Jubah

Jubah

Wednesday, September 3, 2014

INSTALL APLIKASI 3D DALAM ORGANISASI

INSTALL APLIKASI 3D DALAM ORGANISASI
PENDAHULUAN

DAKWAH, DIDIK dan DOA. Ini adalah aplikasi 3D yang perlu kita praktikkan di mana-mana sahaja kita berada baik dalam keluarga, masyarakat mahupun organisasi.

3D ini amat wajar untuk kita aplikasikan memandang keadaan suasana disekeliling kita yang kelihatan agak’tenat’.

Yang dikatakan sebagai agak ‘tenat’ itu adalah apabila umat Islam sudah mula hilang pedoman agama. Hati makin jauh dengan Islam.

Terlalu cintakan dunia seolah-olah Islam itu tidak pernah wujud sebelum ini. Maka apakah ini yang kita inginkan untuk generasi akan datang?

Maka ini adalah peranan kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w, dana juga peranan kita sebagai pemimpin, peranan kita sebagai abang,kakak,ibu dan abapa kepada ahli keluarga, dan juga peranan sebagai jirang tetangga bagi komuniti masyarakat.

3D adalah sangat penting. Dengan adanya ketiga-tiga ini, maka sebuah sistem kehidupan yang bersyariat akan terlaksana dengan baik

DAKWAH: SAMPAIKAN WALAU SEPOTONG AYAT

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra., Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka.” (Al-Bukhari)

Jelas dari hadis ini yang menyarankan kepada kita tentang berdakwah. Walau sepotong ayat. Dan berdakwahlah seluas-luasnya agar setiap kebenaran sampai kepada setiap jiwa.

Apakah benda yang ingin didakwahkan? Sudah tentu apa yang telah disampaikan oleh al-Quran dan as-Sunnah, apa yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w, dan segala nilai-nilai murni yang ada dalam keindahan Islam itu sendiri.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah ali-Imraan:104)

Jelas dari ayat ini bahawa kita perlulah menjadi satu puak yang menyeru ke arah kebaikan, dan ketahuilah kejayaan itu hanyasanya ada pada mereka yang mempunyai sifat demikian.

DIDIK SEHINGGA FAHAM DAN TAAT

Selain berdakwah, kita juga dituntut untuk mendidik. Mendidik dengan ilmu pengetahuan yang ada. Berkongsi pandangan, dan pengetahuan terhadap bidang masing-masing dalam usaha mencapai kejayaan yang lebih besar.

Seharusnya kita kena pastikan setiap orang-orang bawah pimpinan kita, menjadi orang yang berilmu.
Baik dalam ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Pastikan pengetahuan mereka ini jelas difahami dan dipraktikkan dengan baik.

Kita juga dituntut untuk mendidik ke arah kebaikan. Apa yang kita dapat lihat sebahagian umat Islam sekarang ini, mereka kurang akan didikan terutamanya didikan agama.

Tidak hairanlah jika karakter, sikap,personality tidak selari dengan ajaran Islam sebenar sedangkan Islam itu adalah indah baik luaran mahupun dalaman.

Maka, manfaatkanlah pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk mendidik orang lain agar sama-sama berjaya dan sama-sama melangkah ke syurga di akhirat kelak dengan redha Allah.

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
(Surah an-Nahl:125)

Maka serukanlah dan didiklah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,kerana itu adalah pintu kepada kebaikan dan kejayaan orang-orang Islam.

DOA SENJATA MUKMIN

Setelah kita berdakwah, kemudian mendidik, maka yang terakhir adalah doa. Kita tahu bahawa doa itu adalah senjata orang mukmin.

Orang yang beriman akan memanfaatkan setiap doanya. Dia akan memastikan isi doanya adalah yang berkualiti dan diterima oleh Allah s.w.t.

Apa yang kita perlu doakan? Sudah tentu mendoakan agar setiap usaha kita diterima Allah. Doakan agar Allah membuka jalan bagi kita untuk mudah berdkawah dan menyampaikan ilmu.

Berdoa kepada Allah agar tidak mudah berasa putus asa dalam menjalankan tugas. Berdoa kepada Allah s.w.t agar diberi kejayaan baik di dunia mahupun akhirat.

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
(Surah Ghaafir:60)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berdakwahlah walau sepotong ayat dan berusahalah menyampaikan apa yang telah disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

2.      Didiklah dengan penuh hikmah, dan kongsikanlah ilmu pengetahuan yang ada sesama kita.

3.      Dan sentiasa berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan jalan dalam kehidupan kita ini.

4.      Aplikasikan 3D ini, insyaallah sistem pengurusan kehidupan kita akan lebih bersyariat.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment