Jubah

Jubah

Tuesday, May 6, 2014

MUKMIN ITU BERSAUDARA

MUKMIN ITU BERSAUDARA

PENDAHULUAN

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Surah al-Hujurat:10)

Dalam ayat ini jelas bagi kita bahawa orang mukmin itu adalah bersaudara. Apa yang dimaksudkan bersaudara? Kenapa ayat ini tidak sebut bersahabat, atau berkawan, atau berteman?

Jelas bagi kita ia bermaksud satu hubungan yang sangat rapat berbanding seorang sahabat, seorang kawan dan sebagainya.

Adakah kita dengan rakan-rakan muslim kita sudah cukup ‘bersaudara’? Cuba kita tanya persoalan ini pada diri kita sendiri.

Jika masih belum ‘bersaudara’, maka apakah tindakan kita sekarang ini bagi mewujudkan kembali suasana persaudaraan dalam Islam?

Realiti apa yang kita dapat lihat pada ummat Islam zaman sekarang adalah tiada lagi sifat kasih dan sayang antara mereka.

Punca? Adalah kerana bertelagah isu kecil di mana ia boleh diselesaikan dengan konsep syura. Bukankah ini yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, para tabiin, dan apra alim ulama? Mengapa tidak kita mengambil contoh?

Mereka mengaku mereka adalah ummat Nabi Muhammad s.a.w, akan tetapi mereka tidak bersauadara malah bermusuh di antara satu sama lain. Kenapa?

Bukankah Nabi Muhammad s.a.w mengajar kita untuk memelihara dan menjaga hubungan sesama muslim?


BICARALAH SEPERTI ORANG MUKMIN

Kadang-kadang punca kita bertelagah sesama muslim adalah kerana kegagalan kita mengawal lidah kita dari berkata-kata keji.

Jika kita bebricara dengan kata-kata yang keji, maka kecenderungan untuk bermusuh itu adalah sangat tinggi.

Maka persoalaannya adakah bermusuh-musuhan itu wujud dalam Islam? Adakah Nabi pernah sebut dalam hadis tentang suruhan bermusuh di antara satu sama lain?

Sedangkan pada hakikatnya, lidah kita ini akan menjadi salah satu saksi di atas perlakuan kita di dunia ini. Jika lidah ini menjadi punca kepada permusuhan, maka ia akan menjadi saksi di atas perbuatan tersebut. 

Firman Allah s.w.t:

Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.

(Surah an-Nuur:24)

Oleh itu, masih sukakah kita untuk tidak menjaga lidah kita dari mencetus api permusuhan? Bukankah kita sedang meniti satu jalan yang akan membawa kita menjadi seorang mukmin yang taat?


NASIHAT MUKMIN ITU HIKMAH

Dalam hidup kita pasti kita akan ‘terlakukan’ sesuatu yang salah dan silap. Tetapi sebagai orang mukmin yang mempunyai saudara mukmin yang ramai, ambilllah nasihat dari mereka.

Kerana nasihat itu adalah hikmah. Hikmah yang dapat mendidik kita menjadi yang lebih baik.

Beruntunglah setiap orang mukmin kerana orang mukmin itu memiliki saudara yang akan sentaisa mengingati antara satu sama lain dalam usaha untuk mengejar keredhaan Allah s.w.t.

Sedangkan kita tahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu hadirnya memberi nasihat kepada kita agar kita tidak tersesat jalan.

Dan peranan itu disambungkan kepada kita antara sesama mukmin agar saling nasihat dan menasihati di antara satu sama lain agar kita tidak pulang kembali ke pangkuan Allah dalam keadaan kita penuh dengan dosa.

Allah berfirman:

"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?".

(Surah al-A’raaf:63)


CUKUPLAH SYAITAN ITU MUSUH KITA

Cukuplah syaitan itu yang menjadi musuh kita. Janganlah kita menjadikan saudara mukmin kita adalah musuh kita juga.

Kerana bermusuh dengan sesama mukmin adalah terkeluar dari syariat Islam. Apabila terkeluar maka perjalanan kita dalam usaha untuk mendapat keredhaan Ilahi itu akan terencat.Maka berwaspadalah kita.

Syaitan sangat suka orang mukmin bermusuh-musuhan. Kerna ini memudahkan kerjanya untuk menyesatkan umat Muhammad s.a.w.

Apabila hati diselaputi kebencian dan kemarahan, maka kerja syaitan untuk menyesatkan manusia tampak lagi mudah.

Kerana kebencian itu datangnya dari kemarahan. Dan api kemarahan itu dari syaitan. Maka sebagai mukmin, awasilah api itu dari menyelinap masuk ke dalam hati sanubari kita.

Berpegang teguhlah pada tali Allah s.w.t.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah jika bertelingkah.

2.      Kawallah bicara kita sesama manusia agar kita meraih keredhaan Allah s.w.t.

3.      Salinglah nasihat menasihati sesama kita ke arah kebaikan bukan kepada kejahatan atau kemungkaran.

4.      Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik manusia yang mengajar kita erti persaudaraan. Maka contohilah baginda.

5.      Bermuhasabahlah “Adakah aku sedang bermusuh dengan saudara mukminku sendiri ketika ini? Jika ya, damaikanlah dengan saling memaafi”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment