Jubah

Jubah

Wednesday, September 3, 2014

KE ARAH KEMERDEKAAN HATI

KE ARAH KEMERDEKAAN HATI
PENDAHULUAN

Apabila kita berbicara tentang merdeka, adakah kita ini benar-benar merdeka? Sejauh manakah kita mendefiniskan perkataan merdeka itu?

Merdeka adalah bermaksud bebas dari sebarang jajahan atau tawanan. Membebaskan negara dari penjajah itu dikatakan sebagai merdeka.

Tetapi pada hari ini ingin sama-sama kita bincang dan kongsikan sejauh manakah kita ini benar-benar merdeka dari sudut hati.

Percaya atau tidak hati kita masih belum benar-benar merdeka? Kerana apa? Kerana kita masih membiarkan unsur-unsur jahiliyah menguasai hati kita.

Dan di antara tanda hati itu sudah merdeka adalah apabila kehidupannya mula berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
(Surah an-Nahl:44)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang panduan hidup yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk diterangkan kepada kita.

Maka apakah kita masih ingin membiarkan hati kita ini dijajah oleh jahiliyah sedangkan kita mampu memerdekakannya dengan mengibarkan panduan al-Quran dan as-Sunnah?

Maka bermuhasabahlah. Apakah kita tegar untuk merosakkan kehidupan kita ini dengan dibelenggu amalan jahiliyah?

SEKIAN LAMA HATI DIJAJAH JAHILIYAH

Apakah kita tidak sedar akan bahawa hati kita ini telah sekian lama dijajah oleh jahiliyah? Apakah tujuannya?

Tujuannya samalah tujuan syaitan iaitu menjauhkan manusia dari Allah s.w.t. Mangajak manusia untuk cintakan dunia. Mengajak manusia untuk bersaing sesama sendiri dalam mengejar pangkat dan harta.

Mengajar manusia supaya menajdi manusia yang paling takabur di dunia. Mengajak manusia supaya lupa akan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Adakah ini yang dikatakan merdeka? Cuba kita perhatikan diri kita sekarang ini, benarkan kita benar-benar merdeka?

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
(Surah al-Maidah:50)

Maka jelas bahawa hanya hukum dari Allah itu sahajalah yang terpakai dalam kehidupan kita, bukan hukum jahiliyah yang diada-adakan oleh manusia mengikut hawa nafsu.

KIBARKAN BENDERA TAQWA DI HATI

Di manakah hati yang merdeka? Hati yang merdeka adalah apabila dia berjaya mengibarkan bendera taqwa di dalam hatinya.

Apabila hati mula cenderung pada ketaatan pada agama, maka tiada apa yang dapat menjajahnya.

Hebatnya hati yang merdeka apabila segala yang haram ditinggalkan, perkara yang halal didekati. Dan segala kemungkaran yang boleh merosakkan hati dihapuskan dan dilarang dari memasuki kedalamnya.

Hakikat taqwa apabila kita buat yang maaruf dan meninggalkan yang mungkar.

Tetapi malangnya, masih terdapat umat Islam yang gagal mengibarkan taqwa dalam hati. Masih terdapat umat Islam yang belum merdekakan hati mereka.

Kerana terlalu cintakan dunia dan terikut-ikut dengan hawa nafsu duniawi. Sedangkan Allah s.w.t dan RasulNya telah tegur bahawa dunia ini hanya sementara sahaja.

Maka sempurnakanlah hati-hati kita dengan memerdekakannya dari belenggu jahiliyah. Mulai sekarang ubah hati ubah diri ke arah kehidupan yang lebih bertaqwa. Bukankah kita ke arah menjadi golongan mukmin yang professional?

Indahnya Islam kerana kehadirannya membuatkan hati yang dahulunya keras dan setia pada jahiliyah, dimerdekakan dengan peringatan dari ayat-ayat cinta dari sang pencipta.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Merdekakanlah hati kita yang telah dijajah oleh jahiliyah selama ini dengan menanamkan semangat ketaatan kepada Allah s.w.t.

2.      Kibarkanlah bendera taqwa di dalam hati.

3.      Binalah pertahanan yang hebat pada hati kita dari penjajah jahiliyah yang boleh merosakkan hati.

4.      Tetap teguhlah kita pada jalan Allah s.w.t dan RasulNya agar hati kita terus merdeka sehingga sampai ke syurga.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah hati ini sudah merdeka atau belum? Jika belum, jadikan hari ini hari kemerdekaan hati.”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment