Jubah

Jubah

Thursday, October 30, 2014

SUJUD PADA ALLAH: ADAKAH KITA IKHLAS?

SUJUD PADA ALLAH: ADAKAH KITA IKHLAS?
PENDAHULUAN

Sebagai umat manusia, kita diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk sujud kepadaNya. Sebagai tanda apa? Sebagai tanda kita ini benar-benar bersaksi bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang satu. Tiada sekutu bagiNya.

Para makhluk yang bernyawa termasuk para malaikat pun sujud kepadaNya. Sujud sebagai tanda keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah sujud kepada Allah s.w.t? Berapa kali kita sujud dalam sehari? Adakah sujud kita itu benar-benar ikhlas? Apakah kita ini benar-benar ‘sujud’ terhadap segala perintah Allah s.w.t seperti yang telah disebutkan di dalam al-Quran?

Jika jawapannya tidak, kita sedang dalam kerugian yang amat besar. Bukan sahaja kerugian di dunia malah kerugian di akhirat kelak.

Maka tazkirah kali ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari beberapa petikan dari ayat al-Quran berkaitan dengan sujud dan ketidaksombongan kita kepada Allah s.w.t

Allah s.w.t berfirman:

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah , dan mereka (bersikap) rendah hati.

Dan Segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi hanya bersujud kepada Allah iaitu semua mahkluk yang bergerak (bernyawa) dan (juga) para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.

Mereka takut kepada Tuhan yang (berkuasa) di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada) mereka.

(Surah an-Nahl:48-50)

Jelas pada ayat ini bahawa seluruh makhluk sujud kepada Allah dengan penuh ketaatan dan keikhlasan. Bagaimana pula dengan kita? Maka ayuh kita bermuhasabah kembali.

TANDA SUJUD YANG IKHLAS

Apakah tanda sujud yang ikhlas? Adakah tandanya hitamnya dahi? Sudah tentu tidak. Tanda ikhlasnya sujud seseorang itu apabila sujud itu menjadi sebuah kerinduan yang amat besar bagi dia setiap hari.

Setiap kali dia bermasalah, dia sujud. Setiap kali dia mendapat sesuatu, dia sujud. Setiap kali dia mendapat ujian atau pujian samada besar atau kecil, dia sujud.

Dan ikhlasnya sujud seseorang itu apabila dia sentiasa manfaatkan sujudnya itu dengan bersungguh-sungguh berdoa dan menyampaikan hajatnya di dalam sujudnya.

Kerana dia tahu doa mustajab apabila doa itu diminta dalam keadaan sujud. Maka ikhlaskanlah sujud kita itu jika kita benar-benar hamba yang ikhlas kepada Allah.

‘SUJUD’ PADA PERINTAH DAN LARANGAN ALLAH

Ada orang yang selalu sujud tetapi kita boleh lihat samada sujudnya ikhlas atau tidak. Kerana apa? Orang yang ikhlas sujudnya, sudah pasti akan ‘sujud’ juga terhadap segala perintah dan larangan Allah.

Apakah sujud dalam solat itu dikatakan ikhlas sedangkan waktu diluar solat dia lansgung tidak ‘sujud’ pada segala perintah dan larangan Allah s.w.t?

Malah berlaku sombong dengan perintah tersebut. Menolak segala hukum-hakam. Memandang remeh-temeh terhadap peraturan Allah s.w.t.

Menolak padangan para ulama. Meninggalkan segala sunnah Nabi. Maka adakah kita masih ingin mendakwa kita ini benar-benar ikhlas terhadap sujud kita kepada Ilahi?

Maka ambillah peluang ini untuk kita bermuhasabah kembali. Ikhlaskan diri kita dalam sujud kepadaNya bukan sahaja dalam solat, malah dalam kehidupan kita juga.

Apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang, maka wajib untuk kita ‘sujud’ terhadapnya. Dan ikhlaskanlah diri terhadap ketaatan kepadaNya, jangan sombong. Kita ini adalah khalifah yang telah dimuliakan oleh Allah, maka perlukah kita sombong denganNya?

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadikanlah sujud kita dalam solat adalah sujud yang ikhlas.

2.     ‘Sujud’lah juga kita kepada segala perintah dan larangan Allah s.w.t. Yang haram itu jelas dan yang halal itu juga jelas. Maka patuhilah ia jika kita ini benar-benar hamba yang ikhlas sujudnya.

3.      Jangan berlaku sombong pada Allah dengan menolak segala perintah dan laranganNya, kerana azab Allah itu amatlah pedih dan tidak terperi sakitnya.

4.   Berdoalah kepada Allah dalam sujud kita agar kita ini ditetapkan iman dan ketaatan terhadapNya selalu.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah selama ini sujud kita kepada Allah s.w.t adalah benar-benar ikhlas?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment