirafan halal dari badan yang berautoriti,iaitu JAKIM.

Kepuasan bagi kita sebagai umat ialah apabila baginda gembira dengan makanan yang kita hidangkan dan baginda puas dan yakin dengan menu yang kita sediakan.

Bagi tukang masak, sudah pasti akan masak yang terbaik untuk baginda tanpa ada cacat celanya. Dan tukang masak juga sentiasa mengharapkan baginda mengukir senyuman apabila merasai masakan yang kita masak.

Bagaimana pula jika sebaliknya? Makanan yang disajikan itu itu tidak memuaskan, sumber pula dari yang meragukan dan tiada sijil halal sebagai contoh. Sudah pasti baginda tidak akan menjamahnya. Oleh itu, kita sentiasalah memberi khidmat yang terbaik dari segi penyediaan makanan kepada tetamu kita dengan menyediakan makanan yang terbaik dan halal.

ROUNDING DI SEKITAR KAWASAN

Selepas menjamu selera, baginda ingin pula meronda-ronda di setiap kawasan. Sebagai umat yang mencintai baginda, sudah pasti kita akan memimpin tangan baginda dan membawa baginda melihat seluruh kawasan.

Dengan memperkenalkan staf-staf yang lain, sudah pasti kita mengharapkan agar setiap staf menjaga akhlaknya ketika berhadapan dengan baginda.

Akan tetapi agak malang jika seandainya baginda dapat mendengar suara-suara yang mengeji, mencarut, memfitnah dan memaki hamun di antara satu sama lain. Sudah pasti baginda akan kecewa dengan sikap sedemikian rupa.

Oleh itu, sentiasalah kita menjaga akhlak kita sesama rakan sekerja dan juga tetamu kita agar suasana seperti yang disebutkan tadi tidak berlaku di tempat kerja kita.

Selain itu, kita juga akan menerangkan pada baginda yang kita sedang berusaha untuk menjadikan servis apartment ini benar-benar patuh syariah bagi memenuhi tanggungajwab kita sebagai umat Baginda.

Kita terangkan pada baginda bahawa kita sudah mengamalkan sistem perbankan Islam, tidak menyediakan program-program yang yang tidak patuh syariah dan sebagainya.

Bukankah itu bakal membuatkan baginda tersenyum? Sudah semestinya baginda akan senyum jika melihat usaha kita untuk menegakkan syariat Allah s.w.t

KEBERANGKATAN PULANG BAGINDA

Setelah meronda, baginda meminta ingin pulang ke Mekah. Apakah reaksi kita ketika itu? Sudah pasti kita akan menangis semahu-mahunya. Sebab kita tidak tahu bilakah lagi baginda akan menjejakkan kaki baginda yang mulia itu ke hotel kita.

Sebelum pulang sudah semestinya kita ingin berikan hadiah yang terbaik untuk baginda. Apakah hadiah yang kita ingin berikan?Sudah semestinya hadiah yang menepati shariah.

Sebelum baginda pulang, apakah harapan yang kita inginkan dari Baginda? Sudah semestinya Baginda mengharapkan agar servis apartment kita ini benar-benar patuh syariah bukan sekdar proses sahaja, akan tetapi keseluruhannya termasuklah penampilan kita, perwatakan kita, pengurusan dan pentadbiran kita.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sesungguhnya layanan tetamu yang hadir di sini perlulah yang terbaik seperti mana jika kita melayan baginda Rasulullah s.a.w

2.      Kita tahu baginda sudah wafat tetapi apakah yang kita boleh lakukan untuk buat baginda rasa gembira dengan kita? Sudah pasti kita perlu taat suruhan Allah dan meninggalkan apa yang dilarang.

3.      Bekerjalah kita sebaik-baiknya dan pastikanlah setiap apa yang kita lakukan itu adalah yang terbaik.

4.      Jika kita merindui baginda, perbanyakkanlah selawat dan praktikkanlah segala sunnah baginda.

5.      Orang yang beriman pasti merindui dan mencintai Allah s.w.t dan baginda Rasulullah s.a.w.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahulam


No comments:

Post a Comment