Jubah

Jubah

Thursday, May 1, 2014

TIADA IMAN TIADALAH AMAN

TIADA IMAN TIADALAH AMAN

PENDAHULUAN

Orang yang benar-benar beriman kepada Allah, baginya ketenangan dan keamanan dalam jiwa diri mereka.

Orang yang beriman sentiasa memikirkan tentang hubunganNya dengan Allah. Mereka selalu bertanya, “Adakah Allah menyayangiku? Apakah amalan yang boleh mendekatkan aku kepada Allah s.w.t? Adakah pahala yang aku ada sekarang ini sudah cukup untuk aku memasuki syurga Allah s.w.t?”

Jadi orang beriman sentiasa memastikan setiap tindakan atau tingkah laku mereka ada ganjaran pahalanya.

Bukankah itu juga impian dan harapan kita? Menjadi hamba yang beriman yang sentiasa sibuk mencari pahala dalam usaha merebut tempat di syurga Allah s.w.t? Maka berebut-rebutlah dalam membuat kebaikan.

Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

(Surah al-Hadiid:21)

Oleh itu berlumba-lumbalah kita dalam membuat kebaikan kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t sangatlah besar.

Orang yang beriman akan rasa aman terhadap ibadah yang dilakukannya. Berbanding orang yang munafik, mereka akan rasa penat lelah dan tidak aman dalam melakukan ibadah hanyasanya mereka hanya berpura-pura terhadap ibadah mereka.


TIDAK AMAN BAGI YANG TIDAK BERIMAN

Orang yang tidak beriman ialah orang yang menolak ayat-ayat Allah s.w.t. Balasan buruk bagi mereka yang menolak ayat-ayat Allah ini adalah neraka yang sangat keras azab seksanya.

Firman Allah s.w.t:

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

(Surah al-Baqarah:175)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang tidak beriman dengan membeli kesesatan dan meninggalkan petunjuk Allah, maka mereka menanggung seksaan api neraka.

Adakah kita inginkan balasan seperti ini? Sudah tentu tidak. Jika kita tidak mahu, kenapa kita masih memilih untuk menolak ayat-ayat Allah?

Maka bermuhasabahlah kita dalam menilai semula perbuatan kita. Adakah kita sudah menyalahi prinsip Islam yang diterapkan oleh Islam itu sendiri?

Adakah kita sedang melakukan sesuatu yang tidak patuh shariah pada diri kita dan kehidupan kita? Jika kehidupan kita penuh dengan warna-warni maksiat, maka tinggalkanlah ia. Jika kehidupan kita penuh dengan amalan-amalan keji dan haram, maka jauhilah ia.

Jika tidak, kita tidak akan pernah aman kerana kita tidak beriman kepada Allah s.w.t.

Orang yang tidak beriman tidak akan berasa aman baik di dunia mahupun di akhirat. Bagaimana mungkin kita akan bahagia jika kita hidup dalam keadaan Allah membenci kita lantaran dosa yang kita sering lakukan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja?

Allah berfirman:

Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya;

(Surah al-Ma’ariij:28)

Oleh itu, bersegeralah kita bertaubat kerana di akhirat kita belum dapat jamin adakah kita akan aman atau tidak di sana.


KEAMANAN DALAM KEIMANAN

Orang yang hidup dalam keadaan beriman, hatinya sentiasa aman. Orang yang menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t, maka Allah akan jamin hidupnya.

Malah setelah ia meninggal dunia, Allah akan memberi ganjaran berupa syurga untuknya. Allah berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. -
(Surah ad-Dukhaan:51)

Jadi apakah kita masih berkira-kira untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t?

Maka kejarlah iman agar kita bisa aman baik di dunia mahupun di akhirat. Dikala usia kita sedang meningkat naik, tidak khuatirkah kita jika iman yang kita sedia ada ini sudah kuat untuk kita ditempatkan ke dalam syurga Allah s.w.t?

Jika masih tidak kuat, maka perkuatkanlah. Jika iman kita sedang jatuh, maka naikkanlah ia. Jika iman kita sedang bergelora lantaran dek dosa dan maksiat yang sedang kita lakukan maka tenangkanlah ia dengan meletakkan hati benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.

Dengan mengingati Allah hati akan tenang.


PENTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berlumba-lumbalah dalam membuat kebaikan kerana hanya orang yang beriman dan bertaqwa sahaja yang layak mendapat syurga Allah s.w.t.

2.     Jauhilah segala perbuatan yang boleh mengundang dosa dan maksiat kerana ia adalah penyebab kurangnya iman.

3.  Pastikan gred iman kita sentiasa meningkat naik hari demi hari kerana ia merupakan pra syarat untuk mendapat keamanan di dunia dan juga di akhirat.

4.      Jangalah berasa aman jika kita masih belum beriman, kerana tiada siapa yang dapat menjamin kita sama ada ke neraka atau ke syurga kita di akhirat kelak.

5.      Bermuhasabahlah “Adakah aku hamba yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment