PERSEFAHAMAN YANG HILANG
PENDAHULUAN
Mengapa
persefahaman itu penting? Apakah punca berlakunya ketidaksefahaman di antara
individu dengan indvidu yang lain?
Jelas
bahawa kejayaaan tidak akan tercapai selagi mana persefahaman itu tidak diraih.
Kadang-kadang satu arahan atau permintaan yang mudah, tetapi apabila ia gagal
difahami dengan baik, maka sudah pasti ia akan gagal terlaksana.
Dalam
sesebuah organisasi, persefahaman sangat penting. Kadang-kadang kita boleh
lihat berlakunya pepecahan di antara pekerja hanyasanya ada berlaku
ketidakfahaman.
Bukan
sahaja dalam sesebuah organisasi. Dalam masyarakat serta keluarga juga
persefahaman sangatlah penting.
Ketidaksefahaman
adalah suatu perkara yang kritikal. Jika tidak di atasi dengan segera maka ia
boleh mengundang kepada kegagalan,permusuhan, penceraian dan sebagainya.
Oleh
itu, pada hari ini ingin dirungkaikan secara ringkas apakah punca berlaku
ketidaksefahaman ini. Apakah kesan negatif kepada sesebuah organisasi atau
keluarga? Dan bagaimanakah kita dapat mengatasinya menurut perspektif Islam itu
sendiri.
Sedangkan
jelas Allah berfirman bahawa kita disuruh untuk membina silaturrahim sesama manusia.
Wahai
sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu
(bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu
pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat
keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang
kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati
(mengawas) kamu.
(Surah
an-Nisaa’:1)
PERSEFAHAMAN
HILANG KERANA EGO DAN ANGKUH
Kadang-kadang
ini yang terjadi. Akibat terlalu angkuh dan ego, maka sesuatu perkara yang
boleh dibawa berbincang tidak mencapai sepakat hanyasanya kerana tidak bersefahaman.
Perkara
sebegini kita boleh lihat khususnya di dalam sesebuah organisasi. Malah dalam
keluarga juga kita boleh lihat.
Sebagai
contoh dalam sesebuah organisasi, oleh kerana ego terhadap perbezaan jawatan,
maka indvidu yang mempunyai jawatan yang tinggi tidak suka untuk diajak
berbincang.
Malah
jika dibawa berbincang sekalipun, persoalannya adakah invidu tersebut akan
terima? Jika individu tersebut sudah set in mind bahawa apa yang
dikatakan oleh orang lain adalah salah, maka selamanyalah dia tidak akan
mencapai persefahaman yang dicari.
Kesan
buruk jika kita terus bersikap ego dan angkuh, maka percayalah bahawa kita akan
hadapi musibah yang sangat besar.
Sebagai
contoh jika ada pekerja menyuarakan pendapat tentang masalah yang berlaku di
tempat kerja, tetapi oleh kerana ketua itu angkuh dan memandang rendah terhadap
reputasi pekerjanya, dan tidak mengambil serius isu tersebut, maka kecelakaan
boleh terjadi.
Begitu
juga dalam keluarga. Sebagai contoh jika si suami bekerja dengan jawatan yang
rendah tetapi si isteri jawatan yang tinggi, maka jika si isteri tidak mahu mendengar
kata suami sudah pasti penceraiaan akan berlaku. Puncanya hanya kerana si
isteri ego.
Sedangkan
Allah s.w.t telah melarang kita dari menjadi orang yang angkuh dalam bab
ketaatan kepadaNya, inikan pula kita dalam organisasi. Allah berfirman:
“Dan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat (perintah ) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada
mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”
(Surah
al-A’raf:36)
Oleh
itu, untuk mengelakkan dari menjadi individu yang angkuh dan ego, segeralah
belajar untuk taat pada perintah Allah.
Orang
yang beriman, dia tidak akan angkuh terhadap suruhan dan larangan Allah.
Apabila dia taat pada perintah Allah, maka sudah tentu dia tidak akan berani
angkuh dan ego.
Kerana
jelas, hidup dan matinya, serta rezekinya itu datang dari Allah. Jika Allah
boleh letakkannya di atas, maka Allah juga boleh letakkanNya dibawah.
PERSEFAHAMAN
HILANG KERANA SALAH KOMUNIKASI
Seperti
yang kita sedia maklum bahawa komunikasi itu sangat penting dalam apa jua
perkara. Dalam keluarga juga begitu.
Kerana
tanpa komunikasi yang baik, maka persefahaman tidak akan tercapai. Cuba kita
fikirkan, apakah yang akan terjadi jika Nabi Muhammad s.a.w. tidak
berkomunikasi dengan baik? Sudah tentu Islam itu tidak akan tersebar luas dan
masyarakat akan memandang Islam itu suatu bala sedangkan Islam adalah agama
yang membawa rahmat seluruh alam.
Maka
contohilah Nabi Muhammad s.a.w dalam berkomunikasi di mana sesuatu yang ingin
disampaikan itu jelas.
Dalam
berkeluarga, pasangan suami isteri bergaduh dan tidak bertegur sapa. Punca?
Kerana masalah komunikasi.
Dalam
organisasi, ketua jabatan dan pekerja gagal mencapai persefahaman yang baik.
Punca? Gagal berkomunikasi dengan baik. Sesuatu maklumat itu tidak sampai
dengan tepat dan berhikmah.
Salah
cara komunikasi seperti mengherdik atau menggunakan panggilan yang tidak
disukai boleh mengundang ketidaksefahaman.
Oleh
itu, bicaralah dengan penuh berakhlak. Jaga adab panggilan. Sebagai invidu
muslim, kita perlu menunjukkan contoh dan tauladan yang baik.
Boleh
bergurau tetapi jaga batasnya. Jika tidak persefahaman akan terus hilang dan
susah untuk dicapai.
PENUTUP
Pengajaran
yang boleh diambil:
1.
Berusahalah
untuk mencapai persefaham baik dalam keluarga mahupun dalam sesebuah
organisasi.
2.
Janganlah
kita menjadi invidu yang ego dan angkuh kerana jelas Allah s.w.t sendiri tidak
suka orang yang sedemikian.
3.
Perelokkanlah
cara berkomunikasi dengan sesama kita agar persefahaman mudah dicapai.
4.
Jagalah
adab bergurau kerana tersalah gurau boleh mengundang kepada permusuhan.
5.
Muhasabahlah
“ Adakah aku dengan invidu lain sudah bersefahaman atau tidak?”
“Dari
Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
No comments:
Post a Comment