Jubah

Jubah

Wednesday, May 28, 2014

‘JIKA MULA KERANA ALLAH, JANGAN BERHENTI KERANA MANUSIA’

‘JIKA MULA KERANA ALLAH, JANGAN BERHENTI KERANA MANUSIA’

PENDAHULUAN

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa yang sangat istimewa buat Nabi Muhammad s.a.w dan juga kita sebagai umatnya.

Di mana seperti yang kita ketahui, padanya terdapat pengajaran-pengajaran bagi kita orang yang beriman.

Dan mulanya Nabi Muhammad s.a.w berdakwah adalah kerana Allah s.w.t. Di atas perintah sebagai seorang Rasul bagi menyampaikan risalah Tuhannya kepada seluruh umat manusia, maka Nabi Muhammad s.a.w terus berdakwah sehingga ke akhir hayatnya.

Dan setelah kewafatan baginda, dakwah itu diteruskan oleh para sahabat dan juga para alim ulama. Atas sebab kerana Allah s.w.t.

Dan kisah-kisah mereka dalam berdakwah, banyak liku-liku yang mereka hadapi hanysanya untuk menegakkan syiar Islam. Tetapi mereka tidak pernah mengalah. Kerana apa? Kerana mereka bermula kerana Allah s.w.t.

Bagaimanakah kita? Adakah setiap perkara yang kita lakukan adalah kerana Allah s.w.t? Jika ya, apakah kita patut berhenti kerana ada manusia yang menyuruh kita berhenti?

Apakah pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah Nabi yang tidak pernah putus asa dalam menyampaikan dakwahnya?

Apakah titik utama yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengalah dan berhenti sehinggakan ada pembesar-pembesar Quraisy yang menawarkan hadiah yang sangat besar buat Baginda agar baginda menghentikan dakwahnya?

Maka pada kali ini kita akan menyusuri kenapa kita perlu teruskan sesuatu yang dibuat atas kerana Allah dan bagaimana kita menghadapinya sebagai indvidu Muslim yang ingin mencapai kejayaan.


MULA KERANA ALLAH

Setiap perkara baik yang diniatkan kerana Allah, maka baginya ganjaran pahala. Baik dalam ibadah, perkerjaan, atau amalan-amalan yang baik seperti bergotong-royong, bersedekah, tolong-menolong, jika disandarkan kerana Allah, maka baginya pahala.

Apabila kita katakan setiap perkara itu adalah kerana Allah, maka sudah pasti kita akan pastikan ia benar-benar dilaksanakan atas landasan syariat Islam.

Bagaimana pula kita dengan kerja kita? Adakah kerana Allah s.w.t? Sebagai contoh dalam kita mempraktikkan pematuhan syariah di tempat kerja, adakah ia kerana sijil, atau kerana arahan berwajib, atau kerana market, atau kerana nak sedapkan hati majikan?

Maka jika semua itu disandarkan bukan kerana Allah, nescaya kita akan berasa berat dan tertekan. Dan tiada pahala yang kita akan dapat di sisi Allah s.w.t kelak.

Maka atas sebab itu, marilah kita menilai semula dengan persoalan, apakah kita benar-benar mempraktikakn shariah ini kerana Allah s.w.t?

Nabi Muhammad s.a.w tetap teruskan dakwahnya dalam mengajak yang maaruf dan mencegah yang mungkar, kerana Allah s.w.t.

Bagaimanakah kita? Adakah kita akan tertewas disebabkan ada manusia yang tidak suka? Sebagai contoh jika ada manusia yang tidak suka akan kita mempraktikkan syariah, apakah kita akan berhenti dari melaksanakannya?

Maka bermuhasabahlah. Kerana Allahlah kita hidup di dunia ini. Bukan kerana manusia.


PERLU KE BERHENTI KERANA MANUSIA?

Seperti dalam bab taubat, kita lihat ramai invidu yang sudah bertaubat memilih jalan yang baik dan mengikut syariat Islam. Bukan sebab namanya Islam, akan tetapi kerana mereka benar-benar ingin berubah ke arah yang benar.

Tetapi kadang-kadang ada wujud golongan yang cuba menghalang individu-individu yang ingin buat baik kerana Alalh s.w.t.

Sebagai contoh jika ada seseorang yang bertaubat kemudian, ada invidu lain yang memperlekehkan taubatnya, dengan mengatakan dia hipokritlah, buat sebab nak tarik perhatianlah dan sebagainya,maka perkara sebegini sudah pasti akan melemahkan semangatnya untuk berubah.

Oleh sebab itu, apa-apa pun perkara jika kita buat kerana Allah, dan kita mulainya atas sebab ketaatan pada perintah Allah, jangan sesekali berhenti kerana manusia.

Kerana diakhiri hidup kita, keputusan exam hidup kita adalah di bawah penentuan Allah s.w.t. Bukan penentuan manusia.

Samalah ketika mana kita mengambil paper exam ketika belajar. Jika ada kawan-kawan kita yang mengatakan bahawa kita akan gagal, dan jika kita terpengaruh dengan perkataan tersebut, sudah tentu kita akan berhenti dari mengambil exam.

Oleh demikian, nilailah kembali diri kita, adakah kita mula sesuatu itu kerana Allah? Dan jika ya, apakah wajar bagi kita untuk berhenti kerana manusia?

Bagi yang ingin bertaubat, teruskan bertaubat. Yang ingin melaksanakan syariah dalam kehidupannya, teruskan, Dan jangan berhenti kerana manusia. Kerana Allah adalah sebaik-baik penilai buat diri kita.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Mulakanlah sesuatu kerana Allah.

2.      Apabila sudah mulakan kerana Allah, jangan berhenti kerana manusia.

3.      Allah adalah sebaik-baik penilai buat diri kita, bukan manusia.

4.      Istiqamahlah kita dalam menegakkan syariat Allah, dan jangan mengalah.

5.   Bermuhasabahlah “Adakah kita perlu berhenti kerana manusia sedangkan kita sudah mulakannya kerana Allah s.w.t?

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam 

No comments:

Post a Comment