Jubah

Jubah

Wednesday, May 7, 2014

MENGINTAI SYURGA DARI JENDELA NERAKA

MENGINTAI SYURGA DARI JENDELA NERAKA
(Gambar Hiasan)

PENDAHULUAN

Sesungguhnya kita adalah hamba Allah s.w.t. Hamba yang sentiasa dambakan syurga Allah. Siang malam kita berdoa agar Allah tempatkan kita bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh di syurga kelak.

Kadang-kadang kita khuatir, apakah doa kita ini didengari oleh Allah s.w.t atau tidak. Dan kita khuatir adakah kita benar-benar akan dapat syurga yang kita idam-idamkan selama ini?

Tetapi ketahuilah Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Dan Allah juga Maha Mengabulkan Permintaan.

Tetapi apa yang sedihnya bagi kita apabila kita langsung tidak berusaha untuk ke arah impian tersebut. Kita hanya sebutkan sahaja di dalam doa, tetapi kita langsung tidak berusaha untuk mencari jalan agar kita mendapat keredhaan Allah seterusnya diberi ganjaran syurga olehNya.

Tidak kecewakah kita tatkala kita hanya mampu mengintai ahli syurga dari jendela neraka? Bahkan pada hakikatnya setelah kita masuk ke dalam neraka Allah, kita tidak akan dapat melihat syurgaNya.

Adakah Allah akan izinkan kita untuk melihat syurgaNya setelah kita ditempatkan di neraka Allah s.w.t walau sesaat? Maka marilah kita bermuhasabah atas diri kita. Apakah perkara-perkara yang boleh menghalang kita dari mendapat syurga Allah s.w.t.

Tatkala manusia lain berbondong-bondong memasuki syurga Allah dalam keadaan happy, kita pula dalam keadaan kesedihan, kepiluan, dan ketakutan kerana kita perlu bersedia menghadapi hukuman atas dosa yang telah kita lakukan di dunia ini.

Allah berfirman:

Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.

(Surah at-Taubah:21)

Adakah kita dikalangan golongan yang akan gembira di akhirat kelak? Maka bermula sekarang, persoalkan pada diri kita, adakah kita bakal ahli yang akan gembia setelah kita meninggalkan dunia ini? Jika kita tiada jawapannya lagi, apakah tindakan susulan kita?

Bermula sekarang atau menyesal selama-lamanya.


BAHAGIAKAH KITA DENGAN AYAT-AYAT ALLAH?

Orang yang beriman, hatinya akan sentiasa gembira tatkala mendengar ayat-ayat Allah. Malah apa yang difirmankan oleh Allah, mereka taat dan mereka patuh.

Adakah kita begitu? Adakah kita rasa gembira tatkala ayat-ayat Allah dibacakan kepada kita? Atau sebaliknya?

Adakah kita rasa sedikit penolakan terhadap ayat-ayatnya ketika mana ia dibacakan kepada kita? Jika kita menolak, tidak malukah kita apabila kita mengharapkan syurga Allah s.w.t?

Maka apakah usaha kita ketika ini dalam memastikan amal kehidupan kita baik dan diterima Allah? Allah berfirman:

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahliSyurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

(Surah Yunus: 26)

Jelas bahawa orang yang berusaha menjadikan amalannya baik, maka Allah jadikan mereka ahli syurga.


ADAKAH KITA UMAT YANG BERIMAN?

Adakah kita umat yang beriman? Apakah usaha yang telah kita lakukan untuk menjadi umat yang beriman?

Pernahkah kita menilai semula aktiviti dan amalan harian kita samada amalan kita ini berlandaskan syariat ataupun tidak?

Adakah kita benar-benar memegang amanah yang telah diberikan? Adakah kita sudah mendidik ahli keluarga kita, pekerja-pekerja kita untuk beriman kepada Allah s.w.t ataupun tidak?

Adakah kita sudah membuat sesuatu bagi menghalang ahli keluarga kita dan pekerja-pekerja kita dari melakukan sesuatu yang melanggar syariat Allah s.w.t?

Jika tidak, maka apakah tindakan segera yang perlu kita lakukan? Oleh itu, perhatikan semula organisasi kita, keluarga kita, rumahtangga kita, adakah sudah benar-benar patuh syariah?

Jika belum, maka pastikan ia benar-benar patuh syariat dan berada di landasan yang benar.


MENANGIS DI NERAKA ATAU TERTAWA DI SYURGA?

Yang manakah akan kita pilih? Menangis kekecewaan di neraka atau tertawa gembira disyurga? Sudah bersediakah kita berhadapan semua ini?

Jika kita gagal memanfaatkan kehidupan di dunia ini dengan benar-benar patuh pada syariat Allah, maka kita akan menangis kekecewaan di neraka Allah.

Dan jika kita memanfaatkan kehidupan kita didunia ini dengan mentaati segala perintahnya, menjaga amanah yang diberikan, mengajak manusia membuat kebaikan, dan mencegah manusia dari melakukan kemungkaran, maka sudah pasti kita akan tertawa gembira di dalam syurga.

Maka pilihlah ketika mana kita masih ada pilihan. Jadilah hamba yang taat, dan khalifah yang amanah di muka bumi Allah ini.

Jangan melampau batas, kerana Allah tidak pernah redha terhadap orang-orang yang melampaui batas.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Kejarlah untuk meraih syurga Allah s.w.t, kerana padanya kita akan gembira selama-lamanya.

2.      Teruskan berdoa kepada Allah agar diri kita ini sentiasa diberi hidayah dan petunjuk dan mohonlah padaNya agar kita dikurniakan syurgaNya di akhirat kelak.

3.      Jadikanlah diri kita hamba yang sentiasa bahagia tatkala mendengar ayat-ayatNya.

4.      Beramallah dengan amalan yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t.

5.   Bermuhasabahlah: “ Adakah aku hamba yang akan menangis di neraka atau tertawa gembira di syurga kelak?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam

No comments:

Post a Comment