Jubah

Jubah

Friday, October 3, 2014

KORBANKAN DUNIA KERANA CINTAKAN AKHIRAT

KORBANKAN DUNIA KERANA CINTAKAN AKHIRAT
PENDAHULUAN

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
(Surah al-Baqarah:86)

Di dalam golongan yang manakah kita? Adakah kita tergolong dikalangan orang yang mengutamakan dunia berbanding akhirat?

Jika kita tergolong dikalangan orang yang cintakan dunia, maka kita akan rugi kedua-duanya. Rugi dunia dan rugi kahirat.

Tajuk tazkirah kali ini ialah berkaitan korbankan dunia kerana cintakan akhirat. Apa itu dunia dan apa itu akhirat?

Bagaimanakah kita dapat menjamin akhirat adalah yang terbaik buat kita?

Kehidupan dunia sebagai perhiasan buat orang-orang kafir. Allah s.w.t berfirman:

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
(Surah al-Baqarah:212)

Jelas bahawa kehidupan dunia itu hanyalah perhiasan buat orang-orang kafir sehinggakan mereka menjadi sombong.

KORBANKAN DUNIA KERANA CINTA ALLAH

Apakah urusan dunia yang perlu dikorbankan? Bagaimanakah yang dikatakan korban itu?

Kita korbankan masa sihat kita dengan memperbanyakkan aktiviti berpahala. Sebagai contoh mendekatkan diri ke masjid, memperbanyakan amalan-amalan sunat, memperbanyakkan zikrullah, membantu fakir miskin, dan sebagainya.

Ada orang yang tidak suka korbankan waktu sihatnya untuk urusan akhirat. Dia menggunakan masa sihatnya dengan melakukan maksiat, kejahatan, kemungkaran dan sebagainya. Itu tandanya dia tidak mencintai akhiratnya.

Harta yang banyak bagaimanakah dia korbankannya? Adakah dia memperbanyakkan bersedekah? Memberi makan kepada yang memerlukan atau sebagainya? Jika individu tersebut, cintakan akhirat, maka harta yang dimiliki akan dimanfaatkan atas jalan Allah.

Masa lapang, bagaimankah dia korbankannya? Apakah setiap urusannya adalah kerana akhirat atau dunia? Apakah yang sering dilakukan waktu kita sedang lapang?

Jika kita membuat sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat buat kita di akhirat, maka kita tergolong yang rugi.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
(Surah ali-Imraan:14)

Maka apakah kesenangan dunia itu yang sementara itu yang kita cari atau syurga yang kekal abadi? Maka renung-renungkanlah.

GRADUASI’ DUNIA UNTUK AKHIRAT

Siapakah orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat? Itulah orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Graduan yang berjaya mengharungi pancaroba dunia, hawa nafsu dunia, kepentingan dunia, smeata-mata mengejar peluang untuk diposting di akhirat kelak iaitu disyurga Allah s.w.t.

Kerna dia telah korbankan dunianya untuk akhirat, maka baginya kelak syurga iaitu hadiah yang paling besar buat hamba yang beriman.

Dan bagi yang gagal ‘graduasi’ dengan baik didunia, maka tiada apa-apa buatnya di akhirat kelak.Allah s.w.t berfiman:

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah ali-Imraan:77)

Jelas tiada bahagian akhirat buat mereka yang mengutamakan dunia. Ayuh, kita menjadi graduan yang berjaya di dunia dengan mendapat hadiah teristimewa di akhirat kelak iaitu jannatul firdaus.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sentiasa manfaatkanlah waktu sihat, lapang, dan sebagainya untuk akhirat.

2.      Penuhi tabung amal hidup kita dengan memperbanyakkan pahala bukan dosa.

3.    Jadilah ‘graduan’ dunia yang mendapat keistimewaan di akhirat kelak iaitu dengan meletakkan akhirat sebagai matlamat utama.

4.      Bermuhasabahlah “ Adakah dunia menajdi keutamaan atau akhirat yang menjadi matlamat utama?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment