KUALITI
SOLAT MENJAMIN KUALITI KERJA
PENDAHULUAN
Apakah kaitan kualiti
solat dengan kualiti kerja? Benarkah dengan menjaga solat maka kita mampu
menjaga soal pengurusan kehidupan kita khususnya dalam kerjaya?
Seperti yang kita sedia
maklum bahawa kita sebagai umat Islam difardhukan untuk menunaikan solat 5
waktu sehari semalam.
Tetapi persoalannya
adakah cukup bagi kita solat begitu sahaja? Tidak pernahkah kita berfikir
bagaimana solat itu membentuk diri kita menjadi muslim yang terbaik dan beriman?
Dalam usaha kita untuk
menjadi pekerja yang benar-benar menjaga kualiti kerja, maka sebagai individu
muslim, jagalah solat. Kenapa?
Kerana pada solat ada
hikmah di sebaliknya yang kita tidak mengambil berat terhadapnya.
Oleh sebab itu, pada
hari ini kita ingin lihat sejauh manakah solat dapat menjadikan kita pekerja
muslim yang berkualiti.
Sedangkan jelas bahawa
Allah s.w.t telah berfirman:
Sesungguhnya berjayalah
orang-orang yang beriman,(1)Iaitu mereka yang khusyuk dalam
sembahyangnya;(2)
(Surah al-Mukminun:1-2)
Kita dah solat tapi kenapa kita tidak berjaya? Itu adalah persoalan yang
kadang-kadang kita terfikir sendiri.
Adakah ayat al-quran ini salah? Sudah tentu tidak. Kita yang salah.
Kerana kita gagal untuk memahami erti solat yang sebenar.
Oleh itu, dalam usaha menjadikan kita pekerja yang berkualiti, maka kita
peliharalah solat. Persoalannya apakah ciri-cirinya?
MENJAGA KUALITI WAKTU SOLAT
Kita dituntut untuk segera dalam menunaikan solat tatkala kita mendengar
seruan azan. Dan seperti yang kita ketahui bahawa waktu antara solat-solat
adalah tidak jauh. Maka jika kita sudah melewatkannya, maka kita terpaksa qadha’.
Muslim yang baik tidak akan mengajar dirinya untuk mengqadhakan solat.
Pekerja yang mampu menjaga waktu solatnya, maka dia juga mampu menjaga
waktu bekerjanya. Kita boleh lihat orang yang menjaga waktu solat, amat mementingkan
waktu masuk kerja dan masa bekerjanya.
Dia tidak akan membiarkan masa dia habis begitu sahaja tanpa ada
kerja-kerja yang bermanfaat.
Sebagai contoh, kita boleh lihat jika ada pekerja yang sering datang lambat
ke tempat kerja, kita boleh tanya dia sama ada dia solat subuh atau tidak.
Hampir kebanyakan jawapan yang akan diterima ialah mereka tidak solat subuh
ataupun subuh gajah.
Oleh itu, bagi menjadi pekerja yang berkualiti dari segi masa, maka
jagalah waktu solat. Solatlah setelah masuk waktu, jangan bertangguh kerana
jika kita bertangguh dikhuatiri kita akan terlepas waktunya.
Orang yang beriman dan beramal soleh pasti akan menjaga kualiti masanya.
Berdasarkan firman Allah s.w.t:
Demi Masa!(1) Sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)
(Surah al-Asr:1-3)
MENJAGA KUALITI INTIPATI SOLAT
Orang yang sentiasa menjaga kualiti solatnya juga, mampu untuk menjaga
kualiti kerjanya. Kerana dia tahu, jika solatnya gagal, maka solatnya akan
menjadi sia-sia. Dan sudah tentu Allah s.w.t tidak akan menerima solatnya.
Begitulah juga dalam bab kerja. Jika kualiti kerja adalah rendah dan
tidak menepati apa yang telah diminta oleh majikan, maka apakah kita jangkakan
bahawa tuagasan atau kerja yang diberikan itu akan diterima oleh majikan atau
tidak?
Sudah tentu tidak. Sebab itu, dalam usaha untuk mendidik diri kita agar
dapat menjadikan segala kerja dan tugasan yang diberikan adalah berkualiti,
maka mulalah dengan menjaga kualiti intipati solat.
Bagaimana ingin menjaga kualiti intipati solat? Iaitu dengan memahami
segala makna dalam solat, menjaga rukun solat, dan solat tidak tergesa-gesa.
Maka dengan demikian, secara automatik kita akan terdidik untuk menjaga
kualiti kerja kita dan keseluruhan hidup kita.
MENJAGA KUALITI SOLAT DENGAN BERJEMAAH
Kualiti solat juga dapat dilihat apabila kita solat secara berjemaah.
Dengan solat berjemaah kita bukan sahaja mendapat pahala 27 kaliganda, malah
kita juga dapat membina silaturrahim sesama Jemaah yang lain.
Kelebihan solat berjemaah ini juga mendidik kita agar sentiasa bersatu
dalam apa jua perkara. Selain itu ia juga meyakinkan kita bahawa hidup dalam
berjemaah pasti bahagia, kerana dengan berjemaah kehidupan kita lebih terjaga.
Contohnya jika kita hadapai masalah keewangan, pasti akan ada yang sudi
membantu dari segi keewangan. Jika kita menghadapi masalah pengurusan
rumahtangga, pasti akan ada Jemaah yang akan kongsikan pandangan dalam
menyelesaikan masalah tersebut.
Oleh yang demikian, jika kita sering solat berjemaah, maka secara automatik
kita akan cenderung untuk bekerja secara berjemaah dan kerjasama.
Kita akan rasa seronok apabila berkerja bersama-sama dan saling tolong
menolong antara satu sama lain.
Ini sangat baik untuk kita praktikkan dalam kerjaya kita khususnya
apabila kerja itu melibatkan ramai orang.
Kualiti solat berjemaah menjamin kualiti kerja secara berkumpulan.
SOLAT BERKUALITI CEGAH KEMUNGKARAN
Seperti yang kita sedia maklum, solat dapat mencegah seseorang dari
kemungkaran. Dengan syarat muslim tersebut, perlu memelihara kualiti solatnya.
Allah berfirman:
Bacalah serta ikutlah (wahai
Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah
sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan
yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan.
(Surah al-Ankabut:45)
Apabila kualiti solat dijaga, maka invidu muslim tidak akan berani
melakukan kemungkaran.
Maka begitu jugalah dalam bab kerja. Pekerja yang berkualiti tidak akan
seleweng waktu kerjanya.
Dia tidak akan membiarkan waktu kerjanya dihabiskan dengan melepak atau
merayau, tanpa menyiapkan tugasannya.
Oleh itu jika kita mampu menjaga kualiti solat kita, dan dengan
disebabkan solat itu kita terhindar dari melakukan kemungkaran, maka ia juga
akan memberi kesan kepada kualiti kerja kita dan menghindarkan diri kita dari
penyelewengan atau salahguna.
Maka perelokkanlah solat kita agar solat kita menjadi lebih berkualiti.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1. Kualiti solat menjamin kualiti kerja. Maka
peliharalah ia.
2. Dengan menjaga waktu solat, kita juga akan
terdidik untuk menjaga kualiti masa kerja kita.
3. Dengan menjaga kualiti intipati solat, kita juga
akan terdidik untuk menjaga kualiti intipati kerja kita.
4. Apabila solat dijaga dengan baik, maka kerja kita
juga akan terpelihara dengan baik kerana kita tahu bahawa Allah s.w.t Maha
Melihat terhadap segala perbuatan kita.
5. Muhasabahlah “ Adakah aku telah menjaga
kualiti solatku?”
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
No comments:
Post a Comment