TIADA HIDAYAH BUAT KAUM YANG ZALIM
PENDAHULUAN
Adakah
kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan
Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah?
Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak
memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
(Surah at-Taubah:19)
Siapakah yang dikatakan kaum yang zalim ini? Kenapa Allah s.w.t
tidak akan memberi hidayah kepada mereka?
Benarkah Allah s.w.t tidak suka kepada orang yang membuat zalim?
Allah s.w.t berfirman:
Adapun
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan
menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada
orang-orang yang zalim.
(Surah ali-Imraan:57)
Jelas dari ayat di atas bahawa Allah s.w.t tidak suka kepada
orang-orang yang zalim. Apabila tidak suka, apa maksudnya?
Jika kita tidak suka akan seseorang, apa yang kita lakukan? Sudah
pasti kita akan menjauhkan diri kita. Kita juga akan elak dari berbicara dengannya.
Maka apakah kita masih berkira-kira nak menzalimi orang atau tidak?
Maka bermuhasabahlah kita kembali jika kita ini tergolong dikalangan
orang-orang yang zalim.
Apakah yang dikatakan zalim itu? Zalim itu sama ada menzalimi diri
sendiri atau pun makhluk yang lain.
Allah sangat tegas dalam hal ini. Dan Allah sangat benci kepada
orang yang zalim. Jika kita banyak melaksanakan ibadah tetapi dalam masa yang
sama kita berlaku zalim kepada orang lain, maka kita tergolong di kalangan
orang-orang yang tidak disukai Allah s.w.t.
Maka jelas bahayanya di situ jika kita memandang remeh. Sebagai
pemimpin, zalim dan adil adalah dua istilah yang perlu dipandang serius. Jadilah
pemimpin yang adil jika tidak mahu mendapat murka Allah s.w.t.
PEMIMPIN YANG ZALIM
Menjadi seorang pemimpin itu adalah pilihan mana-mana individu. Tetapi
jika individu tersebut memilih untuk menjadi pemimpin dalam keadaan dia tidak
tahu membezakan adil dan zalim, maka bahaya menantinya.
Sebab itu, pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang kuat agamanya.
Kuat ibadahnya terhadap Allah s.w.t. Kuat ketaatannya keapda Allah s.w.t. Kuat
dalam memastikan segala perkara yang haram dijauhkan.
Kuat dalam memastikan setiap keputusan dan tindakan adalah selari
dengan syariat Islam.Kuat dalam memimpin orang bawahannya ke arah kepatuhan
shariah seterusnya patuh terhadap segala suruhan dan larangan Allah s.w.t.
Haramkan diri kita dari menjadi pemimpin yang zalim baik di dalam keluarga,
masyarakat mahupun organisasi.
DITETAPKAN PENDIRIAN ORANG BERIMAN, DISESATKAN ORANG YANG ZALIM
Allah
menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh
dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang
berlaku zalim (kepada diri mereka
sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
(Surah Ibrahim:27)
Bagaimanakah dengan kita? Adakah kita ini ditetapkan pendirian atau
disesatkan oleh Allah s.w.t?
Jika kita disesatkan, maka kita tidak akan jumpa jalan keluar.
Sebab itu kalau kita lihat kenapa ada orang yang susah berubah. Kerana dia
sedang disesatkan oleh Allah s.w.t. Walaupun dia adalah orang yang selalu solat
atau sebagainya. Kegagalan dia mentaati perintah Allah membuatkan dia disesatkan Allah dalam keadaan
tidak sedar. Buktinya tiada perubahan pada diri dia ke arah yang lebih baik.
ALLAH TIDAK LALAI, CUMA ALLAH LAMBATKAN BALASANNYA
Dan
janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan
oleh orang-orang yangzalim; sesungguhnya
Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak
kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).
(Surah Ibrahim:42)
Jelas bahawa Allah s,w,t itu tidak lalai terhadap segala perkara
yang terjadi di dunia ini. Apakah orang yang zalim itu sangka bahawa tiada
balasan baginya?
Balasan itu tetap ada, Cuma ia dilambatkan kepada hari yang akan
ditentukan kelak. Maka ketika itu mata orang yang zalim akan terbeliak kerna
takut dan gerun terhadap kesalahan dan kezaliman yang telah mereka lakukan
sebelum ini.
Kemudian
Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan
orang-orang yang zalim (dengan
kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.
(Surah Maryam:72)
Maka bermuhasabahlah kita akan perihal ini. Jangan berlaku zalim.
Menjadi pemimpin itu sangat indah, tetapi kesannya sangat besar jika kita menyalahgunakan
kuasa pimpinan kita.
Jangan sampai buat Allah murka dengan kita. Kelak hidup kita akan
menjadi susah baik di dunia mahupun diakhirat.
Contohilah baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam menjadi pemimpin yang
adil dan saksama.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1.
Sesungguhnya
tiada hidayah buat orang yang suka membuat zalim. Maka jauhilah ia.
2.
Pemimpin
yang kuat ketaatanya kepada Allah adalah pemimpin yang adil.
3.
Orang
yang zalim akan sentiasa disesatkan oleh Allah s.w.t.
4.
Balasan
orang yang zalim tetap ada, maka nantilah ia.
5. Jadikanlah
baginda Nabi Muhammad s.a.w sebagai role model dalam menjadi pemimpin yang adil
dan hebat.
Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam
No comments:
Post a Comment