Jubah

Jubah

Wednesday, October 15, 2014

KETIKA BERHADAPAN HARI KERUGIAN

KETIKA BERHADAPAN HARI KERUGIAN
(Gambar Hiasan)
PENDAHULUAN

(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), - itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.
(Surah at-Taghabun:9)

Tazkirah kali ini ingin berkongsi tentang hari kerugian yang akan kita hadapi. Apakah itu hari kerugian? Siapakah golongan yang dikatakan rugi?

Rugi terhadap apa? Bagaimana ingin mengelak dari rugi yang besar?

Maka kesemua soalan ini akan kita rungkai bersama dalam usaha menjadi hamba dan khalifah yang taat seterusnya diberi ganjaran syurga di sisi Allah s.w.t.

Seperti yang kita ketahui, tiada siapa pun yang sukakan kerugian. Setiap perniagaan yang kita jalankan, sudah pasti keuntungan yang dicari.  Setiap tindakan yang kita laksanakan, sudah pasti kita ingin dapat manfaat darinya. Maka apakah dan bagaimanakah keuntungan itu dapat diraih?

RUGI: MENCARI AGAMA SELAIN ISLAM

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
(Surah ali-Imraan:85)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang rugi adalah salah satunya orang yang mencari agama selain Islam.

Sekrang kita dapat lihat bahawa betapa ramai orang yang sudah mula menganut agama Islam. Memilih Islam sebagai agama yang benar.

Kerana mereka Nampak keuntungan diakhirat kelak sebagai seorang msulim yang beriman. Maka janganlah mencari agama selain Islam jika kita ingin mendapat keuntungan di akhirat kelak.

RUGI: MENJADIKAN SYAITAN SEBAGAI PEMIMPIN

"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
(Surah an-Nisaa’:119)

Jelas pada ayat ini bahawa syaitan itu berikrar untuk menjadikan manusia sesat dan rugi. Dan Allah s.w.t telah mengingatkan kita akan sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pemimpin yang ditaati selain dari Allah s.w.t, maka dia tergolong dikalangan orang yang rugi.

Maka persoalaannya, adakah kita ingin menjadikan syaitan sebagai pemimpin? Bagaimana ingin menolak syaitan sebagai pemimpin? Adalah dengan mentaati Allah dan rasulNya sahaja. Taat kepada suruhan dan laranganNya.

RUGI: DUSTAKAN PERTEMUAN DENGAN ALLAH

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.
(Surah al-An’am:31)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang mendustakan akan pertemuan dengan Allah di akhirat kelak, dia tergolong dikalangan orang yang rugi.

Orang yang tidak yakin dan tidak beriman akan wujudnya hari pertemuan dengan Allah dan hari di mana akan dihimpunkan seluruh manusia untuk dihitungkan amalannya ketika di dunia.

Maka adakah kita ingin menjadi golongan yang rugi di akhirat sambil memikul dosa-dosa yang buruk atas balasan yang telah kita lakukan di dunia ini?Maka bermuhasabahlah kita kembali.

Malah jika amal baik kita terlalu ringan, maka kita juga rugi.

Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).
(Surah al-A’raf:9)

Jelas bahawa jika timbangan amal kita terlalu ringan, maka kita dalam kerugian. Puncanya kita berlaku zalim terhadap ayat-ayat Allah. Kita tidak melaksanakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Bersiap sedialah kita dengan hari pembalasan kerana setiap amal kita akan dihitung sama  ada kita akan untung atau rugi.

2.      Kita akan rugi jika kita mencari agama selain dari Islam.

3.    Kita juga akan rugi jika kita menjadikan syaitan sebagai pemimpin. Maka peliharalah diri dari hasutan syaitan.

4.      Jangan dustakan pertemuan dengan Allah kerana pertemuan denganNya adalah suatu   yang pasti.

5.      Jangan menzalimi atau menolak ayat-ayat Allah, kerana kelak kita akan rugi akibat timbangan amal baik yang terlalu ringan.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment