Jubah

Jubah

Sunday, October 12, 2014

PENTINGNYA DAKWAH: MEMBUATKAN DIRI TERHALANG DARI MEMBUAT KEBURUKAN

PENTINGNYA DAKWAH: MEMBUATKAN DIRI TERHALANG DARI MEMBUAT KEBURUKAN
PENDAHULUAN

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah ali-Imraan:104)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang pentingnya menyampaikan dakwah. Dakwah tentang apa? Iaitu dakwah tentang menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah dari keburukan.

Maka tazkirah kali ini ingin membawa tajuk pentingnya dakwah kerna ia membuatkan diri kita terhalang dari membuat keburukan.

Benarkah jika kita berdakwah, kita juga akan terdakwah oleh dakwah yang kita sampaikan? Jawapannya ya.

Kerna setiap apa yang kita bicarakan atau kita sampaikan atau kita suruhkan sudah tentu kita juga akan pastikan kita benar-benar melaksanakannya.

Itulah indahnya Islam apabila setiap suruhan dari Allah tentang kewajipan berdakwah itu sudah pasti ada hikmahnya.

Dan hikmahnya adalah kita juga akan terdakwah setiap perkara yang kita dakwahkan sama ada dakwah kepada diri sendiri, keluarga, rakan taulan, rakan sekerja mahupun masyarakat.

Dan apabila kita berdakwah sudah tentu akan wujud perasaan ehsan di dalam diri kita. Ehsan iaitu merasakan bahawa Allah s.w.t sedang melihat kita dan segala perbuatan kita.

Persoalannya,sudahkah kita berdakwah?

DAKWAH: ANTI-VIRUS MUNGKAR

Peranan dakwah ini juga boleh dikatakan sebagai anti-virus. Anti-virus bagi virus kemungkaran, keburukan, kejahatan dan sebagainya yang bersifat negative.

Kita boleh lihat apa yang berlaku di sekeliling kita sekarang ini. Virus kemungkaran, keburukan, kekejian, kemaksiatan dan sebagainya menari-nari di hadapan mata kita.

Bagaimanakah kita dapat mengatasinya? Sudah tentu dengan menyampaikan dakwah. Bagaimana ingin menyampaikan dakwah?

Dengan setiap ilmu yang kita ada berkaitan dengan ilmu agama perlu kita sampaikan kepada orang lain. Walaupun orang tersebut sudah tahu, kita perlu kena peringatkan juga. Agar kita semua tidak terjerumus ke lembah kesesatan hidup.

Tapi persoalannya ada yang di antara kita tidak tahu tentang ilmu agama. Macam mana tu ya?

Sebab itulah umat yang bermasalah adalah umat yang tidak memberi ruang waktu hidup hariannya dengan menghadiri majlis-majlis ilmu.

Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia. Sehinggakan tidak sempat untuk mempelajari ilmu agama. Kita sibuk bershopping, melepak, menonton televisyen dan sebagainya.

Maka bermuhasabahlah kita dalam memastikan dakwah itu mampu disampaikan dengan baik disamping dapat mencegah kita dari melakukan sebarang kemungkaran.

PERIBADI BURUK KERANA JAUH DENGAN AGAMA

Benarkah peribadi seseorang itu menjadi buruk kerana dirinya terlalu jauh dengan agama? 

Jaawapannya ya. Kerana dengan hidup beragama, seseorang itu sudah pasti akan sentiasa mengawasi dirinya dari sebarang perilaku yang tidak baik.

Seseorang yang tidak mahu mendekati diri dengan agama Islam, akan mula mencintai dunia sepenuhnya.

Baginya, kehidupan beragama menyusahkan. Selalu ingin memberontak untuk melakukan sesuatu yang dicegah oleh agama.

Dengan demikian, tidak hairanlah orang yang jauh dari persimpangan agama, akhlak dia akan menjadi buruk. Tingkah laku dia akan dibenci orang. Mata-mata manusia akan mengejinya.

Bahayanya sudah nampak di dunia, apatah lagi kesannya di akhirat kelak.

Maka bermuhasabahlah kita kembali dalam memastikan diri kita ini tidak jauh dari agama. Apakah peribadi yang buruk itu ingin kita tonjolkan dihadapan anak-anak, pekerja-pekerja dan masyarakat?

Sudah tentu tidak mahu. Dekatkanlah diri dengan agama dengan mempelajarinya seterusnya maneyapikan dakwah kepada semua orang.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berdakwahlah sentiasa kerana ia juga dapat melindungi diri kita dari melakukan sebarang keburukan.

2.      Curilah sedikit masa kita dengan mempelajari ilmu agama dalam memastikan dakwah kita terhadap keluarga, organisasi dan masyarakat dapat disampaikan dengan baik.

3.      Dakwah adalah anti-virus kemungkaran. Maka manfaatkanlah ia dalam kehidupan kita.

4.      Peribadi menjadi buruk apabila hidup apabila jauh daripada agama. Maka dekatkanlah dengan agama terutamanya al-Quran dan as-Sunnah.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku ingin terus bergelumang dengan kesibukan urusan dunia, atau aku akan manfaatkan hidup ini dengan berusaha menyampaikan dakwah?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam
  


No comments:

Post a Comment