Jubah

Jubah

Tuesday, May 6, 2014

‘BAGAIMANA KITA MELETAKKAN ISLAM DALAM KEHIDUPAN KITA?’

‘BAGAIMANA KITA MELETAKKAN ISLAM DALAM KEHIDUPAN KITA?’

PENDAHULUAN

Sebagai pendahuluan, Allah s.w.t telah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

(Surah al-Baqarah:208)

Tazkirah kali ini ingin sama –sama kita bermuhasabah atas bagaimana kita meletakkan Islam dalam kehidupan kita.

Agama Islam itu bersifat menyeluruh. Dan dengan Islam kita tahu bahawa ia akan menyelamatkan kita di dunia juga akhirat.

Apabila timbul persoalan bagaimana kita meletakkan Islam dalam kehidupan kita, sudah tentu perkara yang kita inginkan ialah satu kehidupan yang baik.

Ada orang yang meletakkan Islam di atas. Maka dirinya dihormati, disayangi dan sentiasa dibantu oleh orang lain, hanyasanya dia meletakkan Islam itu di atas.

Ada pula orang yang meletakkan Islam itu di bawah, dan pada akhirnya hidupnya huru-hara, dia dibenci, malah dia terdedah dengan perkara-perkara yang negatif.

Oleh itu, beberapa persoalan lain akan kita cuba rungkaikan antaranya apa akan terjadi jika seseorang atau sesebuah organisasi itu meletakkan Islam di bawah?

Kenapa boleh terjadi sedemikian rupa? Bagaimana ingin menjadi individu atau organisasi yang berkualiti dan dihormati?


APABILA SYARIAT ISLAM DI ATAS

Apabila kita meletakkan agama kita yakni agama Islam di atas dalam kehidupan kita, sudah pasti segala tindakan, perbuatan, pertuturan kita akan terjaga dan terkawal. Kenapa?

Kerana apabila syariat Islam didahulukan, sudah pasti kita akan pastikan segala tindakan kita tidak terkeluar dari panduan dan pematuhan syariat Islam seperti yang telah ditetapkan.

Dengan meletakkan syariat Islam di atas segala-galanya dalam kehidupan kita, maka kehidupan kita akan lebih sejahtera. Malah diri kita juga akan dihormati oleh masyarakat.

Kita boleh lihat sebagai contoh golongan para alim ulama, bagaimana diri mereka dihormati. Kita juga boleh lihat golongan pemimpin yang meletakkan syariat Islam yang pertama dalam kerajaannya. Segala atur kerja, pelan tindakan, program dan aktiviti segalanya mengikut syariat dan sangat teratur.

Dalam organisasi kita pula, jika kita meletakkan syariat Islam di atas, maka segala keputusan yang ingin dibuat perlu berlandaskannya, dan hasilnya keputusan yang dibuat adalah baik bagi diri kita dan juga pekerja-pekerja kita.

Sebagai contoh, apabila kita ingin membuat sesuatu program, dan apabila syariat Islam didahulukan, maka perjalanan program itu perlu berlandaskan pematuhan syariah di mana tiada wujud aktiviti yang tidak sihat, makanan yang dijamin halal, dan sebagainya.

Oleh itu, wajar untuk kita meletakkan syariat Islam itu di atas dari segala-galanya. Sama juga dalam kehidupan kita berumahtangga. Rumahtangga yang didasari dengan syariat Islam pasti akan bahagia.


APABILA SYARIAT ISLAM DI BAWAH

Apabila syariat Islam kita letak di bawah dalam segala apa jua urusan kita, maka potensi untuk berhadapan dengan masalah itu besar.Kenapa?

Kerana secara tidak sengaja kita sedang mengundang perkara-perkara negatif dan bahayanya kita akan hadapi suasana yang tidak sihat tanpa kita duga.

Sebagai contoh, sebuah kerajaan yang tidak meletakkan Islam di atas, maka para pemimpin kerajaan mudah terdedah kepada rasuah dan penyelewengan. Mereka juga terdedah dalam ingin melakukan kezaliman terhadap rakyat.

Dalam organisasi pula, bahayanya ialah akan berlaku keputusan yang salah dan bertentangan dengan syariat. Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa juga akan berlaku.

Dalam kehidupan berumahtangga, jika syariat Islam letak di bawah, maka rumahtangga tersebut mudah untuk roboh, kebencian antara suami isteri, kegagalan mendidik anak-anak, kecurangan, pergaduhan, dan juga penceraian, sudah tentu boleh berlaku.

Sebab itu, apa-apa jua perkara yang kita ingin lakukan, maka dasarilah ia dengan syariat Islam. Kegagalan kita meletakkan syariat Islam itu ditempatnya, maka bersedialah kita untuk hadapi huru-hara, kecelaruan, permusuhan, dendam, fitnah dan sebagainya.


SYARIAT ISLAM TIANG PALING KUKUH

Sebab itu, syariat Islam itu adalah tiang yang paling kukuh di dunia ini kerana ia berlandaskan al-quran dan sunnah.

Jadikanlah syariat Islam itu adalah tiang kita yang akan kita pegang seerat-eratnya sehingga nyawa kita hingga ke penghujung.

Sebagai contoh apabila kita sedang menghadapi rebut badai dan hanya da satu tiang ketika itu, sudah tentu kita akan pegang erat seeratnya, agar kita tidak terlepas dari ditarik ke dalam badai yang mengganas.

Maka begitulah juga kita dengan syariat Islam. Peganglah ia walau kita berada di mana jua sekalipun.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Islam itu adalah agama yang menyeluruh, maka masuklah ke dalamnya secara keseluruhan bukan separuh-separuh.

2.      Jika kita meletakkan syariat Islam di atas, maka kehidupan kita akan lebih aman dan sejahtera.

3.      Jika kita meletakkan syariat Islam di bawah, maka kehidupan kita, organisasi kita dan pimpinan kita akan jadi kucar-kacir, malah kita akan dibenci oleh rakyat dan orang-orang dibawah pimpinan kita.

4.      Pegang erat-erat tiang syariat Islam, dan jangan sampai terlepas kerana jika terlepas, kita akan hanyut dibawa badai penipuan dunia dan seterusnya tersadai di neraka Allah s.w.t selama-lamanya.

5.      Bermuhasabahlah, “Bagaimanakah aku meletakkan syariat Islam dalam kehidupan dan organisasi aku sekarang ini?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam

No comments:

Post a Comment