Jubah

Jubah

Wednesday, May 21, 2014

DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU SYARIAT DIJUNJUNG

DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU SYARIAT DIJUNJUNG


PENDAHULUAN

Dalam kita melayari kehidupan di dunia ini, sudah tentu kita melayarinya dengan syariat Islam. Kerana kehidupan tanpa syariat, ibarat layang-layang yang terputus talinya. Tiada hala tuju dan matlamat sebenar.

Oleh demikian ,persoalannya bagaimanakah kita memijak bumi Allah ini dan pada masa yang sama syariat itu dijunjung?

Sedangkan kita tahu bahawa setiap hukum-hakam yang kita sedang patuhi ini adalah dari syariat Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman:

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.(13)

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.(14)

(Surah an-Nisaa’:13-14)

Jelas pada kita bahawa hukum-hakam yang telah Allah tetapkan pada kita dan jika kita taat maka ada ganjaran dariNya dan begitulah juga sebaliknya.


KENAPA SYARIAT PERLU DIJUNJUNG?

Seperti yang disebutkan tadi adalah kerana kita adalah hamba Allah s.w.t. Seorang hamba akan taat pada tuannya.

Dan jika kita menyimpang dari ketaatan, maka ke nerakalah kita. Ini dari sudut ubudiyyah (ibadah) kita kepada Allah s.w.t yang menghidupkan kita dan mematikan kita.

Dari sudut khalifah, yakni jiwa yang diberi amanah untuk memakmurkan bumi Allah ini, maka syariat itu sangat penting untuk kita junjung.

Tanpa syariat, kehidupan kita akan jadi huru-hara. Apabila tarbiyah dan syariat tidak diserap masuk dalam jiwa, maka akan berlakulah permusuhan di antara sesama sendiri.

Syariat Islam ini adalah ubat bagi penyakit hati manusia. Tanpa ubat ini, maka manusia akan terjerumus ke lembah kejahatan dan kemungkaran.

Apabila hawa nafsu melangkaui syariat, maka kita akan hadapi kebinasaan dalam hidup. Kecelaruan dalam mengenal identiti diri sendiri sebagai seorang muslim.

Dan jelas kita diperintahkan untuk menuruti syariat Allah s.w.t walau di mana jua kita berada sekalipun. Allah s.w.t berfirman:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

(Surah al-Jaathiyah:18)


BAGAIMANA SYARIAT ITU DIJUNJUNG?

Dan cara terbaik untuk kita menjunjung syariat Allah s.w.t adalah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Apakah susah bagi kita untuk mempraktikkannya? Apakah ada sesuatu yang menghalang kita dari melaksanakannya?

Kadang-kadang kita boleh lihat bahawa umat Islam zaman sekarang sukar untuk melaksanakannya.

Puncanya kerana hawa nafsu. Sedangkan kita tahu hawa nafsu adalah musuh ketat syariat Allah. Ia sama sekali tidak suka akan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Maka tanggungjawab kita semua untuk menundukkan hawa nafsu ini dengan syariat Allah s.w.t dengan cara segera mentaati apa yang telah ditetapkan oleh Allah, walau di mana kita berada sekalipun.

Allah berfriman:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

(Surah al-Hajj:41)

Jelas pada ayat ini bahawa umat Islam yang sebenar ialah apabila diberi kekuasaan mereka memerintahnya dengan syariat Islam. Dan kita perlu ingat bahawa Allah jualah kesudahan segala urusan.


PERTAHANKAN SYARIAT DARI RUNTUH

Seperti langit, jika ia runtuh sudah tentu ia akan menghempap umat manusia dan mendatangkan kecelakaan yang besar.

Oleh demikian, sebagai manusia yang telah diiznkan oleh Allah untuk hidup di dunia ini, maka wajib atas kita untuk mempertahankan syariat Allah s.w.t baik dalam rumahtangga, keluarga, masyarakat, organisasi dan juga negara.

Jika tidak, pasti kita akan menghadapi musibah yang besar. Kerana sebelum kita sudah ada kaum-kaum yang menolak dan tidak mempertahankan syariat Allah s.w.t.

Maka pengakhiran mereka sangatlah hina dan Allah s.w.t telah datangkan kebinasaan kepada mereka.Oleh itu pertahankanlah syariat Islam dengan menjadi mukmin yang benar-benar bertaqwa dan mempraktikkan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Junjunglah syariat walau di mana jua kita berada.

2.      Tanpa syariat kita ibarat layang-layang yang terputus talinya. Maka pastikanlah tali syariat itu kuat dan teguh.

3.      Segeralah taat pada suruhan Allah dan tinggalkanlah segala laranganNya.

4.  Muhasabahlah “ Adakah kita benar-benar sudah menjunjung syariat di tempat yang kita pijak sekarang ini?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam



No comments:

Post a Comment