Jubah

Jubah

Friday, May 9, 2014

'KETIKA TUHANMU BICARA TENTANG CINTA'

'KETIKA TUHANMU BICARA TENTANG CINTA'
PENDAHULUAN

Apakah cinta paling agung di dunia ini? Apakah cinta yang tidak akan kita pernah kecewa terhadapnya? Di manakah pemilik cinta sebenar?

Cintakan manusia, pasti akan ada kecewanya. Tetapi cintakan sang pencipta, hati sentiasa gembira tidak terkata. Kenapa?

Kerana cintakan Allah, pasti diri akan sentiasa dilindungi. Siapa lagi yang bisa menjamin hidup kita agar menjadi lebih sempurna melainkan Allah s.w.t.

Apabila kita menyebut tentang ‘Ketika Tuhanmu Bicara Tentang Cinta’, sudah pasti kita ingin tahu bagaimana ingin meraih cinta Allah, dan apakah kelebihannya buat kita yang mencintaiNya?

Ketahuilah terdapat golongan yang benar-benar mencintai Tuhannya. Dan tidaklah ia hidup melainkan padanya kekuatan cinta yang Maha Hebat dari penciptanya.

Allah berfirman:

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

(Surah al-Baqarah:207)

Jelas bahawa ada di antara manusia yang sentiasa mengorbankan dirinya semata-mata mencari keredhaan Allah.

Di manakah kita? Adakah kita juga di dalam kelompok golongan yang mencari cinta Allah? Jika tidak, maka apakah usaha kita ketika ini?


CINTA ALLAH TIDAK BERSYARAT?

Allah sememangnya tidak meletakkan syarat yang besar untuk kita mencintaiNya. Allah tidak pernah letak syarat seperti seseorang itu perlulah cantik, kacak, kaya atau gantang jika mahu memiliki cinta Allah.

Tidak pernah sama sekali. Apakah yang Allah mahukan dari hambaNya? Sudah pasti ketaatan terhadap suruhan dan laranganNya.

Apakah kita masih berkira-kira untuk merebut cintaNya dikala manusia lain sedang berkejar-kejaran untuk mendapatkannya?

Maka ambillah peluang kerana siapa pun kita, Allah s.w.t akan anugerahkan cintaNya kepada orang yang Dia kehendaki.

Dan disebabkan kasihnya Allah pada kita, Allah mudahkan perjalanan hidup kita di dunia ini. Firman Allah s.w.t:

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.

(Surah al-Hajj:65)


TENANG DALAM PELUKAN CINTANYA

Allah berfirman:

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah ar-Ra’d: 28)

Jelas dari ayat ini bahawa jika ingin tenteram dan tenang, maka mengingati Allah itu adalah jalan yang sebaiknya.

Apakah maksudnya itu? Itu tandanya jika kita ingat pada Allah, ingat pada kebesaran Allah, ingat nikmat Allah kepada kita, hati kita akan rasa sangat tenang kerana kita yakin akan cinta Allah s.w.t.

Seperti seorang anak tatkala berada di dalam pelukan ayahnya, pasti si anak akan rasa tenang dan selamat. Si anak tahu yang bapanya sangat kasih padanya. Bapanya akan melindungi dirinya. Bapanya akan memenuhi hajatnya jika dia merengek inginkan sesuatu.

Begitulah kita sebagai manusia yang dambakan pelukan cinta Ilahi. Apabila kita berada di dalam pelukan cinta Allah, sudah pasti kita akan rasa tenang dan selamat.

Setiap permintaan kita, Allah akan kabulkan. Setiap kerisauan kita, pasti Allah akan hilangkan hanya kerana cinta yang Maha Agung.


TETAP SETIA DENGAN CINTANYA

Apabila kita sudah berada dalam pelukan cintaNya, maka apa yang Allah harapkan adalah kesetiaan kita dalam ketaatn kepadaNya.

Janganlah kita ‘curang’ padaNya dengan mensyirikkanNya dengan sesuatu. Bukankah Allah tidak suka diriNya diduakan atau ditigakan?

 Dan kita tahu bahawa Allah itu Maha Esa. Tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t. Allah berfirman:

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

(Surah al-Baqarah:22)

Maka tetap setialah kita terhadap cintaNya. Janganlah kita ‘curang’ dengan meminta sesuatu selain dariNya.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Jadilah kita manusia yang sentiasa berusaha mencari keredhaaNya.
  2. Ketika ada manusia yang kecewa dengan cinta manusia, maka kenapa tidak serahkan cinta itu pada sang Pencipta? Kerana Dia akan menjamin kebahagiaan buat kita.
  3. Ingatilah Allah sebanyak-banyaknya kerana dengan mengingatiNya hati kita bisa tenang dalam pelukan cintaNya.
  4. Setialah padaNya dan janganlah 'curang' dengan mensyirikkanNya.
  5. Hadiah buat kekasih Allah adalah syurga yang kekal abadi. Maka rebutlah ia wahai hati yang sedang mencari cinta yang hakiki.
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam

No comments:

Post a Comment