Jubah

Jubah

Tuesday, September 16, 2014

PERHATI DIRI UNTUK HARI ESOK

PERHATI DIRI UNTUK HARI ESOK
PENDAHULUAN

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Hasyr:18)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang peringatan untuk menilai diri kita kembali bagi menghadapi hari kemudian.

Bagaimanakah hari esok kita? Sudah cukupkah amal-amal yang kita lakukan? Di antara amal-amal yang kita lakukan, yang mana satukah yang benar-benar ikhlas dilakukan?

Adakah kita ini tergolong dikalangan orang yang masih disibukkan dengan urusan dunia sehingga kita terlupa akan urusan akhirat?

Maka berawasilah wahai hati-hati yang masih terlalu mencintakan dunia. Kerana di akhirat kelak, penyesalan hanya tinggal penyesalan sahaja.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa dunia adalah tampat kita bercucuk tanam, dan akhirat adalah tempat kita menuai hasil.

Jika baik tanaman, maka kita akan dapat hasil tuaian yang baik. Begitu juga sebaliknya. Maka bagaimanakah kita dapat menanam tanaman yang baik ketika di dunia ini?

Baja apakah yang elok untuk digunakan bagi menghasilkan tanaman yang baik yang pada akhirnya hasil tuaian di akhirat kelak adalah yang terbaik?

Maka inilah yang perlu kita bermuhasabah bersama.

TANAMAN AMAR MAARUF DAN NAHI MUNGKAR

Tanaman yang terbaik yang boleh kita capai hasilnya diakhirat kelak adalah dengan mengerjakan yang disuruh, dan meninggalkan segala apa yang dilarang.

Apa yang disuruh dan apa yang dilarang? Apakah kita masih tidak tahu apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang?

Sekian lama kita hidup, jika kita tidak tahu apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang, maka berhati-hatilah. Kerna ia boleh membuatkan kita gagal terhadap tanaman kita di dunia ini.

Dalam membina sebuah tanaman yang berhasil, maka sudah tentu ia perlu dibajai dengan baja ikhlas.
Tanaman yang ditananam dengan penuh keikhlasan itulah yang akan diterima oleh Allah s.w.t. Tanaman itulah yang bakal menyelamatkan kita dari seksaan api neraka.

Malangnya bagi kita, sudahlah kita tidak tahu apa yang disuruh dan apa yang dilarang, malah kita terpaksa pula untuk menuruti peritah Allah dan RasulNya dengan tidak ikhlas.

Maka hasil yang bagaimanakah yang kita idam-idamkan di dunia ini jika kita masih belum melakukan sesuatu untuk akhirat?

CURIGA DENGAN JANJI ALLAH?

Dan apabila kita lihat ada golongan yang masih terumbang-ambing dengan dunia, dan masih menolak segala suruhan dan larangan Allah, maka akan timbul satu persoalan.

Adakah mereka curiga dan ragu-ragu akan janji Allah s.w.t? Adakah apa yang disebutkan oleh Allah s.w.t tentang syurga dan neraka itu adalah benda yang palsu atau omongan kosong?

Jika hati kita dengan sengaja menafikan akan kewujudan setiap apa yang Allah sebutkan dalam al-Quran, maka secara automatiknya kita boleh jatuh murtad, nauzubillah.

Kerana syurga dan neraka adalah perkara-perkara ghaib yang kita wajib beriman dengannya. Jika tidak beriman dan menafikannya, maka bersegeralah kita bersyahadah semula, Ditakuti perbuatan kita itu, akan menyebabkan kita mati dalam keadaan kita bukan Islam.

Maka ingatlah janji Allah s.w.t. Al-Quran banyak menyebut tentang janji-janjiNya. Disebutkan juga tentang umat-umat yang terdahulu.

Orang yang bijaksana dan beriman, sudah pasti akan sentiasa mematuhi setiap apa yang terkandung di dalam al-Quran.

Kita langgar agama Allah, Allah tidak rugi. Malah kita yang akan rugi. Rugi di dunia dan juga akhirat.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Patuhi segala suruhan dan larangan Allah s.w.t jika kita inginkan hasil pulangan yang baik di akhirat kelak.

2.      Sentiasa memastikan setiap amalan yang kita buat adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.

3.      Jangan sesekali curiga atu ragu-ragu dengan janji Allah s.w.t, kerna janji Allah itu adalah suatu yang pasti terjadi.

4.      Bermuhasabahlah “Adakah tanaman yang sedang kita tanam di dunia ini boleh menyelematkan kita di akhirat kelak atau tidak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment