Jubah

Jubah

Thursday, September 18, 2014

KERANA SYAITAN, KITA KE NERAKA?

KERANA SYAITAN, KITA KE NERAKA?
PENDAHULUAN

(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): "Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; -(24)

"Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran,(25)

"Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya".(26)

(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong".(27)

Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah).(28)

"KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu".(29)

(Surah Qaaf:24-29)

Tazkirah kali ini ingin sama-sama kita bermuhasabah kembali terhadap diri kita. Bersesuaian dengan identity kita sebagai Muslim dan Muslimah.

Ayat-ayat al-Quran di atas menceritakan kepada kita keadaan di akhirat kelak di mana Allah menerangkan keadaan orang-orang yang pernah mengkufuri dan menolak hukum-hakamnya ketika di dunia.

Persoalannya adakah kita tergolong dikalangan orang tersebut? Adakah kita ingin memberi jawapan sedemikian rupa.


SEKSAAN YANG PALING BERAT

Siapakah yang akan menerima seksaan yang paling berat? Seperti yang disebutkan dari ayat-ayat di atas, beberapa golongan akan menerima seksaan yang sangat keras.

Golongan yang menghalangi segala jenis kebajikan. Apakah jenis kebajikan itu? Iaitu kebajikan terhadap fakir miskin, anak-anak yatim, orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Orang yang menghalang kebajikan tersebut, maka baginya tempat yang ‘istimewa’ di neraka.

Selain itu, golongan yang mendapat seksaan adalah golongan yang menolak hukum agama. Siapakah yang suka menolak hukum agama ini? Khususnya buat umat Islam sendiri yang suka menolak hukum agama.

Sedangkan Allah s.w.t jelas mengharamkan sesuatu dan menghalalkan sesuatu, tetapi golongan tersebut lebih suka untuk melanggarnya.

Maka adakah kita ingin jadi golongan tersebut?

Selain kedua-dua di atas, seksaan juga diberikan kepada golongan yang sentiasa ragu-ragu dengan kebenaran. Bagaimana? Dia merasa ragu akan setiap kebenaran yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya.

Bagi mereka, sesuatu yang tidak masuk logic akal maka adalah tertolak sedangkan kebenaran mengatakan sebaliknya.

Maka berawasilah kita sementara nyawa masih dikandung badan.


MASIH INGIN SALAHKAN SYAITAN?

Ketika kita akan dihisab kelak, adakah kita ingin menyalahkan syaitan jika kita akan ke neraka sedangkan Allah s.w.t telah memberi amaran kepada kita?

Amaran yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis. Disampaikan pula oleh pesuruh Allah s.w.t.
Masih ingin menyalahkan syaitan? Dan adakah kita ingin terus berbalah dengan syaitan atas kesalahan kita?

Maka apabila Allah s.w.t telah membuat keputusan, maka tiada yang dapat menangkis keputusan tersebut. Apa yang dijanjikan oleh Allah s.w.t, pasti akan ditunaikan.

Janji Allah buat orang yang mengkufuri dan menentangNya adalah dengan balasan neraka. Janji Allah s.w.t buat orang yang beriman dan bertaqwa denganNya, maka balasan syurga.

Maka beringatlah kita sentiasa jika kita masih mahu menjejakkan kaki ke syurga.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Janganlah kita menjadi golongan yang suka menghalangi kebajikan.

2.   Jangan pula juga kita menolak segala hukum-hakam agama hanyasanya untuk memuaskan hawa nafsu kita di dunia ini.

3.      Jangan ragu-ragu terhadap kebenaran kerna kebenaran itu adalah pasti.

4.    Salahkan diri sendiri jika diri dicampak ke dalam neraka kerana amaran sudah dimaklumkan ketika kita di dunia.

5.      Bermuhasabahlah “ Ke syurga atau ke nerakakah yang menjadi pilihan kita?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment