Jubah

Jubah

Thursday, October 23, 2014

UJIAN DAN MASALAH: ALLAH SUDAH SEDIAKAN JAWAPANNYA

UJIAN DAN MASALAH: ALLAH SUDAH SEDIAKAN JAWAPANNYA
PENDAHULUAN

Setiap kita akan menghadapi masalah dan ujian. Dan setiap kita mempunyai ujian yang berlainan. Ujian yang menentukan kita ini kuat, sabar, tabah atau tidak.

Dan tidaklah ujian itu hadir melainkan sebagai peringatan buat kita manusia ini untuk sentiasa ingat pada Penciptanya.

Allah s.w.t yang menjadikan kita. Allah s.w.t yang menyediakan pentas dunia ini buat kita. Allah s.w.t yang menyediakan bumi ini untuk kita hidup dan beramal soleh dan beribadah kepadaNya.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Surah al-Dzariyaat:56)

Dan itulah tujuan hidup kita di dunia ini yang hanya sementara. Mengutip pahala-pahala di dunia sebagai bekalan untuk di bawa ke akhirat.

Tazkirah kali ini ingin bicarakan tentang ujian dan masalah: Allah sudah sedaiakan jawapannya.

Kadang-kdang kita berasakan apabila ada ujian yang mendatang, kita rasa seoalah-olah kita sudah tidak mampu untuk mengadapinya.

Apakah kita lupa akan firman Allah s.w.t:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Surah al-Baqarah:286)

Jelas bahawa Allah s.w.t tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehNya. Maka tidak perlulah kita risau di atas setiap ujian yang datang.

Ujian dalam organisasi, rumahtangga, masyarakat dan sebagainya. Apa yang perlu kita lakukan adalah mencari jawapannya.

UJIAN HIDUP SEPERTI PERMAINAN PUZZLE

Seperti permainan puzzle, kita perlu melengkapkan sebuah gambar dengan mencantumkan setiap pecahannya.

Dengan mencantum semua puzzle-puzzle tersebut, maka kita akan dapat menghasilkan sebuah gambar yang lengkap dan sempurna.

Kadang-kadang kita rungsing tidak jumpa puzzle sambungannya sedangkan ia sudah ada di sekeliling kita. Tinggal Cuma kita mencarinya sahaja dan lengkapkan gambar tersebut.

Begitu juga dalam kehidupan kita, ujian yang datang itu sudah ada jawapannya yang telah disediakan oleh Allah s.w.t. Tinggal Cuma kita mencarinya dengan penuh tenang dan sabar.

Mencari dengan akal yang jernih dan sejahtera dengan berpandukan syariat Islam. Itulah dikatakan ciri-ciri Muslim yang benar-benar beriman.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Surah al-‘Ankabut:3)

Jelas orang yang sabar dengan ujian, maka dia adalah orang yang beriman. Orang yang beriaman akan berusaha mencari jawapan setiap permasalahan dengan berlandaskan al-Qurand an as-Sunnah.

ALLAH SAYANGKAN HAMBANYA

Apabila Allah memberikan jawapan setiap masalah yang dihadapi, maka itu tandanya Allah sayangkan kepada kita.

Kembali kepada Allah jika punyai masalah. Jawapannya ada pada Sang Pencipta. Dekatkan diri pada Allah, nescaya Allah akan bukakan jalan keluar buat kita.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Surah al-Baqarah:156)

Allah jualah tempat kita kembali. Kita merancang perjalanan hidup kita, tetapi Allah jualah yang menentukan dan Dialah sebaik-baik Perancang dan Dialah Maha Pengasih.

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
(Surah al-Baqarah:207)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Setiap ujian yang mendatang pasti ada jawapan dan hikmahnya.

2.      Tetap teguhlah dalam menghadapi ujian Allah.

3.      Kembalilah kepada Allah jika kita menghadapi musibah kerana itulah yang diinginkan Allah agar hambaNya sentiasa mengingatiNya.

4.      Kita merancang dan Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah adalah lebih baik dan Maha Sempurna.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment