MENJADI MUSLIM YANG SOLEH DAN SOLEHAH BUKAN SATU JENAYAH
PENDAHULUAN
Sukacita
untuk dikongsikan pada permulaan artikel ini dengan membawa berita gembira dari
firman Allah s.w.t di mana Allah s.w.t telah berfirman:
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh,
merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
(Surah al-Baqarah:82)
Jelas pada ayat ini bahawa bagi orang yang
beriman dan beramal soleh, mereka adalah ahli syurga, di mana mereka kekal di
dalamnya.
Itu adalah hadiah terbesar buat hamba-hambaNya
yang beriman dan beramal soleh. Masih ragu-ragukah kita dengan firman Allah
s.w.t ini? Allah sendiri yang mengeluarkan kenyataan ini sebagai kekuatan motivasi
buat kita untuk menjadi hamba yang beriman.
Artikel kali ini ingin berkongsi dengan satu
tajuk iaitu ‘ Menjadi Muslim Soleh dan Solehah Bukan Satu Jenayah’.
Kenapa didatangkan tajuk sedemikian rupa? Kerana
masih terdapat segolongan muslim yang masih takut untuk berubah menjadi soleh
dan solehah kerana menganggap ia satu ‘jenayah’.
Mereka merasakan bahawa seolah-olah ia adalah
satu kesalahan yang besar di mana boleh mendatangkan kemudharatan kepada diri
mereka sendiri.
Maka cuba kita bermuhasabah diri kita semula.
Tiada kenyataan dari Allah pun bahawa menjadi soleh dan solehah itu satu
jenayah.
Malah Allah memberi ganjaran syurga kepada
orang yang soleh. Jadi apakah ciri-ciri muslim yang soleh dan solehah ini?
CIRI-CIRI MUSLIM YANG SOLEH DAN SOLEHAH
Dalam usaha kita menjadi muslim yang soleh dan
solehah, kita perlu ketahui sedikit sebanyak apakah ciri-cirinya yang boleh
kita praktikkan dalam kehidupan seharian kita.
Salah satu ciri-ciri muslim yang soleh dan
solehah ialah dengan memiliki akhlak yang baik. Sebagai individu muslim yang
bercita-cita menjadi soleh dan solehah, perlulah menerapkan nilai-nilai akhlak
Islam dalam kehidupan.
Akhlak Islam seperti menghormati orang lain,
berbicara dengan kata-kata yang baik, menjauhi sebarang permusuhan, amanah
terhadap pimpinan dan harta benda, berkasih-sayang kerana Allah, berdisplin
terhadap tugasan dan sebagainya.
Selain akhlak Islam, ibadah juga perlu
dipraktikkan dengan baik. Sebagai contoh memelihara solat, memperbanyakkan
bacaan al-quran dan zikrullah, berpuasa dan sebagainya.
KEKASIH ALLAH TIDAK AKAN BERDUKACITA
Orang yang soleh dan solehah merupakan kekasih
Allah s.w.t. Apabila dia menjadi kekasih Allah, maka tidaklah Allah
mendatangkan sebarang dukacita dan kebimbangan buatnya.
Allah berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta
memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah:277)
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali
Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka,
dan mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah Yunus: 62)
Jelas pada dua ayat di atas bahawa orang yang
beramal soleh tidak akan berdukacita dan tidak juga didatangkan kebimbangan
pada dirinya.
KENAPA MASIH MENGANGGAP IA SATU JENAYAH?
Kadang-kadang kita lihat ramai yang takut untuk
menjadi soleh dan solehah kerana ia mengambarkan satu jenayah yang besar.
Sedangkan tiada satu pun hujah mengatakan ia
adalah satu jenayah. Maka wajarkah kita mengandaikan untuk menjadi muslim yang
soleh dan solehah ini adalah satu tugasan yang bahaya? Maka bermuhasabahlah
kita.
Allah sudah membuka peluang kepada kita untuk
mendapat syurgaNya dengan hanyasanya kita menjadi hambaNya yang benar-benar
beriman dan sentiasa beramal soleh.
KE ARAH MENJADI PEKERJA MUSLIM YANG SOLEH DAN
SOLEHAH
Maka setelah kita ketahui ganjaran yang
diberikan oleh Allah kepada orang yang soleh dan solehah, maka wajarlah kita
mempersiapkan diri kita menjadi pekerja muslim yang soleh dan solehah.
Pekerja muslim yang soleh dam solehah akan taat
pada pemimpin, mengerjakan tugas yang diberikan dnengan baik, menjaga tutur
bicara sesama rakan sekerja, menjaga hak pelanggan, sentiasa berpakaian yang
bersih dan suci, memelihara solat dan sebagainya.
Pekerja muslim yang soleh dan solehah juga
perlu sentiasa memastikan objektif syarikat tercapai dengan bekerja
bersungguh-sungguh. Seperti yang kita ketahui bahawa Islam amat menekankan
aspek kejayaan dan kemenangan dalam apa jua bidang kerjaya.
Pekerja muslim yang soleh dan solehah sentiasa
memastikan dirinya sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik.
Jika ciri-ciri ini kita jaga dan pelihara, maka
ganjaran apakah lagi yang lebih besar yang kita akan dapat selain dari syurga
Allah s.w.t?
Maka bergembiralah wahai hati-hati yang sedang
berduka, kerana Allah sudah mengatakan bahawa orang yang beriman dan beramal
soleh, bagi mereka syurga yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1.
Jadilah muslim yang soleh dan solehah kerana
baginya ganjaran syurga yang kekal di dalamnya.
2.
Terapkan nilai-nilai akhlak yang baik dalam
usaha menjadi muslim yang soleh dan solehah.
3. Menjadi muslim yang soleh dan solehah bukanlah
satu jenayah. Maka berusahalah untuk menjadi yang terbaik di sisi Allah.
4.
Jadilah pekerja muslim yang berakhlak baik,
kerana itulah identiti umat Islam yang sebenar iaitu mempunyai akhlak Islam
yang baik.
5.
Bermuhasabahlah, “Adakah aku masih
berpeluang menjadi muslim yang soleh?”
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah
Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam