Jubah

Jubah

Sunday, October 26, 2014

FIKIRKAN AKHIRAT, DUNIA AKAN MENJADI KECIL

FIKIRKAN AKHIRAT, DUNIA AKAN MENJADI KECIL
PENDAHULUAN

Dengan sentiasa memikirkan tentang akhirat, dunia akan menjadi kecil. Segala permasalahan dunia, akan mudah di atasi. Kerana apabila Akhirat menjadi matlamat utama, sudah tentu dunia hanya dirasakan kecil sahaja.

Dan kita tahu bahawa jika kita tidak meyakini akan adanya pertemuan dengan Allah s.w.t di akhirat kelak maka kita akan ditempatkan di suatu tempat yang tiada jiwa yang inginkannya. Allah berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -

Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.
(Surah Yunus:7-8)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang tidak menaruh ingatan untuk bertemu dengan Allah s.w.t maka di akhirat bagi mereka kediaman api neraka.

Persoalannya bagaimanakah kita dengan akhirat kita? Adakah dunia menjadi urusan utama kita sehingga kita terlupa memikirkan tentang akhirat?

Memikirkan tentang akhirat bukan bermakna kita hanya beribadah di masjid semata-mata, tetapi kita perlu memakmurkan bumi Allah ini dengan landasan syariat Islam. Kehidupan kita bermatlamatkan akhirat.

Membentuk sebuah kehidupan yang patuh shariah itu adalah tanda kita meletakkan akhirat sebagai matlamat utama.

FIKIR AKHIRAT, BERASA GERUN DENGAN ALLAH

Apabila kita sentisaa memikirkan tentang akhirat, sudah semestinya kita akan berasa gerun denganNya. Kerana kita akan berhati-hati dengan setiap tindakan kita agar ia tidak mengundang murka Allah s.w.t.

Apabila hati sudah bersa gerun, maka kita akan bersungguh-sungguh untuk tinggalkan perkara-perkara mungkar. Apabila kemungkaran ditinggalkan, maka kita akan tenang untuk hadapi kehidupan dunia yang sudah semestinya kecil di mata kita.

Itulah hebatnya pemimpin-pemimpin terdahulu. Kejayaan dalam membina tamadun Islam kerana mereka meletakkan akhirat sebagai tujuan mereka.

Rasulullah s.a.w sendiri menggunakan pendekatan fokus pada akhirat dalam pentadbiran dan pengurusannya.

Menekankan aspek halal haram dan patuh shariah dalam sesebuah urusan dan menyebabkan ramai para sahabat berwaspada juga dalam urusan mereka, agar tidak berlaku perkara yang salah seperti rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Inilah contoh kaedah kita dalam membentuk organisasi yang patuh shariah yang meletakkan akhirat sebagai matlamat utama.

FIKIR DUNIA, HIDUP GUNDAH GULANA

Cuba kita perhatikan golongan yang meletakkan dunia sebagai matlamat utama. Tekanan demi tekanan yang dihadapi.

Hilang ketenangan kerana sibuk memikirkan hal dunia. Memikirkan hal keluarga, staf di tempat kerja, rakan taulan dan sebagainya.

Ketenangan itu indah apabila kita bersama dengan yang Maha Indah. Mengingati Pencipta Yang Maha Indah, membuatkan kita akan berasa tenang selalu.

Oleh itu ayuh kita fikirkan bagaimana kehidupan kita ini boleh kita bawa dengan bermatlamatkan akhirat. Mudah iaitu jadikan kehidupan kita ini patuh shariah. Bukan separuh tetapi keseluruhannya.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sentiasalah memikirkan tentang akhirat jika kita ini Muslim yang benar-benar beriman.

2.      Fikirkan akhirat, dunia akan menjadi kecil pada padangan kita.

3.   Masalah akan dapat dihadapi apabila kita dalam keadaan tenang. Maka tenangkanlah diri dengan mengingati Tuhan Yang Maha Besar.

4.      Gerun pada Allah akan menghalang diri kita dari melakukan kesalahan yang tidak patuh shariah.

5.   Bermuhasabahlah “Adakah aku ingin terus sibukkan diri dengan dunia atau memikirkan akhirat dengan menjadikan kehidupan benar-benar patuh shariah?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment