Jubah

Jubah

Tuesday, September 30, 2014

NASIHAT DAN TEGURAN: SEDANGKAN NABI MUHAMMAD S.A.W PUN DINASIHATI

NASIHAT DAN TEGURAN:
SEDANGKAN NABI MUHAMMAD S.A.W PUN DINASIHATI
PENDAHULUAN

Nasihat dan teguran adalah salah satu medium yang terbaik dalam memastikan dan mengingatkan orang-orang yang kita sayangi benar-benar berada di atas jalan yang benar.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa agama itu adalah nasihat. Nasihat ke arah kebaikan dan meninggalkan segala larangan.

Seabagi individu muslim, kita perlu bersedia menerima nasihat dan teguran. Tujuannya apa? Adalah untuk memastikan kita berada di atas jalan yang betul.

Kadang-kadang kita tidak nampak kesalahan atau kekurangan kita, tetapi orang lain nampak. Dan setiap nasihat itu perlu diambil dan dipandang secara positif.

Dan belajarlah untuk menerima teguran dan kritikan. Jika ia benar, maka manfaatkanlah ia untuk memperbaiki diri. Tetapi jika ia salah, maka jadikanlah ia sebagai ‘amaran’ agar kita tidak terjebak  ke dalam perkara tersebut.

Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri pun dinasihati oleh Allah s.w.t, inikan pula kita sebagai umatnya yang daif.

Allah s.w.t berfirman:

Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Ahzaab:1)

Adakah Nabi Muhammad s.a.w tidak bertaqwa atau lupa untuk bertaqwa? Sudah tentu tidak sama sekali. Allah inginkan NabiNya tetap berterusan dalam bertaqwa.

Maka adakah kita ingin terus ego atau sombong jika dinasihati?

NASIHAT NABI MUHAMMAD S.A.W UNTUK UMATNYA

"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihatkepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Aa’raf:62)

Inilah tugas para Rasul dalam menyampaikan wahyu Allah s.w.t. Kita dinasihati, kita ditegur kita dilarang, kita dicegah, oleh Allah dan RasulNya adalah kerana apa? Kerana untuk memastikan segala tindak tanduk kita tidak tersalah dan tidak terkeluar dari syariat Islam.

Maka apa yang ditegur dan dinasihati itu, adakah kita ingin terus ego dan bongkak menolaknya? Allah dan Rsul menegur dan menasihati kita ke arah kemaarufan dan ketaatan, apakah kita memilih untuk menolaknya secara bulat-bulat?

 Maka bermuhasabahlah kita dalam memastikan nasihat dan teguran yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya diterima dan ditaati dengan baik.

NASIHAT DAN TEGURAN MANUSIA: DIPANDANG POSITIF
Pernahkah kita ditegur dan dinasihati oleh mana-mana individu? Sudah tentu pernah. Akan tetapi bagaimana cara kita merespon terhadap teguran dan nasihat tersebut?

Adakah menerima dengan hati terbuka dan fikiran positif? Atau kita melenting tak tentu hala? Hakikatnya melenting adalah keadaan yang selalu kita lihat. Bak kata pepatah, pantang ditegur, terus melenting.

Sedangkan pada hakikatnya kita dalam bermasyarakat khususnya dalam kelompok muslimin, teguran dan nasihat itu sangat penting. Kerana itu akan menentukan kita bagaimana kita kelak.

Maka terimalah setiap nasihat dan teguran itu dengan pandangan yang positif dan menerimanya kerana Allah s.w.t.


AL-QURAN SEBAGAI PENASIHAT YANG TERBAIK

Maka kembalilah kita kepada al-Quran dalam memastikan kehidupan kita benar-benar di atas jalan syariat Islam.

Al-Quran adalah penasihat yang terbaik dalam kehidupan kita. Menasihati umat manusia agar sentiasa berwaspada terhadap pancaroba dunia ini.

Allah s.w.t berfirman:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(Surah Yunus: 57)

Jelas pada ayat ini bahawa al-Quran itu adalah nasihat pengajaran dari Allah s.w.t. Dan ia juga merupakan penawar bagi penyakit-penyakit batin. Dan ia juga menjadi hidayah dan petunjuk kepada manusia, dan yang terakhir ia membawa rahmat buat orang beriman.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Belajarlah untuk menerima teguran dan nasihat demi kebaikan diri sendiri.

2.      Taatilah segala nasihat yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

3.      Pandanglah nasihat dan teguran manusia dari sudut positif.

4.    Jadikanlah al-Quran sebagai penasihat utama dalam kehidupan kita jika kita benar-benar ingin berjaya dunia dan akhirat.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment