Jubah

Jubah

Tuesday, October 7, 2014

MELANGKAH DENGAN TAAT SEBELUM TERNOKTAH DENGAN SAIYIAT (KEBURUKAN)

MELANGKAH DENGAN TAAT SEBELUM TERNOKTAH DENGAN SAIYIAT (KEBURUKAN)
PENDAHULUAN

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
(Surah al-Jaathiyah:18)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang suruhan untuk menuruti syariat. Dan itu adalah tujuan Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dalam memastikan umat manusia menuruti segala perintah Allah s.w.t.

Maka tazkirah kali ini ingin berkongsi berkaitan muhasabah kita terhadap gerak kerja kita di dunia ini dalam memastikan ia benar-benar patuh shariah.

Sesungguhnya syariat itu sudah tersedia ada. Maka persoalannya kenapa kita masih belum menurutinya? Apakah ada perkara lain yang menghalang kita untuk melaksanakannya?

Adakah wujud kepentingan tertentu yang menghalang kita untuk melaksanakannya? Maka ayuh kita bermuhasabah kembali dalam memastikan apa yang kita lakukan adalah benar-benar bersyariat.

Melangkah kita dalam dunia ini penuh dengan ketaatan. Baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat juga melangkah dalam ketaatan.

Mereka sentiasa memastikan setiap langkah itu selamat dari sebarang kesalahan dan kesilapan dengan berdasarkan panduand dari al-Quran dan juga hadis dari baginda Muhammad s.a.w.

Agar dengan langkah yang taat itu, kita tidak akan ternoktah dari kehidupan ini dengan saiyiat iaitu noktah yang terburuk.

Maka renungkanlah kembali bagaimana langkah kita dan bagaimana kita noktah kita berakhir.

LANGKAH ORANG YANG BERTAQWA

Bagaimanakah langkah orang yang bertaqwa? Bagaimanakah mereka menghadapi segala cabaran hidup? Apakah cabaran-cabaran mereka?

Dan bagaimanakah kita dapat kemuliaan di sisi Allah dengan taqwa? Benarkanh langkah orang yang bertaqwa ini akan membawa dia ke syurga?

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.
(Surah al-Baqarah:103

Jelas bahawa orang yang tetap beriman dan bertaqwa, maka pahala di sisi Allah itu adalah yang terbaik. Tetapi hanya sedikit umat manusia kini yang mengambil iktibar terhadapnya.

Orang yang bertaqwa sentiasa berhati-hati dalam setiap langkahnya. Ibarat berjalan di atas jalan yang penuh duri. Bagi mengelak dari kakinya tercedera dek kerana duri, maka dia berjalan dengan penuh hati-hati.

Begitulah dalam kehidupan ini. Sentiasa kita berhati-hati agar kita tidak tersalah melakukan sesuatu yang langgar dari syariat Islam.

Bahayanya kita pasti akan terluka jika tidak berhati-hati. Dan lukanya itu boleh membuatkan kita akan berputus asa, menjadi lemah, hilang pedoman dan sebagainya.

Maka apabila ingin melangkah, melangkahlah dengan berdasarkan panduan dari al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu adalah panduan yang jelas boleh menyelamatkan kita.

Apabila kita selamat, maka kemuliaan pasti akan diraih. Kemuliaan yang Allah sediakan buat hambaNya yang bertaqwa. Siapa pun individu tersebut, dari mana ia datang, dari keturunan mana pun dia, jika dia adalah paling bertaqwa, maka dia berhak mendapat kemuliaan dari Allah s.w.t.

Maka pastikan langkah kita ini benar-benar langkah orang yang bertaqwa. Adakah ada perkara lain yang menghalang kita untuk melangkah seperti orang bertaqwa? Jika ada, maka elakkanlah ia.

NOKTAH SAIYIAT (KEBURUKAN)

Dan orang-orang yang tidak menjaga langkahnya, pasti akan ternoktah dengan saiyiat iaitu keburukan. Yang dikatakan keburukan ini adalah dia mati dalam keadaan menjadi hamba yang ingkar dan kufur.

Adakah ini yang kita mahukan? Berakhirnya kehidupan dalam keadaan mendapat title ‘Hamba Paling Ingkar”?

Maka bermuhasabahlah kita dalam menyusuri kehidupan ini. Kita masih berpeluang melangkah, maka melangkahlah dengan taat. Jika tidak kita akan ternoktah kelak dalam keadaan saiyiat iaitu kematian yang buruk.

(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya; oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka (yang baik, yang pernah mereka lakukan).
(Surah Muhammad:28)

Maka bertaqwalah kita dengan sebenar-benar taqwa.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadikanlah langkah kita kehidupan kita ini adalah langkah orang yang bertaqwa.

2.      Langkah yang penuh berhati-hati dari sbearang kedosaan dan kemungkaran.

3.      Jadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan jika ingin pastikan langkah kita ini selamat.

4.      Dengan langkah itu tadi, dapat melindungi diri kita dari noktah yang saiyiat (kematian yang buruk)


5.      Bermuhasabahlah “ Noktah kehidupan kita yang bagaimanakah yang kita inginkan?”
      
      Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

     Wallahualam

No comments:

Post a Comment