Jubah

Jubah

Tuesday, May 20, 2014

‘JOB DESCRIPTION’ SANG KHALIFAH

‘JOB DESCRIPTION’ SANG KHALIFAH
PENDAHULUAN

Apakah itu khalifah? Dan siapakah dia khalifah? Apakah peranan khalifah di muka bumi ini? Apakah panduan yang perlu diikut oleh khalifah?

Allah s.w.t berfirman:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

(Surah al-Baqarah: 30)

Jelas bahawa ketika mana Allah ingin jadikan manusia di muka bumi ini, ia menjadi persoalan oleh malaikat di mana malaikat menyuarakan kekhuatiran terhadap penciptaan manusia di muka bumi.

Lantas Allah menjawab bahawa Dia Maha Mengetahui segala-galanya.

Maka fahamlah kita bahawa kita adalah manusia yang dilantik oleh Allah s.w.t sebagai khalifah di muka bumi ini.

Apakah tujuannya? Sudah pasti ada tujuannya tersendiri. Kita dijadikan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini untuk apa? Adakah untuk berbunuh-bunuhan? Atau menghuru-harakan dunia?

Sudah tentu tidak. Ada bidang tugas yang telah Allah sediakan untuk kita. Tinggal cuma untuk kita menilai dan merealisasikan menurut perintahNya.

Dengan demikian, apakah bidang tugasnya?


MEMAKMURKAN BUMI ALLAH DENGAN SYARIAT ISLAM

Kita diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk memakmurkan bumiNya ini dengan syariat Islam. Bukankah itu peranan sebenar seorang khalifah?

Bukankah ini tujuan kita dijadikan oleh Allah s.w.t?

Allah s.w.t berfirman:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

(Surah an:Nuur:55)

 Jelas pada ayat ini tentang job description seorang khalifah. Dan ini adalah tujuan sebenar kita dijadikan.
Apakah tindakan Allah s.w.t dalam melantik kita menjadi khalifah di muka bumi ini satu yang sia-sia?

Sudah tentu tidak. Inilah tugas kita iaitu meninggikan syiar Islam, melaksanakan syariat yang telah diperintahkan, dan menjauhi segala perkara yang boleh merosakkan bumiNya.

Analoginya seperti seorang pekerja yang telah dilantik oleh majikan bagi memastikan operasi syarikat berjalan dengan baik.

Adakah kita ingin merosakkan syarikat? Sedangkan kita telah pun diberi amanah oleh majikan untuk memastikan syarikat berada dalam keadaan baik dan berjaya.

Oleh itu samalah kita dalam memakmurkan bumi Allah ini. Kita dilarang untuk memusnahkannya dengan perbuatan yang negatif, dan kita dituntut untuk memakmurkannya dengan nilai-nilai positif.

Dengan demikian wajar bagi kita untuk mempraktikkan pematuhan syariah dari seluruh aspek baik kehidupan rumahtangga, keluarga, pendidikan, ekonomi, politik dan juga bidang kerjaya kita.


KENANG NIKMAT SEBAGAI KHALIFAH

Setelah kita diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, sudah pasti itu adalah nikmat yang snagat besar.

Ketika mana Allah beri kita peluang dan rezeki di atas usaha kita dalam memakmurkan bumi Allah ini, apakah kita ingin lupa akan nikmat itu?

Maka kenanglah nikmat yang telah Allah berikan kepada kita di atas usaha kita sebagai khalifah. Allah berfirman:

"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi".

(Surah al-Aaraf:74)

Jelas kita diminta untuk kenang nikmat Allah dan kita ditegah dari melakukan kerosakan di muka bumi ini.


PANDUAN SANG KHALIFAH

Panduan seorang khalifah sudah pasti berlandaskan al-quran dan as-sunnah. Ini adalah standard pematuhan yang perlu dipatuhi oleh kita sebagai khalifah.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Ankabuut:45)

Jika kita gagal dalam mematuhinya, sudah pasti kita sedang ke arah kebinasaan dan kerosakan.

Wajib atas kita untuk kita praktikkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dan kita menjauhi segala laranganNya.

Seorang khalifah yang benar-benar berpegang kepada al-quran dan as-sunnah, sudah pasti dia akan mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu kejayaan di dunia dan juga kejayaan di akhirat.

Samalah seperti kita dalam sebuah syarikat. Di mana sesebuah syarikat pasti ada objektifnya. Dalam usaha mencapai objektif tersebut, maka kita perlu mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.

Kita patuh pada SOP, maka objektif syarikat akan tercapai. Jika kita langgar SOP, sudah tentu kita akan gagal dan ia akan mengundang kepada pelbagai masalah kepada syarikat kelak.


PENUTUP

Penagajaran yang boleh diambil:

1.      Kita adalah khalifah dimuka bumi ini. Maka makmurkanlah ia dengan syariat Islam.

2.   Kenanglah nikmat Allah dengan sentiasa mematuhi segala suruhanNya dan jangalah kita merosakkan bumiNya ini dengan perbuatan dan tingkah laku yang negatif.

3.      Jadikanlah al-quran dan as-sunnah sebagai panduan, kerana itu adalah standard seorang khalifah.

4.      Muhasabahlah “Adakah kita ini khalifah yang taat atau yang ingkar?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam

No comments:

Post a Comment